Thursday, April 4, 2013

PRU13: AMALKAN POLITIK MATANG – RAJA DR.NAZRIN

Kuala Kangsar: Pemimpin parti politik diingatkan bijak berpolitik melalui amalan demokrasi yang matang bagi menjamin kelancaran proses PRU-13.

Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah, bertitah pilihan raya adalah satu proses yang memberikan hak dan peluang kepada warga negara untuk memilih kerajaan dan wajib dihargai.

Bantu jamin pilihan raya aman

Justeru titah baginda, semua pihak dan setiap rakyat perlu membantu menjamin pilihan raya berlangsung dalam keadaan aman dan tenteram berteraskan semangat keluhuran Perlembagaan dan mendaulatkan undang-undang.

“Parti-parti politik terutama barisan pimpinannya hendaklah mencerminkan sifat penuh bertanggung jawab dengan sentiasa mengutamakan aspek keselamatan, ketenteraman awam dan perpaduan warga.

“Dalam usaha untuk mendapatkan sokongan, perkara yang berpotensi mengguris perasaan warga berhubung sensitiviti agama, kaum, budaya dan bahasa hingga ke peringkat yang boleh menjejaskan hubungan harmoni dan perpaduan hendaklah dijauhkan sama sekali.

“Adalah wajib dipelihara dan wajib dipastikan tidak diucap sebarang perkataan dan tidak dilakukan sebarang perbuatan yang boleh menghalang kelancaran perjalanan pilihan raya,” titah baginda ketika menzahirkan pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-12 di Istana Iskandariah di sini, semalam.

Pada istiadat itu baginda memperkenankan dan menandatangani Watikah Perkenan Pembubaran DUN ketika menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bagi mendapatkan perkenan pembubaran itu. - BHarian

PRU13: PAS SEDIA TAMBAH CALON MUSLIMAT, BUKAN ISLAM

MARANG: PAS akan mempertaruhkan calon Muslimat untuk bertanding mewakili parti itu bagi 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di seluruh negara pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, berkata calon Muslimat adalah sebahagian pertaruhan parti itu untuk memenangi PRU-13, selain calon bukan Islam yang dipilih daripada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) sendiri.

Tanding 76 kerusi Parlimen
 
Beliau berkata, PAS akan bertanding di 76 daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen pada PRU-13 dan bakinya adalah pembahagian yang akan dibuat antara DAP, PKR termasuk parti pembangkang di Sabah dan Sarawak.

“PAS bakal menambah lebih ramai calon Muslimat selain muka baru, serta mengekalkan muka lama untuk bertanding termasuk di lebih 200 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara.

“Calon sudah dimuktamadkan termasuk calon bukan Islam daripada DHPP merangkumi kaum Tionghua, India dan Iban di Sarawak,” katanya pada sidang media di kediamannya di Rusila di sini, semalam.

Hadi berkata, secara keseluruhan (pembahagian kerusi Parlimen) yang akan ditandingi pakatan pembangkang sudah selesai dan kalau ada pun ia lebih kepada masalah teknikal yang akan diselesaikan dalam masa terdekat, iaitu sebelum penamaan calon.

Keputusan Hadi

Ditanya sama ada beliau sudah membuat keputusan untuk bertanding atau kekal di Parlimen Marang yang diwakilinya sekarang, Hadi berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada parti untuk menentukannya.

Mengenai desas desus beliau mahu memberi laluan kepada anaknya, Muhammad Khalil untuk bertanding di DUN Rhu Rendang, beliau berkata PAS tidak menjadikan kedudukan wakil rakyat sebagai warisan turun temurun. - BHarian
BN SEDIA RAMPAS SEMULA SELANGOR

SHAH ALAM: Jentera Barisan Nasional (BN) Selangor di semua peringkat sudah bersedia untuk memastikan kemenangan calon parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), sekali gus merampas kembali negeri itu.

Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar, berkata selain persediaan lebih rapi berbanding PRU 2008, prestasi pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, turut menyaksikan peningkatan sokongan terhadap BN.

“Saya yakin rakyat mahu BN kembali mengambil alih pentadbiran kerajaan Selangor daripada pakatan pembangkang yang gagal menepati janji untuk membawa kemajuan, pembangunan dan keharmonian di Selangor,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, tinjauan di Bangunan UMNO Selangor mendapati petugas pilihan raya sibuk membuat persiapan termasuk menyusun pelbagai kotak untuk dihantar kepada pejabat UMNO setiap bahagian.

BN Selangor akan bertanding di semua 56 kerusi DUN Selangor serta 22 Kerusi Parlimen. Sebanyak 894 Pusat Daerah Mengundi (PDM) BN ditubuhkan bagi memastikan kemenangan calon BN. - BHarian
PRU13: HARI MENGUNDI AKHIR APRIL

PUTRAJAYA: Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) boleh diadakan seawal 20 April ini dengan penamaan calon pada Rabu depan berikutan pembubaran Parlimen semalam.

Bagaimanapun, SPR dijangka menganjakkan hari penamaan calon pada 13 April, manakala pengundian 27 April selepas mengambil kira kedua-dua tarikh berkenaan adalah cuti hujung minggu.

Tunggu surat Speaker

Mengikut peraturan penetapan tarikh penamaan calon dan pengundian, writ pilihan raya mesti dikeluarkan sekurang-kurangnya sehari, manakala notis empat hari sebelum penamaan calon. Kempen pula mesti diadakan sekurang-kurangnya 11 hari.

Sumber SPR memaklumkan, berdasarkan pengalaman sebelum ini pengundian biasanya diadakan pada Sabtu, penamaan calon pula lazimnya diadakan 10 hari selepas pembubaran.

Pada pilihan raya umum (PRU) 1999 dan 2004, tempoh antara pembubaran dan hari penamaan calon ialah sembilan hari, manakala pada PRU 2008, masa yang diambil ialah 11 hari.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pihaknya menunggu surat pemakluman daripada Speaker Dewan Rakyat dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum boleh mengadakan mesyuarat menetapkan hari penamaan calon dan tarikh pengundian.

Beliau menjangka SPR menerima pemakluman rasmi dalam tempoh beberapa hari akan datang selepas semua DUN dibubarkan.

Tempoh kempen 14 hari

Sementara itu, tempoh berkempen dijangka mencecah 14 hari berikutan ketetapan tempoh berkempen perlu diadakan sekurang-kurangnya 11 hari.

Mengikut rekod, tempoh kempen PRU 2008 ialah 13 hari, berbanding lapan hari pada PRU 2004 dan sembilan hari bagi PRU 1999. - BHarian
PRU13: PERMATANG PAUH DEDAH BELANG ANWAR

BUTTERWORTH: Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan hasrat bertanding di Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dianggap rahmat kepada penduduk Parlimen Permatang Pauh yang sudah sekian lama mahu menolak kepemimpinan Penasihat PKR itu.

Perkara itu disuarakan penduduk Permatang Pauh sendiri yang mendakwa Anwar selama ini tidak pernah menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen, sebaliknya hanya mempergunakan masyarakat di kawasan itu kerana taksub mengejar cita-cita politiknya untuk menjadi Perdana Menteri.

Penduduk Kampung Mengkuang, Yusof Sudin berkata, Anwar yang diberi mandat sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh sejak 1982 sudah jauh berubah kerana dilihat leka mendahulukan matlamat peribadinya berbanding berkhidmat kepada rakyat di kawasan itu.

Lalai jalan tanggungjawab

“Apa erti seorang wakil rakyat kalau bukan bersama rakyat? Sikap Anwar yang sibuk berpolitik menyebabkan dia lalai dalam menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen dan jarang sekali pulang ke kawasan untuk menjenguk rakyat.

“Kalau Anwar pulang ke Permatang Pauh pun, niatnya hanya sekadar untuk berkempen dengan memperdaya masyarakat di sini untuk terus menyokongnya. Namun, apabila rakyat memerlukan khidmatnya, dia ‘lesap’ entah ke mana dan ini membuatkan penduduk tawar hati untuk terus menyokongnya,” katanya di sini, semalam.

Yusof berkata, sikap sambil lewa Anwar terhadap penduduk Permatang Pauh berlaku kerana beliau terlalu selesa di kawasan yang dikatakan kubu kuatnya, selain yakin pengikut setianya akan terus menyokongnya.

“Sudah sekian lama penduduk Permatang Pauh dipergunakan Anwar dan kami semakin sedar keadaan ini dan kalau dia bertanding sekali pun di sini, saya percaya sokongan terhadapnya tidak lagi hebat seperti dulu dan kemungkinan besar beliau tewas,” katanya.

Semalam, Ketua Pembangkang itu pada sidang media di Ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, mengumumkan akan bertanding di luar kubu kuatnya di Permatang Pauh dan memilih Perak pada PRU-13.

Mahu lari

Penduduk, Mohd Rafizal Yusof berkata, keputusan Anwar ‘lari’ dari Permatang Pauh itu mempunyai kaitan dengan sokongan berkurangan rakyat kawasan itu terhadapnya berikutan kegagalannya menyumbang kepada program dan pembangunan di situ.

“Anwar semakin ‘besar kepala’ sejak mendapat mandat pada 2008 dan meminggirkan rakyat di sini dan hanya pulang sesekali, itupun jika terpaksa menghadiri majlis besar pembangkang negeri, manakala selebihnya untuk ceramah politik.  - BHarian