PROGRAM
RUMAH TRANSIT DIPERKENAL
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memperkenalkan program 'rumah transit' untuk
pasangan muda baharu berkahwin dan berpendapatan bulanan bawah RM3,000 dalam
usaha mengurangkan beban mereka.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul
Rahman Dahlan berkata ,program dijangka dilaksana tahun depan.
Kerajaan akan memperuntukkan 10 peratus daripada rumah kos rendahnya
untuk disewa pasangan ini selama dua tahun dan tumpuan program adalah di
kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur, katanya.
"Pada pandangan kerajaan, dalam tempoh dua tahun mereka mampu
berdiri sendiri untuk mencari jalan membeli rumah pertama kerana mereka tidak
boleh tinggal di rumah transit selama lamanya," katanya ketika menggulung
perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat
hari ini.
Abdul Rahman berkata rumah transit itu akan disewa pada kadar RM124
sebulan, sama seperti kadar yang dikenakan kepada penyewa di bawah Program
Perumahan Rakyat (PPR).
Ketika ditemui pemberita kemudian, Abdul Rahman berkata kementerian itu
menyasarkan untuk melancarkan projek rumah transit itu di Kuala Lumpur tahun
depan.
Sebagai permulaan katanya kerajaan bercadang mengkhususkan 10 peratus
daripada setiap projek PPR sedia ada dan yang bakal dibina untuk dijadikan
rumah transit itu.
"Kalau boleh saya mahu seluruh blok bangunan itu dijadikan rumah
transit. Kita mungkin menjadikan rumah PPR sebagai rumah transit," katanya
menambah dalam jangka panjang kerajaan berharap dapat menyediakan 5,000 unit
rumah transit di seluruh negara.
Katanya beliau juga merancang untuk berbincang dengan Kementerian Wilayah
Persekutuan bagi mengambil alih Flat San Peng di Pudu untuk dijadikan projek
rumah transit bagi pasangan muda.
Abdul Rahman berkata selain berpendapatan bulanan kurang daripada
RM3,000, kriteria lain yang melayakkan pasangan muda memohon rumah transit
ialah berusia di bawah 30 tahun. – Bernama/Sinar Harian
No comments:
Post a Comment