PRK
KUALA BESUT ULANG SEJARAH 34 TAHUN LALU
KUALA BESUT - Penamaan calon untuk pilihan raya kecil Kuala Besut hari
ini, yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan
Nasional (BN) dan Pas, mengulangi sejarah 34 tahun lalu, apabila dua calon
parti yang sama bertanding pada PRK yang juga diadakan dalam bulan Ramadan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan menerima borang pencalonan
wakil kedua-dua parti di pusat penamaan calon di Kompleks Rakan Muda Kuala
Besut pagi ini.
Calon Pas Endot@Azlan Yusof, 48, menyerahkan borang pencalonannya kepada
Pegawai Pengurus Pilihan Raya A.Rahim Jusoh pada jam 9.03 pagi manakala calon
BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, menyerahkan borang pencalonan pada pukul
9.10 pagi.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengarah PRK
Kuala Besut mengetuai kira-kira 3,000 penyokong mengiringi calon BN ke pusat
penamaan calon manakala calon Pas pula diiringi bilangan penyokong yang
seimbang diketuai Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Calon BN yang mengenakan baju kebangsaan Melayu serba biru memasuki pusat
penamaan calon dengan diiringi Datuk Wan Zakaria Abd Rahman selaku pencadang,
dan Roslan Ayob sebagai penyokong manakala calon Pas yang berbaju hijau hadir
bersama Ayat Hadi Mamat sebagai pencadang dan Zulkarnain Abdullah sebagai
penyokong.
Hujan gerimis sejak awal pagi dan kehadiran Ramadan tidak menghalang
kedua-dua penyokong parti berarak ke pusat penamaan calon yang mula dibuka
pukul 9 pagi dalam suasana harmoni yang dikawal pasukan keselamatan.
Calon BN Tengku Zaihan merupakan seorang jurutera Jabatan Pengairan dan
Saliran (JPS) di Putrajaya sebelum ini dan pernah berkhidmat selama lima tahun
di JPS Daerah Besut.
Anak kelahiran Kampung Nail, Kuala Besut itu mula mencurahkan bakti
kepada masyarakat setempat setelah menyertai JPS 15 tahun lalu dengan memegang
jawatan jurutera daerah.
Tengku Zaihan berkata beliau bertekad untuk mengekalkan kerusi itu di
tangan BN berdasarkan peluang yang dilihatnya melalui pertandingan satu lawan
satu.
"Tiada masalah untuk mendekati rakyat seperti yang biasa saya
lakukan sebelum ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas
selesai proses pencalonan.
Sementara itu, Azlan seorang kontraktor dan ahli perniagaan merupakan
Bendahari Pas di Besut dan juga anak tempatan Kuala Besut yang menetap di
Kampung Baru.
Azlan berkata Pas tetap dengan misi "16-16 Terengganu Baru"
untuk menang pada PRK Kuala Besut yang juga kubu kuat BN.
SPR menetapkan 24 Julai sebagai tarikh mengundi.
Pada PRK Ramadan Kuala Besut 1979, calon BN Datuk Wan Zakaria Wan Abdul
Rahman menang dengan majoriti 797 undi mengalahkan calon Pas Husin Jusoh.
PRK kali ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr A. Rahman
Mokhtar pada 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru, satu lagi persamaan dalam
sejarah PRK Kuala Besut kerana Allahyarham Zakaria Muda (BN) meninggal dunia
pada tarikh serupa 26 Jun tahun itu.
Pada PRU13, 5 Mei lalu, Dr Rahman (BN) menang dengan majoriti 2,434
mengalahkan calon Pas Napisah Ismail.
Dun Kuala Besut mempunyai 17,683 pengundi dan daripada jumlah itu, 17,463
ialah pengundi Melayu, Cina 125, manakala selebihnya pengundi bangsa lain.
Pada PRK ini BN menggunakan slogan 'Kuala Besut bertambah Biru' untuk
kempen manakala Pas dengan moto '16-16', merujuk kepada kedudukan kerusi Dun
Terengganu andai Pas berjaya merampas Dun Kuala Besut pada pilihan raya kecil
berkenaan.
Pada PRU13, Terengganu yang mempunyai 32 kerusi Dun kekal ditadbir BN
yang menang 17 kerusi, manakala baki 15 lagi diwakili pembangkang iaitu 14
daripada Pas dan satu wakil PKR.
No comments:
Post a Comment