KIBAR SANG SAKA MALAYA: 'LUCUTKAN TARAF
KERAKYATAN'
Tindakan
kumpulan tertentu mengibarkan bendera digelar Sang Saka Malaya dan bukannya
Jalur Gemilang pada malam sambutan ulang tahun kemerdekaan negara di ibu negara
pada Jumaat lepas adalah mencabar kedaulatan negara, kata pakar sejarah Prof.
Datuk Dr. Ramlah Adam.
Ramlah
yang juga Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia (PKIRM) Universiti
Malaysia Perlis (UniMAP) berkata, ini melibatkan soal kemerdekaan, perjuangan
yang dibuat orang terdahulu untuk memastikan negara tercinta bebas daripada
penjajahan.
"Ini
soal negara, bukan soal politik. Bagi saya, kumpulan tertentu itu telah
mencabar kedaulatan negara.
"Walaupun
Malaysia mengamalkan sistem demokrasi, tetapi kita bercakap mengenai negara,
tidak melibatkan politik," katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau
berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan kumpulan tertentu
yang mengibarkan bendera itu pada malam sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56, di
Dataran Merdeka, Jumaat lepas.
Tindakan
kumpulan itu mencetuskan kemarahan seorang lelaki yang merampas bendera
berkenaan lalu menggumpalnya sambil memberitahu itu bukan bendera Malaysia dan
insiden itu mula dimuat turun di laman sosial.
Ramlah
turut mempersoalkan matlamat kumpulan itu yang mengibarkan bendera digelar Sang
Saka Malaya.
"Mana
kiblat mereka? Adakah mereka belot kepada negara? Mereka mendaulatkan sesuatu
yang tidak pernah diterima pada satu masa dahulu," katanya.
Sang
Saka Malaya merupakan bendera merah putih dengan 12 bintang kuning disusun tiga
baris empat jalur dilaporkan bendera milik sebuah persatuan di negara ini pada
era 1940-an.
Mengulas
mengenai penglibatan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, Ramlah berkata,
tokoh itu sepatutnya sensitif dengan perjuangan orang terdahulu daripada beliau
(A. Samad), yang berusaha memperoleh kemerdekaan untuk negara.
Ramlah
yang berasa sedih dengan penglibatan tokoh itu berkata, sebagai seorang yang
matang dan tokoh yang dihormati beliau perlu menghormati negara yang telah berjasa
kepada beliau.
"Kerajaan
mengiktiraf beliau dan kerajaan itu adalah kerajaan yang memimpin negara
sekarang," katanya.
Menurut
klip video itu, A. Samad dikatakan sedang mendeklamasikan sebuah sajak dengan
bendera Sang Saka Malaya berada berhampiran dengannya ketika seorang lelaki
merampas beberapa bendera itu.
Sehubungan
itu, Ramlah mahu kerajaan mengambil tindakan tegas terutama yang membabitkan
soal perlanggaran kenegaraan yang menyebabkan insiden seperti itu berleluasa.
Dalam
pada itu, Ramlah mengucapkan tahniah kepada lelaki berkenaan yang berani
merampas bendera itu.
Beberapa
penganalisis politik pula berpendapat pihak berkuasa seharusnya mengambil
tindakan tegas terhadap pihak yang cuba mencetuskan api kemarahan di kalangan
rakyat pelbagai kaum di negara ini termasuk mereka yang mengibarkan bendera
Sang Saka Malaya itu.
Timbalan
Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof.
Madya Dr. Sivamurugan Pandian berkata, usaha menukar bendera negara telah
bermula sejak tahun lalu lagi dan seperti tiada kesudahannya, insiden sama
berulang semula pada malam sambutan ulang tahun kemerdekaan negara Jumaat
lepas.
"Pihak
berkuasa perlu lebih tegas dan berani untuk mengambil tindakan serta menghukum
pihak yang tidak bertanggungjawab itu kerana jika tidak ia seperti kita
mengiktiraf bendera Sang Saka Malaya itu," katanya.
Beliau
berkata, mereka yang memahami sejarah negara serta peri pentingnya kedaulatan
itu dipertahankan, tidak akan melakukan tindakan sedemikian kerana bendera merupakan
nilai dan simbol negara.
Mengenai
tindakan berani lelaki dalam klip video itu, Sivamurugan berkata:
"Tindakan
lelaki dalam klip video itu patut dijadikan contoh dan iktibar oleh semua pihak
kerana beliau berani bertindak walaupun seorang diri."
Nada
sama turut dilontar Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Pengajian Media
Universiti Teknologi Mara, Prof. Madya Dr. Ismail Sualman yang berkata,
tindakan berani pihak tertentu cuba mengibarkan bendera lain selain Jalur
Gemilang jelas menunjukkan kurangnya penguatkuasaan daripada pihak berkuasa.
"Apabila
bendera itu dipaparkan pada malam itu...pihak berkuasa macam tak ambil
tindakan, tiada yang ambil perhatian sehingga ada pihak ambil kesempatan,"
katanya.
Beliau
menegaskan, usaha menukar Jalur Gemilang merupakan tindakan tidak berakal
kerana tiada negara di dunia ini yang menukar bendera masing-masing kerana ia
simbol kedaulatan sesebuah negara.
"Pemimpin
boleh bertukar dari semasa ke semasa...tapi bukan bendera. Tak ada lagi negara
di dunia ini tukar simbol kedaulatan mereka," katanya.
Presiden
Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay berkata,
tindakan tegas perlu dikenakan kepada mereka yang tidak putus-putus
mempersendakan Jalur Gemilang bagi memberi pengajaran kepada yang lain.
"Mengibarkan
bendera yang bukan Jalur Gemilang tidak sepatutnya berlaku...mereka perlu
menyanjung bendera kedaulatan kita bukan dengan mengambil kesempatan ketika
merdeka dengan mengibarkan bendera lain.
"Kerajaan
tidak seharusnya duduk diam lagi...satu tindakan tegas perlu diambil kepada
sesiapa sahaja yang tidak menghormati bendera kita...jangan biar ia
merebak," katanya.
Beliau
turut memuji keberanian pemuda yang merampas bendera yang digelar Sang Saka
Malaya itu daripada tangan individu-individu dan lantang mempertahankan Jalur
Gemilang.
Ketua
UMNO bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Al-Habshee berkata, tindakan berani pemuda
itu membuktikan ada rakyat Malaysia yang berani mempertahankan bendera negara
walaupun sedar berhadapan dengan sebilangan kumpulan tidak bertanggungjawab di
kawasan itu.
Katanya,
tindakan itu adalah mesej kepada pihak tertentu supaya tidak sewenang-wenangnya
mempermainkan bendera kebanggaan rakyat dan negara.
Beliau
meminta Kementerian Dalam Negeri menjalankan siasatan dan menangkap individu
yang mengibarkan bendera Sang Saka Malaya itu serta melucutkan taraf kerakyatan
mereka.
Sementara
itu, Setiausaha Agung Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Syed Anuar
Syed Mohamad meminta kerajaan mempertimbangkan supaya menarik kembali gelaran
tokoh Sasterawan Negara yang diberikan kepada A. Samad.
No comments:
Post a Comment