JANGAN LAKUKAN
PERBUATAN YANG BOLEH CETUSKAN SYAK WASANGKA - SULTAN SELANGOR
KLANG: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada
Rabu bertitah menyeru rakyat pelbagai kaum dan agama memainkan peranan
mengekalkan kemajuan di negeri ini dengan tidak melakukan apa jua perbuatan
yang boleh mencetuskan syak wasangka antara satu sama lain.
Baginda bertitah setiap rakyat Selangor perlu menghormati
kebebasan beragama dan tidak menyentuh perkara-perkara sensitif yang boleh
mengundang perasaan marah atau berlakunya perkara tidak diingini.
"Beta berkenan agar kemajuan di negeri Selangor ini
dapat berterusan hingga generasi akan datang.
"Oleh itu, setiap rakyat Selangor mestilah memainkan
peranannya untuk mengekalkan kemajuan ini dengan tidak menimbulkan apa-apa syak
wasangka di antara satu sama lain," titah baginda pada majlis jamuan teh
bersama rakyat sempena Hari Keputeraan baginda ke-68 di Padang Mahkota, Istana
Alam Shah di sini, Rabu.
Sehubungan itu, baginda mengingatkan para cendekiawan supaya
memahami mengenai perkara-perkara sensitif serta tidak membuat
pernyataan-pernyataan yang boleh mengguris hati rakyat Selangor sehingga
mengeruhkan keharmonian.
Baginda turut menyeru rakyat Selangor meneroka
peluang-peluang yang boleh menjadikan Selangor menjadi maju dan terunggul di
Malaysia.
"Janganlah biarkan kemajuan Selangor ini menjadi lembab
dan tidak berubah. Negeri Selangor tidak boleh maju jika rakyatnya yang
berbilang kaum tidak bersatu padu dan bekerjasama sebagai satu pasukan,"
titah baginda.
Sultan Selangor juga mahu rakyat negeri itu bersama-sama
membantu dan bekerjasama dengan polis untuk membanteras jenayah. – BERNAMA
Sumber: mStar Online
No comments:
Post a Comment