DISKRIMINASI PEKERJA
BUMIPUTERA: KERAJAAN PERLU PANTAU
SHAH ALAM - Kerajaan perlu memandang serius berkenaan
dakwaan wujudnya diskriminasi terhadap pekerja Bumiputera di syarikat bukan
Melayu.
Naib Presiden Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan
Bumiputra Malaysia (PPIPBM), Mohd Ghazali Abu Bakar berkata, ia kerana
melibatkan hak Melayu yang sengaja ditindas pihak tidak bertanggungjawab.
“Di sini pentingnya aduan yang diterima pejabat Jabatan
Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) untuk diambil tindakan segera,”
katanya.
Kata beliau, perkara ini berlaku akibat rasa tidak puas hati
kaum lain terhadap Melayu dan sengaja mahu merendah-rendahkan kaum Bumiputera.
“Sebenarnya perkara ini sudah lama berlaku, syarikat milik
bukan Bumiputera ini memang melaksanakan dasar diskriminasi terhadap Melayu
secara senyap.
“Bukan sahaja layanan, tapi melibatkan gaji dan pangkat juga
berlaku diskriminasi terhadap Melayu,” ujarnya.
Bagaimanapun katanya, berlainan dengan syarikat milik Melayu
yang sama sekali tidak menjalankan diskriminasi terhadap mana-mana kaum.
“Sepanjang saya terlibat dalam syarikat-syarikat Melayu, ada
juga mereka mengambil pekerja bukan Melayu, tapi tidak pula melakukan
diskriminasi.
“Ini sepatutnya dilaksanakan semua pihak supaya dapat
mengekalkan keamanan dan keharmonian antara semua kaum di Malaysia,” kata
beliau.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment