DAKWAT
KEKAL: PEMBANGKANG TIDAK HARGAI SPR
SHAH ALAM – Pepatah Melayu, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga,
demikian nasib yang terpaksa ditanggung Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan
penggunaan dakwat kekal pada PRU13 lalu yang didakwa tidak berkesan sehingga
kebaikan lain dilakukan badan bebas itu tidak dihargai.
Pensyarah Kanan Politik Islam dan Minoriti Muslim Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Samsu Adabi Mamat berkata, SPR cuba memenuhi
kehendak rakyat dalam menambah baik sistem pilihan raya di negara ini namun
usaha yang dilakukan badan itu sering kali dipandang negatif.
"Dakwat kekal itu rakyat yang minta, tapi kebaikan SPR memberi
respon kepada kehendak rakyat itu tidak dihargai.
"Kalau timbul lagi tidak puas hati dakwat tidak kekal itu, nampaknya
terpaksalah SPR kena guna dakwat mati pula,”katanya kepada Sinar Harian Online
ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul
Aziz Mohd Yusof semalam yang memutuskan untuk menggunakan kaedah mencelup jari
telunjuk kiri ke dalam dakwat kekal pada PRK Kuala Besut, 24 Julai ini,
berbanding kaedah mencalit jari pada PRU13 lalu.
Abdul Aziz berkata, peraturan tambahan itu bertujuan mengelakkan sebarang
percubaan mengundi dua kali oleh pengundi yang tidak bertanggungjawab dan ia
akan digunakan untuk pengundian awal pada 20 Julai serta pengundian biasa pada
24 Julai ini.
Dalam pada itu, Samsu Adabi berkata, masalah yang timbul melibatkan
dakwat kekal itu hanyalah di kawasan yang dimenangi oleh BN, sedangkan bagi
kerusi dimenangi pembangkang pula, dakwat kekal itu nyata tidak membawa
sebarang masalah.
"Perkara sebegini rakyat kena berpada-pada, sebenarnya ejen calon
sudah ada dalam bilik mengundi, itu pun sudah cukup untuk memuashatikan orang
bahawa pilihan raya itu tiada penipuan.
"Bila kalah, mereka (pembangkang) salahkan sistem, tapi di negeri
yang mereka menang, calit jari OK saja.
"Inilah masalah dalam demokrasi, kita kena faham betul-betul, kalau
dalam perjalanan itu berlaku dakwat cair dan sebagainya, inikan pula melibatkan
13 juta pengundi itu,” tegasnya.
Sementara itu, menurut Pensyarah Kanan Sains Politik dan Kajian Politik
Malaysia, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi
Mara (UiTM), Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin, langkah yang diambil SPR
dengan memperkenalkan kaedah mencelup jari telunjuk itu perlu dilakukan dengan
teliti bagi mengelakkan insiden lalu berulang kembali.
"SPR kene buktikan penggunaan dakwat kekal kali ini benar-benar
berkesan, jika ada aduan lagi mengatakan boleh tanggal beberapa jam seperti
PRU13 lalu, ia akan memalukan dan menjejaskan nama baik SPR sekali lagi.
"Jangan pula kali ini SPR mengulangi kesilapan yang sama dengan
menggunakan pewarna makanan, sudah pasti kandungannya tidak kekal seperti yang
dikehendaki,” katanya.
Ditanya jika masalah dakwat tidak kekal berulang kembali selepas PRK
Kuala Besut, 24 Julai ini, beliau menegaskan dakwat kekal bukan perkara pokok,
sebaliknya SPR perlu fokus untuk mengelakkan daripada orang mengundi dua kali
yang perlu diberi keutamaan.
No comments:
Post a Comment