KABINET KEKAL
KEPUTUSAN MANSUH AKTA HASUTAN
PUTRAJAYA - Kabinet hari ini mengekalkan keputusan untuk
memansuhkan Akta Hasutan 1948, seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak tahun lepas, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.
Subramaniam.
Beliau berkata Akta Keharmonian Nasional yang menggantikan
Akta Hasutan kini dalam proses penggubalan.
“Akta Keharmonian Nasional ini akan memastikan kestabilan
politik dan keharmonian di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.
“Sebaik perlindungan ada di tempatnya, kita akan menarik
balik Akta Hasutan," katanya pada satu sidang media di sini hari ini.
Pada Julai tahun lepas, Najib mengumumkan Akta Hasutan 1948
akan dimansuhkan dan keputusan itu dibuat bagi mencari mekanisme yang dapat
menentukan keseimbangan terbaik antara keperluan menjamin kebebasan bersuara
setiap warga negara dan keperluan menangani kompleksiti kemajmukan yang wujud
di negara ini.
Namun, akhir-akhir ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi menyelar sikap sesetengah pihak yang mendesak supaya Akta
Hasutan 1948 dimansuhkan tanpa memikirkan impak negatifnya.
Ahmad Zahid menegaskan Akta Hasutan harus dikekalkan bagi
memelihara empat perkara utama termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan seperti
kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi, kedudukan Raja-raja Melayu,
kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak istimewa orang Melayu
akan dipersoal sesetengah pihak.
Dalam isu lain, Dr Subramaniam menegaskan sebagai seorang
menteri kesihatan beliau tiada kuasa untuk mengiktiraf program ijazah perubatan
daripada Crimea State Medical University (CSMU) di Ukraine.
“Saranan seorang pemimpin PKR agar saya menggunakan kuasa
sebagai menteri agar CSMU diiktiraf Majlis Perubatan Malaysia (MMC) adalah
tidak betul.
Saya tidak akan guna kuasa itu. Takkan ada penghujungnya.
Jika saya lakukan untuk satu kolej, banyak lagi kolej akan memohon perkara yang
sama.
“Sehubungan itu, MMC akan membuat pemeriksaan dan penilaian
secara profesional dan kementerian akan membuat keputusan,” katanya sambil
menegaskan bahawa penilaian MMC adalah untuk memastikan graduan perubatan yang
dilahirkan berkualiti. - Bernama
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment