DISKRIMINASI KE ATAS
PEKERJA MELAYU?
SHAH ALAM –Amalan diskriminasi pekerja kaum Melayu
sememangnya wujud di sesetengah syarikat bukan Bumiputera kata Pengarah Hak
Asasi Manusia Manusia, Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan untuk
Pengguna-pengguna Malaysia (ERA Consumer Malaysia), Muhammad Sha’ani Abdullah.
Beliau berkata, amalan diskriminasi itu bukan saja dari segi
pengambilan pekerja, tetapi turut membabitkan layanan selepas diterima kerja.
“Misalnya, syarikat bukan Melayu tidak membenarkan pekerja
Muslim memakai tudung. Hak kakitangan juga ditindas apabila ada yang disuruh
melakukan kerja penting menjelang musim perayaan.
“Lebih malang, ada syarikat bukan Melayu yang dianggotai
ahli lembaga pengarah berbangsa Melayu. Tetapi, mereka langsung tidak memainkan
peranan untuk mencegah penindasan sebegini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan
Pengerusi Sukaguam, Datuk Khairul Anwar Rahmat yang menerima banyak aduan
tentang diskriminasi syarikat bukan melayu terhadap pekerja Melayu.
Khairul Anwar dilaporkan berkata, aduan paling banyak diterima adalah berhubung
dengan syarat mesti mahir berkomunikasi dalam bahasa Mandarin atau Kantonis
untuk diterima bekerja.
Muhammad Sha'ni berkata, laporan sebegitu pernah diterimanya
ketika memegang jawatan Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
“Memang ada laporan yang kita terima daripada pekerja.
Malah, saya pernah hantar surat aduan ke hotel yang tidak membenarkan pekerja
Muslimnya bertudung.
“Kita juga ada hantar surat ke Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (Jakim). Tetapi, baru-baru ini kita semak, masih tiada perubahan,” katanya.
Oleh itu, katanya, pekerja perlu berani membuat laporan
sekiranya terdapat amalan diskriminasi kakitangan berdasarkan kaum oleh
majikan.
"Tidak kira Melayu atau bukan Melayu, diskriminasi
pekerja mengikut kaum tidak sepatutnya berlaku. Menjadi tanggungjawab pekerja
agar menyalurkan maklumat sekiranya mendapati situasi ini terjadi.
“Mereka boleh menyalurkan aduan kepada Suhakam dan NGO lain.
Ini bagi memastikan majikan tidak berani melakukan amalan sebegini,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment