Thursday, April 25, 2013

PRU13: BILIK GERAKAN BN DIBALING BOM

SUNGAI BESAR - Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Parit 9, Sungai Leman di sini, dibaling bom petrol dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi ini.

Kejadian itu bagaimanapun disedari salah seorang penduduk kampung yang bertindak menghubungi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Kerajaan Persekutuan (JKKKP) setelah melihat api mula menyambar kain rentang BN.

Pengerusi JKKKP Parit 9, Sungai Leman, Zulkefli Hassan berkata, kebakaran berjaya dipadam bersama anggota parti yang lain, sekali gus dapat menyelamatkan bilik gerakan yang juga balai raya berusia lebih 30 tahun itu daripada hangus.

Ekoran kejadian itu, katanya, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Sekinchan awal pagi ini bagi membolehkan dalang kes ditangkap.

"Kejadian berlaku kira-kira pukul 4 pagi, sebelum itu saya sendiri berada di bilik gerakan untuk menjalankan kerja parti bersama rakan. Hasil pemeriksaan awal menemui satu botol air mineral di kawasan kebakaran.

"Saya hanya menyedari kejadian ini selepas dimaklumkan oleh rakan, selepas itu saya bergegas ke bilik gerakan untuk memadam api, saya mengesyaki kebakaran ini sebagai perbuatan untuk mensabotaj kempen BN," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, pemilik tanah tapak bilik gerakan, Ismail Sutan, 72, kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang sanggup menggunakan cara kotor semasa berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini.

Katanya, mana-mana pihak perlu berfikiran positif dan sepatutnya melakukan kempen secara berhemah.

"Tindakan membakar bilik gerakan yang juga balai raya di sini merupakan tindakan tidak wajar sama sekali," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supritendan Noor Mushar Mohamad ketika dihubungi berkata, pihaknya yang menerima laporan pagi ini bergegas ke lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan menemui satu botol plastik yang dijadikan sebagai bom petrol di kawasan tersebut.

Menurutnya, bom petrol tersebut dipercayai dibaling oleh individu tertentu yang menaiki kenderaan ke arah bilik gerakan terbabit sebelum api menyambar kain rentang BN yang digantung di dinding bilik gerakan itu.

"Nasib baik seorang penduduk yang kebetulan melalui kawasan tersebut ternampak api dan kemudian memadamkannya bersama jentera parti yang lain daripada merebak ke seluruh bilik gerakan," katanya.

Noor Mushar memberitahu, setakat ini pihaknya belum dapat memastikan sama ada tindakan khianat itu dilakukan pihak lawan namun polis sedang mengenal pasti individu terlibat dan akan membuat tangkapan segera.

Beliau bagaimanapun meminta semua pihak bertenang dan tidak mengambil tindakan sendiri, sebaliknya menyerahkan kes berkenaan kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.- UTUSAN ONLINE

Wednesday, April 24, 2013

PRU13: NIK AZIZ TOLAK BR1M TAPI SALAHUDDIN NAK BERI LEBIH BANYAK

JOHOR BAHRU - Jika sebelum ini dua pemimpin tertinggi Pas memperkecilkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), hari ini Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub pula berjanji akan memberikan bantuan sama sekiranya pakatan pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Calon pakatan pembangkang bagi kerusi Parlimen Pulai itu berkata, pakatan pembangkang akan memberi bantuan sebanyak RM2,000, berbanding kenaikan sehingga RM1,200 sebagaimana terkandung dalam manifesto BN bagi PRU-13 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

"Saya dah kaji hasil negeri, dah baca report (laporan) daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, dah baca pendapatan negeri. Di bawah pakatan rakyat kita boleh bagi RM2,000, jauh lebih tinggi daripada BR1M Barisan Nasional (BN)," katanya.

Kenyataannya itu bertentangan dengan penghinaan yang dilemparkan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila menyamakan kira-kira empat juta rakyat yang menerima pemberian BR1M sebagai 'memberi hampas padi dan kelapa kepada ayam dan lembu'.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula menyamakan pemberian BR1M seperti zaman Firaun. –UTUSAN ONLINE

PRU13: MASA TERBAIK UNTUK BAWA KEDAH BALIK BAWAH BN

JERLUN - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, masa terbaik untuk rakyat mengembalikan Kedah kepada Barisan Nasional (BN) kini tiba dengan cara mengundi calon parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei ini.

Beliau berkata, ia penting kerana dalam tempoh lima tahun akan datang, Kedah tidak harus ketinggalan untuk dibawa menjadi negeri maju berpendapatan tinggi di bawah BN.

"Selepas lima tahun, nampaknya sungguh malang kerana kad laporan yang dibentangkan Pas Kedah tidaklah membanggakan, saya nampak kita boleh beri markah E- (E tolak) sahaja kepada kerajaan negeri kerana gagal melaksanakan tugas untuk membangunkan Kedah," katanya ketika berucap merasmikan majlis peletakan batu asas cadangan pembinaan Pusat Sukan Parlimen Jerlun di Sanglang dekat sini hari ini.

Muhyiddin berkata, Pas Kedah terbukti tidak wajar dikekalkan kerana tidak mampu mentadbir negeri serta gagal membentangkan kejayaan mereka menunaikan apa yang dijanjikan sewaktu mereka hendak mengambil alih kerajaan negeri pada 2008. –UTUSAN ONLINE


PRU13: PAS TERGELINCIR DARI PAKSINYA - ZAINON ISMAIL

SEREMBAN - Perjuangan Pas sudah tergelincir dari paksinya, sehingga pemimpinnya sanggup bersekongkol dengan kemungkaran yang amat bertentangan dengan pegangan serta ajaran Islam.

Semua itu didedahkan sendiri oleh bekas ahli tegar Pas, Zainon Ismail yang membuka pekong sebenar serta sikap pemimpin Pas yang kian tersasar dari perjuangan asal parti berkenaan untuk memperjuangkan negara Islam.

Malah Zainon yang lebih dikenali dengan nama pena C.N Al-Afghani berkata, terlalu banyak perkara haram yang dihalalkan oleh pemimpin Pas masa kini gara-gara terlalu tunduk serta tenggelam dalam permainan politik pakatan pembangkang yang didominasi DAP.

Beliau berkata demikian dalam ceramah umum yang diadakan di Dataran Senawang, dekat sini malam tadi. –UTUSAN ONLINE