PRK
KUALA BESUT: KEMENANGAN BN PENTING UNTUK KESTABILAN TERENGGANU
KUALA BESUT - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peranan dan kemenangan
calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dun Kuala Besut penting
untuk kestabilan pentadbiran dan pembangunan Terengganu.
Timbalan Perdana Menteri berkata bagi memastikan keadaan stabil
dikekalkan, BN mempertaruhkan calon Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, kerana
yakin ketokohan dan latar belakang yang dimiliki bekas jurutera itu mampu
menarik sokongan pengundi untuk kekal memilih BN sebagaimana pilihan raya umum
yang lalu.
"Peranan calon penting kerana Dun Terengganu kini tidak menentu
tetapi saya harap selepas 24 Julai politik di negeri ini kembali dan kekal
stabil di bawah BN.
"Saya punyai penuh keyakinan berdasarkan ketokohan, kelulusan,
pengalaman dan latar belakang calon dan keluarganya BN mampu mendapat
sokongan," katanya pada sidang media selepas tamat proses pencalonan di
Kompleks Rakan Muda Kuala Besut di sini hari ini.
Hadir sama calon BN Tengku Zaihan dan Timbalan Pengarah Pilihan raya BN
bagi pilihan raya itu, Datuk Seri Idris Jusoh.
Muhyiddin, yang juga Pengarah Pilihan Raya BN bagi Dun Kuala Besut
mengulangi keyakinan yang BN mampu mengekalkan kerusi itu dengan pertambahan
majoriti kerana berdasarkan laporan yang diterima, tiada isu besar yang perlu
ditangani kerana kebanyakannya telah diselesaikan pada PRU13 lepas.
Pada PRU13, BN menerusi calonnya, Dr A.Rahman Mokhtar menewaskan calon
Pas Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi. Beliau meninggal dunia pada 26
Jun lalu akibat kanser paru-paru.
Timbalan perdana menteri berkata pemilihan Tengku Zaihan bukan sahaja
mampu meneruskan kecemerlangan pembangunan yang dibawa Allahyarham, malah calon
muda itu dilihat mampu membawa suara dan inspirasi generasi muda di Kuala Besut
ke peringkat sepatutnya.
"Isu berhubung kait dengan soal pertanian dan perikanan juga telah
diambil kira, namun apa-apa isu berbangkit berhubung perkara itu akan ditangani
semasa tempoh berkempen.
"Dengan terpilihnya Tengku Zaihan nanti, masalah tersebut akan dapat
dilihat dengan lebih dekat," katanya.
Berhubung kempen, Muhyiddin berkata gerak kerja BN akan disesuaikan
dengan bulan Ramadan, namun cara berhemah yang bakal,dipraktikkan itu, tetap
berkesan kepada pengundi.
Beliau berkata Kuala Besut dan Besut secara amnya bukanlah kawasan yang
asing bagi BN kerana pemimpin dan wakil rakyatnya telah lama bertapak di situ
dan sudah tentu masyarakat setempat tahu apa yang boleh wakil BN tawarkan.
Pembangunan infrastruktur, fizikal dan syiar Islam yang dibawa pemimpin
BN ke kawasan itu jelas menunjukkan BN mendapat sokongan lebih baik daripada
masyarakat setempat.
Ditanya apakah BN bimbang dengan slogan 16-16, yang merujuk kedudukan Dun
Terengganu sekiranya Pas menang pada pilihan raya kecil itu, Muhyiddin berkata
beliau tidak mahu membuat jangkaan kepada perkara yang belum tentu terjadi.
"Saya tak fikir kita perlu pergi melangkaui sempadan, dengan membuat
andaian-andaian yang tidak tentu berlaku. Lebih baik tumpu pada proses pilihan
raya, selesaikan dan Insya-Allah kita akan dapat mengatasi segalanya.
"Saya juga tak mahu komen pasal parti lawan, yang saya tahu saya nak
jual produk saya, produk kita ialah Tengku Zaihan, calon berkaliber, ada
kelulusan, anak seorang ustaz, profesional dan orang muda dan saya fikir pengundi Kuala Besut bijak untuk menimbang
apa yang perlu mereka lakukan," katanya.
Muhyiddin kemudian meluangkan masa melawat bekas senator dan bekas Ketua
Wanita Umno Terengganu, Wan Ramlah Ahmad, 67, yang menghidap masalah darah
tinggi di Kampung Paya Rawa, kira-kira 200 meter dari tempat penamaan calon.
Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara
Tengku Zaihan dengan calon Pas Endot@Azlan Yusof. – Bernama/Sinar Harian
No comments:
Post a Comment