Friday, August 10, 2012

SEKUMPULAN NGO ANJUR PERHIMPUNAN “JANJI BERSIH” PADA AMBANG MERDEKA
 
KUALA LUMPUR: Sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama Bersih akan menganjurkan satu perhimpunan di Dataran Merdeka pada malam sambutan Hari Merdeka bagi mengulangi tuntutan penambahbaikan pilihan raya.

Wakil kumpulan itu iaitu Pengerusi bersama Bersih, Datuk A Samad Said berkata, perhimpunan itu yang dikenali sebagai “Janji Bersih” akan bermula pada pukul 10 malam pada 30 Ogos, bertempat di sebelah pancutan air berhampiran dengan tepi Dataran Merdeka.

Semua yang menyertainya diminta untuk memakai pakaian warna kuning.

“Objektif kami adalah untuk meminta rakyat Malaysia supaya sentiasa ingat bahawa sambutan kemerdekaan perlu berlandaskan demokrasi yang telus,” kata Samad pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina di sini, Khamis.

Beliau berkata, para penganjur belum lagi menjangkakan berapa ramai yang akan hadir tetapi katanya, perhimpunan yang seperti itu turut akan diadakan pada waktu yang sama di lokasi-lokasi lain seluruh negara dan semua orang, termasuk pemimpin parti politik akan dijemput untuk menyertainya.

Ketika ditanya sama ada para penganjur merancang untuk memohon permit daripada polis untuk menganjurkan majlis itu, aktivis politik, Hishammuddin Rais yang turut hadir pada sidang media dan menjawab mewakili penganjur berkata, isu itu tidak dibangkitkan.

Beliau berkata, ini kerana majlis tersebut adalah bermakna bagi membolehkan rakyat Malaysia menyokong terhadap tuntutan kepada pilihan raya yang bersih, untuk menyertai detik sambutan kemerdekaan yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada malam itu.

Bersih pada tahun lalu mengeluarkan lapan tuntutan terhadap kerajaan, di mana antaranya termasuk mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung penambahbaikan proses pilihan raya.

Laporan PSC mengandungi 22 cadangan yang dibentangkan di Parlimen pada April dengan kerajaan kini mengkaji dan melaksanakan cadangan tersebut.
HAD LAJU DI JALAN PERSEKUTUAN, JALAN NEGERI DIKURANGKAN 10KM SEJAM BERMULA 12 OGOS - 26 OGOS

KUALA LUMPUR: Had laju di jalan persekutuan dan jalan negeri di seluruh negara akan dikurangkan sebanyak 10km sejam (km/j) dalam usaha memastikan keselamatan pengguna jalan raya ketika perjalanan 'balik kampung' untuk menyambut Aidilfitri.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, pengurangan kadar had laju itu akan dikuatkuasakan selama dua minggu bermula 12 Ogos sehingga 26 Ogos.

Katanya, sehubungan itu had laju bagi jalan persekutuan diturunkan kepada 80km/j daripada 90km/j dan jalan negeri ialah 70km/j daripada 80km/j.

"Langkah ini diambil bagi memberi kesedaran pada orang ramai mengenai keselamatan jalan raya yang mana kelajuan tinggi merupakan faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan angka kemalangan saban tahun.

"Justeru kerajaan berharap bahawa tindakan dan intervensi ini akan membawa impak positif dalam usaha mengurangkan kemalangan, kadar kecederaan parah sertakematian akibat kemalangan jalan raya," katanya kepada pemberita selepasmelancarkan Kempen Bersepadu Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan sempenaAidilfitri di Terminal Bersepadu Selatan di sini, Khamis.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Solah MatHassan, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Leslie Leon, KetuaPengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Salleh Yusup, Ketua PengarahInstitut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Dr Wong Shaw Voon dan TimbalanKetua Pasukan Bukit Aman ACP Mohd Fuad Abd Latif.

Kong berkata, semua kenderaan barangan yang membawa muatan berat bukan bekalan keperluan harian juga dilarang menggunakan lebuh raya di seluruh negara pada 17 dan 18 Ogos serta 25 dan 26 Ogos.

Katanya, larangan tersebut dikeluarkan bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna lebuh raya yang akan pulang ke kampung masing-masing sebelum dan selepas Aidilfitri.

Sementara itu, beliau berkata, Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) masih didalam peringkat percubaan dan dijangka beroperasi sepenuhnya selewatnya hujungtahun ini.

Katanya, pada masa ini, sistem tersebut telah dibangunkan di 10 lokasi 'blackspot' di seluruh negara dan sedang diuji keberkesanannya sebelum ianya dilaksanakan secara berperingkat.

"Kesemua kamera akan dipasang secara berperingkat dan buat masa ini kitalakukan percubaan terhadap sistem tersebut bagi memastikan pelaksanaannya nanti berjalan lancar dan berfungsi dengan betul".

Beliau berkata, sebagai langkah peringatan kepada pemandu, papan tanda pemberitahuan 'Zon Operasi Kamera' yang mencukupi akan dipasang dalam lingkungandua kilometer daripada lokasi kamera.

Sistem itu yang akan dilaksanakan di 825 kawasan berisiko kemalangan dan kawasan lampu isyarat pada mulanya dijangka dilaksana sepenuhnya di seluruh negara bermula 12 Ogos ini.

Dalam pada itu, Kong berkata, bagi memastikan keadaan bas dan pemandu dalamkeadaan baik, JPJ akan membuat pemeriksaan di 32 buah terminal utama di seluruh negara dengan memberi tumpuan kepada brek dan tayar bas.

"Demi memastikan pemandu bas ekspres bebas dari pengaruh dadah, pasukan narkotik dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan turut bersama membuat pemeriksaan di terminal-terminal bas utama di seluruh negara.

"Selain itu, JPJ juga akan mempunyai pasukan penyamaran sebagai penumpang bas ekspres untuk memerhatikan tingkah laku pemandu bas," katanya. - BERNAMA

Thursday, August 9, 2012

TEMA HARI KEBANGSAAN: PEMBANGKANG BUAT PUSINGAN 'U',  AKHIRNYA GUNA TEMA SAMA

PETALING JAYA: Tiga negeri yang dikuasai pembangkang iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan akhirnya akur dengan arahan supaya menggunakan tema sambutan Hari Kemerdekaan yang sama iaitu `Sebangsa, Senegara, Sejiwa' walaupun ia tidak dipersetujui sebelum ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun menafikan dakwaan persetujuan ketiga-tiga negeri berkenaan hanya dicapai selepas menerima kritikan daripada banyak pihak kononnya pembangkang gagal mencapai persetujuan dalam menentukan tema yang seragam.

"Ia bukan sebegitu (lepas menerima kritikan). Sebenarya apa yang berlaku ialah Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan sudah buat keputusan awal. Jadi sebab itu mereka umumkan awal.

"Tapi selepas ianya dirujuk kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, mereka setuju untuk ikut. Ini menunjukkan kesediaan negeri-negeri ini untuk bersama dengan kita," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, Khamis.

Sebelum ini Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menjelaskan pembangkang memutuskan tema sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini ialah `Sebangsa, Senegara, Sejiwa.'

Bagaimanapun ia hanya dipersetujui oleh Selangor, manakala Kelantan memilih tema `Menerajui Perubahan' dan Kedah dengan tema '55 Tahun Merdeka Terus Berbakti: Pulau Pinang turut menolak dan memilih tema 'Budaya Bersih, Merdekakan Rakyat.'

Sementara itu pada sidang media yang sama Exco Kelantan, Datuk Husam Musa menjelaskan tidak timbul dakwaan kononya negeri yang ditadbir pembangkang enggan menggunakan tema yang sama kerana mereka mempunyai hak untuk memilih tema sendiri bagi sambutan peringkat negeri.

"Kita boleh ada dua tema, memang Kelantan tolak penggunaan tema peringkat kebangsaan yang diberikan Kerajaan Persekutuan. Jadi kita pilih tema `Menerajui Perubahan'.

"Namun kita juga bersetuju agar menggunakan tema Pakatan Rakyat sebagai tema kebangsaan iaitu `Sebangsa, Senegara, Sejiwa'," katanya.

                                 
TEMA MERDEKA KEEMPAT BAGI NEGERI PAKATAN


Pulau Pinang mengumumkan bahawa ia tidak akan menggunakan tema Hari Merdeka alternatif Pakatan Rakyat kerana ia telahpun memutuskan temanya sendiri pada bulan Julai lalu.

Ini bermakna semua empat negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat akan menggunakan tema Merdeka yang berlainan.

Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, kerajaan negeri akan menggunakan tema ‘Budaya Bersih, Merdekakan Rakyat’.

Pakatan telah mengumumkan  Sebangsa, Senegara, Sejiwa pada 1 Ogos lalu sebagai tema alternatif kepada tema kerajaan pusat Janji ditepati.

Tema kerajaan pusat itu menjadi sasaran kritikan kerana ia juga digunakan oleh BN sebagai tema kempennya menjelang pilihan raya umum.

Seperti Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan telah pun memutuskan tema masing-masing sebelum kepimpinan tertinggi Pakatan mengumumkan tema alternatif tersebut.

KD: Tambah satu lagi tema untuk Pakatan Rakyat. Memang meriah..

PELANCARAN BN YOUTH CYBER TEAM - BNYCT
 
Setelah sekian lama berlangsung tanpa sebarang koordinasi khusus, sayap-sayap Pemuda di bawah Barisan Nasional bakal digabungkan dan bergerak sehala bagi menepis segala retorika & propaganda pembangkang di ruangan siber.

Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (Pemuda BN) telah melancarkan BN Youth Cyber Team (BNYCT) sebagai sebuah badan sukarelawan untuk generasi muda bersama Pemuda BN dalam menyampaikan maklumat melalui media sosial atau media baru ini.

Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, dengan penubuhan BNYCT ini dapat mewujudkan satu gelombang di mana maklumat daripada pihak BN dapat disampaikan kepada masyakat umum terutamanya kepada generasi muda dengan lebih cepat dan lebih tersusun daripada apa yang ada pada hari ini.

“Kita terima hakikat bahawa hari ini, kebanyakan daripada generasi muda walaupun masih lagi bergantung kepada media arus perdana, tetapi ada trend yang menunjukkan bahawa mereka juga mendapatkan maklumat mereka daripada sumber-sumber yang berkait rapat dengan media sosial.

Kita mestilah memastikan pendapat dan pandangan penyokong BN dan Pemuda BN, kita bagi bagi saluran yang mudah kepada mereka mewujudkan rangkaian atau ekosistem tersebut,” ujarnya kepada media selepas melancarkan BN Youth Cyber Team di Dewan Seri Endon, PWTC.

Dalam masa yang sama, Pemuda BN tidak meletakkan apa-apa sasaran dalam masa terdekat tetapi Khairy berharap dan yakin lebih ramai generasi muda akan menyertai BNYCT sebab ianya berbeza dengan cybertrooper, seperti UMB kerana kerja mereka berperang khususnya dengan pihak pembangkang sebaliknya BNYCT lebih kepada pandangan, pendapat dan penyampaian maklumat tanpa terlibat dalam peperangan siber. (http://mahamissa.blogspot.com)

KD: Ayuh lupakan sengketa sesama, kini masa yang tepat untuk berganding bahu bagi membuktikan BN masih berdaya mengibarkan panji pemerintahan dengan gagah selepas PRU13. Hapuskan petualang yang cuba mengugat keharmonian di negara Malaysia tercinta ini....

KERAJAAN KELANTAN TIDAK AKAN BOIKOT JAWATAN KUASA KHAS PETROLEUM

KOTA BARU: Kerajaan negeri Kelantan tidak akan memulaukan jawatan kuasa khas yang dibentuk bagi mengkaji bayaran tunai hasil petroleum negara kepada tiga negeri di pantai Timur.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata tidak ada sebab untuk memulaukan jawatankuasa berkenaan kerana kerajaan negeri berminat untuk mendapatkan bayaran tunai hasil petroleum itu dalam tempoh terdekat.

"Bagaimanapun, kita akan berbincang isu ini di peringkat Exco atau melantik wakil kita dalam jawatankuasa berkenaan walaupun nama Tengku Razaleigh telah dicadangkan, namun belum ada keputusan mengenainya dibuat.

"Tidak ada sesiapa akan memboikot kerana kami mahu duit tersebut dibayar kepada kerajaan negeri dan tidak ada keperluan untuk melambatkan pembayaran royalti berkenaan kerana ia sememangnya milik negeri Kelantan," kata Nik Aziz kepada pemberita selepas merasmikan Projek Anak Muda Kelantan di sini, Rabu.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro-PAS, Gabungan Professional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (Royalti) tuntut kerajaan negeri Kelantan yang diperintah oleh PAS memboikot jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh kerajaan Persekutuan baru-baru ini.

Memorandum menggesa kerajaan negeri memboikot jawatankuasa khas petroleum itu diserahkan oleh Pengerusi NGO berkenaan, Nazri Deraman kepada Nik Aziz sebaik sahaja majlis rasmi beliau selesai./MStar

KD: Untuk kebaikan rakyat, sememangnya wajar kerajaan negeri Kelantan menyokong usaha ini. Dengan kerjasama dan kefahaman dari semua pihak, pasti setiap masalah dapat diselesaikan.

CIJ LANCAR HARI INTERNET BLACKOUT
KUALA LUMPUR: Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Malaysia mengumumkan hasratnya untuk melancarkan Hari Internet Blackout pada 14 Ogos 2012.

Ia merupakan sebahagian daripada kempen menentang Seksyen 114A yang merupakan pindaan terbaru terhadap Akta Keterangan 2012 yang diwartakan pada 31 Julai lalu.

Kempen ini bertujuan untuk menyedarkan para pengguna Internet tentang kesan negatif pindaan ini terhadap kebebasan berinternet.

Hari Internet Blackout ini mengambil contoh usaha yang dilakukan aktivis-aktivis di Amerika Syarikat dan New Zealand untuk memperjuangkan kebebasan berinternet di negara masing-masing.

Untuk tempoh 24 jam, para pengguna Internet yang berkunjung ke laman-laman web yang mengambil bahagian akan dapat melihat paparan yang mempunyai mesej kempen tersebut.

CIJ menyeru para pengguna Internet di Malaysia untuk menyertai kempen ini dengan memaparkan paparan yang direka khas tersebut pada laman web serta blog mereka.

Pengguna Facebook dan juga Twitter juga digalakkan menukar gambar profil dan avatar dengan warna hitam atau gambar yang boleh dimuat turun melalui CIJ.

Pegawai Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas, Masjaliza Hamzah berkata objektif pelaksanaan kempen tersebut ialah untuk menggesa Kerajaan untuk menarik semula pindaan terbabit yang dipercayai telah diluluskan secara tergesa-gesa di parlimen empat bulan lalu.

Sebelum ini, pemerhati media tersebut telah melancarkan e-petisyen untuk menggesa pihak Kerajaan menarik semula Seksyen 114A Akta Keterangan 2012 kerana pindaan tersebut dikatakan mengancam kebebasan berinternet dan mengandaikan kesalahan di pihak tertuduh tanpa dibuktikan kesalahannya terlebih dahulu.

Petisyen yang ditandatangani oleh lebih daripada 3300 pengguna Internet tersebut kemudiannya diserahkan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk VK Liew di parlimen.

CIJ juga telah menganjurkan forum terbuka bertajuk ‘Seksyen 114A: Pencegahan Jenayah atau Tapisan Internet?’ untuk membincangkan kesan-kesan pindaan terbabit.

Pindaan kedua terhadap Akta Keterangan itu telah menarik perhatian ramai pihak termasuk para peguam dan juga pemilik restoran yang menyedia kemudahan Wi-Fi.

Seksyen 114A bukan sahaja mengandaikan kesalahan di pihak tertuduh, bahkan juga menjadikan individu-individu yang terlibat dalam menyediakan perkhidmatan berkaitan Internet seperti ruang forum, blog dan pengehosan web bertanggungjawab terhadap segala bahan yang terkandung dalam perkhidmatan mereka.

Di bawah pindaan terbaru ini, seseorang pengguna Internet yang akaun atau komputernya digodam dianggap bertanggungjawab terhadap segala bahan yang dimuat naik atau turun oleh penggodam.

Kempen untuk Hari Internet Blackout ini telah menerima sambutan yang positif daripada kalangan pengguna Internet.

Laman-laman web popular seperti laman jual beli lelong.com.my, komuniti forum cari.com.my, dan portal hiburan gua.com.my telah menyatakan hasrat untuk menyertai kempen ini.

Selain itu, laman berita seperti Malaysiakini, Harakahdaily, Free Malaysia Today, The Nut Graph dan Digital News Asia turut sama menunjukkan minat.

Blogger seperti Niki Cheong dan Nat Tan juga akan turut serta dalam kempen ini.

Pengguna Internet yang ingin mengambil bahagian boleh menghubungi CIJ melalui emel cijmalaysia@gmail.com atau telefon di talian 03-4024 9840.

Untuk keterangan lanjut sila berkunjung ke blog rasmi kempen di www.stop114a.wordpress.com atau laman Facebook di https://www.facebook.com/evidenceamendmentact.