ISA JAMIN DEMOKRASI
SELAMAT
SHAH ALAM – “(Bekas Perdana Menteri) Tun Abdul Razak Hussein
secara khusus mengatakan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) adalah untuk
menjamin demokrasi selamat.
"Hari ini pun demokrasi kita lebih hebat daripada zaman
beliau tetapi adakah kita berasa selamat?” kata Tokoh Wartawan Negara, Datuk A
Kadir Jasin dalam wacana, semalam.
Kadir berkata, demokrasi yang ada pada hari ini dianggap
sebagai tidak selamat kerana penghapusan beberapa akta antaranya ISA.
Beliau berkata, sebelum ini kerajaan menghapuskan ISA kerana
ia dikatakan sebagai kejam terhadap tahanan yang ditahan tanpa dibicarakan.
Merujuk kepada Singapura, beliau berkata, ada pihak mendakwa
sekiranya ISA tak dihapuskan pelabur takut untuk membuat pelaburan di negara
itu.
“ISA dikatakan perlu dihapuskan kerana kejam, tidak adil dan
jahat tetapi saya juga tahu ada sebuah parti pembangkang jika ada pemimpin tak
pernah ditahan ISA maka tidak dianggap hero.
“Kalau ISA tak dihapuskan pelabur tak datang ke Singapura.
Adakah pelabur sudah lari dari Singapura?” katanya.
Kadir berkata, beliau melihat Malaysia kini mengamalkan
demokrasi tidak selamat kerana termakan dakyah barat yang mengatakan negara ini
tidak menghormati hak asasi manusia.
Menurutnya, sejak Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik
Perdana Menteri, beliau mengadakan transformasi iaitu mengandungi hak kebebasan
rakyat dengan menghapuskan ISA.
“Apakah perlu kita menggubal undang-undang ini sekaligus
tanpa memikirkan baik buruknya dan tanpa undang-undang menggantikannya?”
katanya.
Kadir berkata, kerajaan tidak perlu tunduk dengan desakan
Barat yang sememangnya cemburu dengan kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara
Islam yang diperintah dengan baik.
“Mereka tak suka
Islam berjaya. Mereka menekan kita untuk terima hak asasi manusia dan kita
termakan dengan dakyah itu," katanya.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment