GAMBAR PERSENDA RAMADAN: KESABARAN UMAT ISLAM TERUS
DIUJI PADA AWAL RAMADAN
KUALA LUMPUR - Kesabaran umat Islam terus diuji awal Ramadan ini selepas beberapa
laman mengutuk agama itu terus menjadi-jadi dengan penghinaan seperti
menggalakkan pemakanan babi untuk berbuka puasa serta kutukan terhadap Nabi
Muhammad SAW dan Allah SWT.
Tidak cukup
dengan tindakan pasangan porno amatur Alvin Tan dan Vivian Lee tentang juadah
bak kut teh untuk berbuka puasa, beberapa pemilik akaun Facebook dengan
pelbagai nama samaran dipercayai bagi melindungi identiti masing-masing semakin
berani mengutuk Islam.
Apa yang
menjadi persoalan ialah kelewatan pihak berkuasa antaranya Kementerian Dalam
Negeri, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas serta meyakinkan bagi
menangani isu-isu sensitif tersebut.
Sebagai
contoh, pengguna akaun Facebook 'Izlam is Shit Always' yang diwujud sejak 11
April lalu dan dipercayai beroperasi di luar negara secara berterusan mengutuk
Nabi Muhammad SAW dengan gelaran menghina sekali gus mengundang pelbagai komen
pengguna laman sosial itu terutama beragama Islam.
Selain itu,
modus operandi serta provokasi pemilik akaun tersebut terhadap umat Islam juga
dilihat serupa dengan 'lawak' Alvin dan Vivian selepas menyifatkan hidangan
babi sebagai sesuatu yang halal dimakan penganut Islam.
Paling biadab,
pemilik akaun itu turut menggelarkan para penganut Islam sebagai 'tikus'.
"Kesemua
tikus melayari (akaun ini) lebih banyak daripada biasa. Tentu kerana berpuasa.
Hidangan bakon (babi salai) untuk mereka berbuka puasa akan menjadikan mereka
insan yang lebih baik tetapi mereka semuanya tidak baik, setiap seorang
daripada mereka (tidak baik)," katanya menerusi komen yang disiarkan dalam
laman Facebooknya.
Dalam pada
itu, gambar serta keterangan gambar pemilik akaun tersebut turut mengundang
pelbagai kritikan dan kata-kata kesat pengguna beragama Islam lain yang
ternyata tidak dapat bersabar selepas berbalas komentar dengan pemilik
berkenaan.
Di sebalik
kemarahan tersebut, seorang pengguna 'Mohamad Mughniy' menasihati umat Islam
lain tidak melayan provokasi pengendali akaun berkenaan yang disifatkannya
sakit jiwa dan memerlukan terapi.
"Kepada
kesemua rakan Muslim, jangan membuang masa anda menghamburkan kebencian kepada
pengendali ini," katanya.
Pemilik akaun
mengutuk Islam itu turut mengingatkan para pelayar internet melawati akaun yang
dipercayai pendua dengan nama 'Bacon Jihad' sekiranya akaun 'Izlam is Shit
Always' terpaksa ditutup.–Utusan Online
No comments:
Post a Comment