ANALISIS
ISU HINA AGONG: BAHANA SALAH GUNA FACEBOOK
Media sosial
adalah medium terpenting dalam menyampaikan maklumat peribadi kerana ianya
mudah dan percuma, hanya perlu melengkapkan 'password', anda boleh terus
menggunakannya.
Sejak mula
popular di sekitar pertengahan 2008, Facebook dilihat sebagai laman web
terpenting dalam perhubungan sosial terutama untuk mencari rakan-rakan yang
telah lama terputus hubungan.
Namun, media
sosial ini juga mempunyai elemen negatif yang mampu memberi kesan buruk kepada
keharmonian negara.
Sebagai
contoh, yang terbaru penahanan seorang wanita yang didakwa menghina Yang
di-Pertuan Agong dalam akaun Facebooknya, kelmarin.
Timbalan Ketua
Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata. wanita berumur 32
tahun itu ditahan di Taman Nirwana, Ampang dan siasatan kes tersebut mengikut
Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.
Jika dilihat
dari sudut pengguna Facebook, kenyataan terbuka tanpa tapisan sememangnya mudah
ditulis dan diluahkan dalam laman sosial ini.
Malah, ada di
antara pemilik akaun Facebook, sering memberi kenyataan sensitif tanpa
menyedari perbuatan itu, akan mengundang padah, khususnya dalam isu yang
melibatkan keharmonian negara.
Kes ini juga
telah membuka mata bahawa, masih ada rakyat Malaysia yang tidak tahu
menghormati sensitiviti masyarakat dan Perlembagaan Negara.
Sedangkan,
Yang di-Pertuan Agong adalah simbol ketua negara yang perlu dihormati dan
termaktub di dalam perlembagaan.
Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menegaskan pihaknya memandang serius
penyalahgunaan media sosial untuk memuat naik kandungan serta komen berunsur
menghina terutama melibatkan institusi diraja Malaysia.
Siasatan kes
ini turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Penahanan ini
dibuat susulan beberapa laporan polis dibuat selepas komen yang dilihat
menghina itu tersiar di laman Facebook dan Twitter susulan titah Seri Paduka
melalui televisyen sempena hari keputeraan Tuanku, Sabtu lalu.
Persoalannya,
apakah langkah yang wajar dilakukan khususnya oleh kerajaan untuk pastikan
semua rakyat di negara ini menghormati Yang di-Pertuan Agong dan Institusi
Raja-raja.
Adakah wajar
untuk laman sosial disekat bagi membendung kenyataan negatif sebegini berulang?
Beberapa NGO
di Selangor menggesa agar langkah drastik ini diambil dan mencadangkan Malaysia
mengikut langkah Iran dan China yang menyekat akses ke laman sosial.
Pengerusi
Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps), Hamidzun Khairuddin berkata,
tindakan itu perlu difikirkan kerana ada pengguna yang menggunakan laman sosial
itu untuk menyebarkan fitnah, menghina agama dan kaum serta mencaci-maki
pemimpin negara.
Gesaan ini
turut disokong oleh Perkasa dan Majlis Belia Selangor.
Namun, adalah
ini satu-satunya cara untuk kita menyelesaikan masalah ini?
Pengerusi
Pusat Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof
Madya Dr Normah Mustaffa berkata, laman sosial Facebook tidak boleh disalahkan
sehingga perlu disekat penggunaannya.
Beliau
berkata, Facebook adalah medium penting yang membantu pengaliran berita dan
memudahkan penyampaian maklumat.
“Isu
penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong sebagai pemerintah tertinggi di
negara ini tidak seharusnya berlaku jika individu terbabit faham akan sejarah
negara kita ini,” katanya.
SKMM menerusi
Ketua Komunikasi Strategiknya, Sheikh Raffie Abdul Rahman memberitahu,
suruhanjaya itu akan mengkaji kaedah terlebih dahulu terbaik untuk memantau
penggunaan laman media sosial di negara ini dalam membendung budaya fitnah.
Beliau
berkata, SKMM tidak boleh terburu-buru melaksanakan penguatkuasaan kerana
banyak perkara yang perlu dipertimbangkan mengikut kesesuaian.
"Kami
memandang serius perbuatan biadab di laman sosial seperti Facebook tetapi SKMM
tidak boleh sewenang-wenangnya menyekat laman tersebut," katanya.
Bayangkan.
hanya kerana dua, tiga atau empat perkataan dalam Facebook, anda boleh didakwa
atas Akta Hasutan 1948 dan boleh dikenakan hukuman penjara.
Oleh itu,
kesemua pengguna Facebook perlu amalkan etika dan budi bahasa dalam segala
tulisan yang dibuat, walaupun hanya dua perkataan.
Adalah lebih
baik, memberi komen atau ulasan yang membina dan mampu menyumbang kepada
perkembangan positif negara.
Bagi kes
wanita yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, langkah yang difikirkan wajar
adalah perlu ada pendekatan khusus untuk memastikan generasi muda tahu akan
Perlembagaan Negara dan fungsi Institusi Raja-raja.
Usaha ini
wajar dilaksanakan sejak bangku sekolah lagi, penekanan rasa hormat kepada
pemimpin dan ketua negara perlu ada dan ini termasuk rasa hormat kepada lagu
Negaraku dan bendera Jalur Gemilang..
-Oleh: RISWANDI RAZAK, Sinar
Harian
No comments:
Post a Comment