GTP TERUS BERI
MANFAAT KEPADA RAKYAT
KUALA LUMPUR - Program Transformasi Kerajaan (GTP), yang
memasuki fasa kedua pelaksanaannya tahun ini, terus memberikan manfaat kepada
rakyat pelbagai lapisan terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Tidak dinafikan selepas tiga tahun kerajaan memulakan
inisiatif GTP, rakyat turut merasai kesan daripada pelaksanaannya, apatah lagi
tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), termasuk NKRA menangani Kos Sara
Hidup rakyat, yang terkandung dalam program berkenaan, sememangnya disasarkan
kepada mereka.
Kerajaan membelanjakan RM2.34 bilion untuk program Bantuan
Rakyat 1Malaysia (BR1M) sejak diperkenalkan akhir 2011 dan memberi manfaat
kepada lebih enam juta rakyat atau hampir 25 peratus daripada jumlah penduduk
negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika
membentangkan Bajet 2014, Oktober lepas, berkata pemberian BR1M kepada isi
rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah dinaikkan daripada RM500
kepada RM650, manakala bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang
berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan akan dinaikkan
daripada RM250 kepada RM300.
Sebagai tambahan, buat pertama kalinya BR1M 3.0 akan
diperluas kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga
RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450.
Program bantuan persekolahan RM100 kepada pelajar sekolah
rendah dan pelajar sekolah menengah pula diteruskan mulai Januari 2013 dengan
peruntukan RM540 juta.
Kerajaan juga meneruskan program Baucar Buku 1Malaysia
kepada pelajar institusi pengajian tinggi dan prauniversiti dengan nilai baucar
dinaikkan daripada RM200 kepada RM250.
Dari segi meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan
berkemampuan, kerajaan menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)
2013-2025 bagi memperkasa sistem pendidikan negara secara berterusan supaya
dapat meningkatkan daya saing negara
pada peringkat global.
Memuji Malaysia bagi insiatif itu, Ketua Pengarah Pertubuhan
Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco) Dr
Irina Bokova berkata PPPM yang dilancarkan pada September juga menjadikan
Malaysia sebagai contoh baik dan ia boleh diaplikasi serta berguna untuk negara
anggota Unesco yang lain.
Menurut Laporan Ekonomi 2013/2014, kerajaan menyediakan
peruntukan RM450 juta di bawah NKRA Pengurangan Jenayah dan sejumlah RM24.5
juta diperuntukkan bagi pembelian 1,000 unit motosikal 250cc untuk Unit Rondaan
Bermotosikal (URB) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
PDRM akan menumpukan usaha membanteras jenayah khususnya di
kawasan perumahan yang melibatkan kerjasama rakyat di bawah Kempen 1Aman.
NKRA Membanteras Rasuah pula dilihat mencapai sasaran
melebihi Penunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan apabila Forum Ekonomi
Dunia (WEF), dalam Laporan Daya Saing Global (GCR) 2013-2014, menyenaraikan
Malaysia sebagai negara pada kedudukan ke-33 bagi Indeks Etika dan Rasuah
daripada 148 negara.
Selain itu, menurut Transparency International Malaysia
(TI-M), kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bertambah baik,
iaitu dari tempat ke-54 tahun lepas ke-53 tahun ini, dengan mata CPI bergerak
satu tangga daripada 49 ke 50.
Kerajaan membelanjakan RM145 juta untuk projek pembangunan
infrastruktur asas luar bandar bagi GTP 2.0 dan daripada jumlah itu, RM137 juta
diperuntukkan untuk program Kampung Abad ke-21 dan Desa Lestari, manakala RM8
juta untuk Program Ladang berskala besar bagi kampung-kampung di luar bandar.
Sasaran kerajaan tahun ini adalah untuk membina sepanjang
441 kilometer (km) jalan luar bandar dan menambahbaik sepanjang 730 km jalan
luar bandar dalam program penyelenggaraan luar bandar.
Selain itu, kerajaan akan menyediakan bekalan air kepada
24,000 buah rumah dan penyediaan bekalan elektrik kepada 19,811 buah rumah luar
bandar di seluruh negara.
Projek Rimbunan Kasih (PRK), satu program transformasi
kerajaan bagi memajukan masyarakat luar bandar, adalah bukti kerajaan membela
nasib rakyat untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.
Projek bersepadu termasuk di Terengganu, Perlis, Sabah dan
Pahang itu menggabungkan perumahan dan projek pertanian yang didirikan di
kawasan seluas 12 hektar bagi menempatkan kira-kira 100 keluarga berpendapatan
rendah dan asnaf.
Malaysia juga diyakini boleh menjadi hab industri lokomotif
rantau Asia dengan pembukaan kilang lokomotif dan gerabak di Perak, di bawah
projek pembangunan kejuruteraan dan teknologi maju rel Malaysia.
Kilang yang dibuka syarikat Kumpulan CSR dari China itu
menjanjikan 800 peluang pekerjaan awal di bawah pelaburan fasa pertama sebanyak
RM400 juta. – Bernama
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment