Friday, July 26, 2013

SYIAH PERLU DIBENDUNG - USTAZ KAZIM

SHAH ALAM – Kerajaan dan pihak berkuasa agama perlu melaksanakan penguatkuasaan terhadap penyebaran Syiah dalam kalangan rakyat Malaysia kerana ia diwartakan haram di negara ini.
 
Pendakwah, Ustaz Mohd Kazim Elias berkata, setiap perkara yang diwartakan adalah undang-undang maka ia perlu dilaksanakan.

Menurutnya, jika tidak berbuat demikian, kita tidak akan dapat mencegah penularan Syiah di negara ini.

“Penguatkuasaan perlu untuk membendung penularan Syiah dan mendekati golongan yang berani mengisytiharkan mereka mengamalkan Syiah. Syiah adalah agama yang menarik orang sebab banyak perkara yang dalam agama mereka ‘dilonggarkan’.

“Oleh itu, ia menjadi penyebab untuk menarik orang muda kepada Syiah seperti perkahwinan mutaah. Mereka juga memudahkan ibadat antaranya tidak ada sembahyang, hanya boleh solat jamak setiap kali keluar rumah sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kaedah berkesan untuk kekang Syiah di negara ini.

Mohd Kazim berkata, Syiah mempengaruhi orang muda dan yang tidak berilmu menyebabkan mereka seronok apabila Islam dibuat dalam bentuk mudah.

“Ia menarik orang ramai dan kita perlu membendung perkara ini. Kita berpegang kepada Ahli Sunnah wal Jamaah dan setelah 57 tahun negara kita merdeka, kita tidak mempunyai masalah.

“Di negara lain masyarakat Islam berpecah kerana perbezaan mazhab. Di Malaysia tidak ada perbezaan mazhab,” katanya.

Bagaimanapun katanya, perbezaan ideologi agama dimasukkan ke dalam masyarakat Malaysia, mereka akan bergaduh.

“Apabila kita import fahaman luar dan bawa ke dalam budaya Melayu ia akan menjadi perpecahan dahsyat seperti negara lain,” katanya. –Sinar Harian


SYIAH: SKMM AKAN BERTINDAK JIKA ADA LAPORAN

SHAH ALAM – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedia  bertindak jika ada laporan berkaitan laman sosial di internet yang didapati menyebarkan ajaran Syiah.
 
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, SKMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana laman sosial atau web yang menyebarkan ajaran yang bercanggah dengan amalan Ahlul Sunnah Wal Jamaah umat Islam di negara ini.

"Oleh kerana sejak dulu kita di sini berpegang pada Ahlul Sunnah Wal Jamaah, ajaran yang selain daripada itu tidak sepatutnya disebarkan," katanya.

Jailani berkata, jika pengguna mendapati ada elemen bahaya dalam web atau laman sosial itu, lebih baik laporkan terus kepada polis.

"Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) pula lebih arif untuk mengenal pasti kandungan laman web atau laman sosial yang disebarkan itu," katanya.

Menurut Jailani, SKMM akan campur tangan jika ada unsur sensitif yang tidak sesuai disebarkan di negara ini.

"Kalau ada benda (maklumat) macam itu, kita akan buang atau ambil tindakan sesuai ikut undang-undang," katanya.

Sinar Harian difahamkan, SKMM masih belum menerima laporan mengenai 200 laman Facebook yang menyebarkan ajaran Syiah seperti yang didakwa.

Pada 5 Julai lalu, satu laporan polis dibuat  di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor di Shah Alam oleh Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) berhubung penyebaran fahaman Syiah di Facebook.

Ketua Unit Kajian Syiah Isma, Mohamad Ismail mendakwa terdapat lebih 200 akaun mengenai Syiah di Malaysia dikenal pasti kian giat menjalankan aktiviti menyebarkan maklumat berkaitan fahaman itu kepada masyarakat umum.

 “Antaranya Al-Hadhari, Al-Jafari, Al-Mahdi. Terdapat juga satu blog bernama kamilzuhairi.blogspot.com,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cyber Security Malaysia, Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan berhubung fahaman seumpama itu, namun bersedia untuk menyalurkan maklumat dikehendaki polis atau Jakim.

“Setakat ini tindakan hanya boleh diambil polis, kita cuma salurkan maklumat mengenai pemilik akaun, kesan kegiatan akaun dan berurusan dengan Facebook untuk minta akaun diminta itu dipadam.

“Pihak kami hanya bantu dari segi teknikal, sebarang tindakan dilakukan pihak berkuasa,” katanya. –Sinar Harian
3,000 PENGIKUT SYIAH DI KEDAH GOLONGAN PROFESIONAL

PENDANG – Kira-kira 3,000 pengikut fahaman Syiah Imammiah di Kedah yang telah dikenal pasti kebanyakan terdiri daripada golongan profesional.'

Ketua Syiah Kedah, Abdullah Hassan berkata, semua pengikut fahaman itu dari Jitra, Pendang, Sungai Petani, Alor Setar dan beberapa kawasan berhampiran.

Katanya, 30 peratus daripada jumlah pengikut fahaman Syiah adalah wanita berumur antara 20-an hingga 50-an.

“Kebanyakan pengikut Syiah bukan penduduk kampung biasa malah daripada golongan profesional antaranya guru, pensyarah dan ahli akademik.

“Di Pusat Hussainiah Az-Zahra merupakan tempat berkumpul untuk aktiviti pengajian dan ibadat yang masih aktif sejak 1991 sehingga sekarang,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kampung Alor Berala Tobiar, Pendang semalam.

Abdullah berkata, lebih 200 pengikut akan berkumpul setiap kali mengadakan majlis secara besar-besaran di situ.

“Kira-kira 80 ahli Syiah akan hadir mengikuti pengajian diadakan waktu siang bagi mengikuti pengajian kitab-kitab Syiah seperti Tafsir, Tauhid, Akhlak, Sirah dan sebagainya mengikut fahaman Syiah.

“Tempat ini dibina khusus sebagai tempat pembelajaran dan ibadat khusus untuk ahli-ahli Syiah sahaja,” katanya.

Katanya, ahli Syiah terdiri daripada ahli Umno dan Pas yang tidak mahu lagi aktif dalam parti politik masing-masing sehingga ada segelintir pengikut fahaman itu tidak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu kerana kecewa apabila banyak pihak menentang fahaman Syiah. –Sinar Harian
JAKIM NAFI PENGIKUT SYIAH CECAH 300,000


SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menolak dakwaan yang mengatakan pengikut Syiah di negara ini sudah mencapai angka 300,000 hingga sejuta orang.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Dan Penyelidikan (Seksyen dan Akidah) Jakim, Kamarul Saman Yaacub berkata, kenyataan itu lebih bersifat provokasi atau propaganda semata-mata.

“Angka itu tidak benar kerana Jakim sentiasa memantau pergerakan Syiah sejak awal pergerakan ini menular di negara ini, tetapi pergerakan ini tidak banyak seperti didakwa.

“Jakim turut turun padang menyampaikan penerangan kepada masyarakat mengenai bahaya Syiah,” katanya dalam satu sesi soal jawab bersama radio ikim.fm, semalam.

Kamarul menasihatkan individu yang curiga dengan usaha mana-mana pihak mendekatinya bagi menyebarkan ajaran Syiah supaya tampil kepada mana-mana pejabat agama untuk mendapatkan lebih penerangan.

“Syiah boleh menyesatkan, tampillah jika mendapati ada mana-mana pergerakan mencurigakan,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini menyiarkan dakwaan ketua kumpulan Syiah Malaysia, Mohd Kamil Zuhairi Abd Aziz yang mendakwa jumlah pengikut fahaman itu kini dianggarkan mencecah antara 300,000 dan sejuta orang. –Sinar Harian
TPP: LEBIH BANYAK UNTUNG DARI RUGI -PAKAR

KUALA LUMPUR - Perdebatan hangat yang tercetus tentang Perjanjian Perkongsian Ekonomi Trans-Pasifik (TPP) tidak harus dibiarkan menenggelami faedah-faedah yang nyata bagi Malaysia.
  
Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA)
Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA)
Ini adalah dari segi akses pasaran kepada lebih 700 juta pengguna, import yang berpotensi lebih murah dan peluang untuk membida bagi kontrak kerajaan di ekonomi-ekonomi negara anggota.
  
Kontraktor Malaysia boleh membida bagi kontrak pemerolehan kerajaan di negara-negara jiran dalam perjanjian TPP, khususnya di Brunei, Singapura serta Australia dan New Zealand, kata seorang pakar perdagangan.
  
Dr Sufian Jusoh, seorang Felo Kanan dan Profesor Madya Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, meskipun pihak-pihak berkepentingan mungkin berasa bimbang tentang kemungkinan firma asing membolot
kontrak-kontrak tempatan dan ekoran itu terus mencanangkan tentang kerugian yang bakal dialami, namun tumpuan juga harus diberikan kepada faedah daripada sebuah pasaran serantau yang diperluaskan.
  
Contohnya, pasaran pemerolehan kerajaan Malaysia dianggarkan bernilai AS$28.1 bilion pada 2012, sedangkan pasaran tergabung bagi pemerolehan kerajaan dalam kesemua 12 pasaran TPP bernilai AS$2.74 trilion.
  
Perjanjian TPP penting bagi Malaysia disebabkan daya tahannya dalam perdagangan dan industri, peluang-peluang yang meningkat bagi pelaburan langsung asing, daya saingan yang lebih tinggi dan kebolehan membina perniagaan dan kapasiti teknikal.
  
"Malaysia akan juga menikmati tarif yang lebih rendah atau kadar sifar bagi barangan dan akses pasaran bagi perkhidmatan.
  
"Di samping itu, kerajaan boleh berunding bagi syarikat-syarikat tempatan mendapatkan akses kepada bantuan teknikal untuk menaikkan taraf masing-masing, seperti dalam pertanian atau perikanan dari ekonomi-ekonomi perjanjian TPP yang lain," katanya semasa ceramah, "A Creature Called TPP (Makhluk Bernama TPPA)" di Wisma Bernama, semalam.
  
Ahli politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan-kumpulan berkepentingan lain telah menyelar penyertaan Malaysia dalam rundingan perjanjian TPP dan mendakwa, antara lain, bahawa ia akan menggugat kepentingan Bumiputera dan kira-kira 600,000 syarikat asing akan memasuki pasaran domestik.
  
Realitinya, Malaysia boleh mengehadkan akses kepada kontraktor asing dari sudut pemerolehan kerajaan atau mempunyai hak dalam bidang-bidang sensitif tertentu yang dikenali sebagai "carve-out" dalam lampiran peraturan yang tidak mengikut kehendak perjanjian, yang mengehadkan entiti dalam lampiran Bab Pemerolehan Kerajaan, atau meletakkan threshold yang tinggi bagi akses kepada pemerolehan kerajaan.
  
Malaysia menjadi tuan rumah kepada pusingan ke-18 rundingan perjanjian TPP di Kota Kinabalu yang dihadiri oleh Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat (AS) dan Vietnam.
  
"Faedahnya lebih daripada tarif," kata Sufian, yang juga Perunding Luar dan Felo Kanan di Institut Perdagangan Dunia di Bern, Switzerland.
  
Beliau juga berkata, kebimbangan bahawa Malaysia akan kehilangan kedaulatannya apabila menandatangani perjanjian TPP tidak tepat kerana teks perjanjian itu adalah hasil usaha bersama oleh negara-negara yang berunding dan tidak didominasi oleh mana-mana satu kuasa besar ekonomi seperti yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu.
  
Semasa menderaf teks perjanjian, negara-negara yang mengambil bahagian termasuk Malaysia, akan berpeluang mengemukakan cadangan masing-masing meskipun negara-negara secara individu mempunyai kedudukan yang kuat dalam sektor
perdagangan tertentu.
  
Contohnya, beliau menyebut tentang bagaimana AS mempunyai pendirian yang kukuh tentang farmaseutikal, terutama tentang lanjutan tempoh bagi ubat yang dipaten.
  
"Tetapi kebanyakan negara berunding membantah kedudukan AS, yang bererti ada kemungkinan cadangan itu tidak dimasukkan dalam perjanjian itu," tegas beliau.
  
Beliau berkata sekali pun farmaseutikal dimasukkan dalam perjanjian TPP, kerajaan Malaysia boleh mengekalkan dasar pembeliannya dan mempunyai kebebasan untuk membeli ubat generik yang lebih murah bagi ubat bukan paten berbanding ubat dipaten yang mahal.
  
"Daripada AS, Malaysia sebaliknya harus berhati-hati dalam rundingan perjanjian perdagangan dengan Kesatuan Eropah, terutamanya Switzerland, yang tahap pengeluaran farmaseutikal dan eksport ubat dipatennya lebih tinggi.
  
"Eropah menempatkan banyak pengeluar ubat dunia dan sektor farmaseutikal merupakan sebahagian besar Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK) dan ini bererti ia akan melakukan segala yang mungkin untuk melindungi industri itu," kata Sufian.
  
Beliau juga menolak dakwaan oleh ahli-ahli politik dan NGO tempatan serta kumpulan berkepentingan bahawa syarikat-syarikat multinasional akan menentukan terma-terma kepada Malaysia dalam perkara-perkara seperti pelaburan, malah menyaman negara ini jika syarat-syarat mereka tidak dipenuhi.
  
"Mereka hanya boleh menyaman bagi timbang tara kerana melanggar obligasi-obligasi tertentu di bawah perjanjian TPP," katanya, sambil memberikan jaminan bahawa pasukan perunding Malaysia terdiri daripada tokoh-tokoh yang berpengalaman dan tidak akan menggadaikan negara seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
  

Ditanya sama ada perjanjian itu akan ditandatangani dalam tahun ini, Sufian berkata, beliau tidak yakin ia akan ditandatangani pada 2013,  kerana masih banyak bidang dalam rundingan itu yang masih belum diputuskan. – Bernama/Sinar Harian

Wednesday, July 24, 2013

TPP: HARGA RUMAH AKAN NAIK

Harga rumah yang telah dianggap terlalu tinggi pada masa ini akan melonjak naik jika perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang sedang dirundingkan Malaysia dengan 11 negara lain ditandatangani.

Wakil Persatuan Usahawan Arkitek Melayu Malaysia (Arkim) Mohamad Mokhtar Abdullah berkata, persaingan yang semakin meningkat antara firma luar negara dan tempatan akan meningkatkan harga lot tanah di mana projek perumahan akan dibina, menyebabkan kenaikan dalam harga rumah.

“Pasaran hartanah bukan macam jual baju. Kalau baju, lagi banyak kilang dibuka lagi murah.

“Tapi dalam hartanah, akan berlaku persaingan (dengan syarikat luar) untuk dapatkan tanah, permintaan akan semakin meningkat tetapi jumlah tanah tetap sama, jadi harga akan naik,” katanya dalam sidang media berhubung impak TPP kepada industri pembinaan di Kuala Lumpur, semalam.

Sidang media oleh Gabungan Persatuan NGO-NGO Kluster Pembinaan Melayu yang bernaung di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Melayu itu turut dihadiri Presiden Persatuan Pengilang, Pembekal, Kontraktor, Industri Elektrikal, Elektronik, Mekanikal dan ICT Melayu dan Bumiputera Malaysia (Perkem) Mohsen Hasbollah serta Presiden Persatuan Kontraktor Penyelenggaraan dan Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PKPP) Jamaliah Abdul Hamid.

Mohamad Mokhtar juga berkata, peluang untuk berniaga di negara anggota TPP lain dianggap tidak wujud kerana pelbagai syarat dan terma ketat yang dikenakan dan tiada data yang boleh menyokong jangkaan kerajaan bahawa syarikat pembinaan akan dapat menembusi pasaran luar walaupun TPP memberi akses pasaran yang lebih besar.

“Bukan  mereka tak benarkan kita berniaga di sana tapi firma Malaysia ini kebanyakannya kecil dan sederhana (PKS), jadi kalau diikut dari segi modal dan keupayaan, awal-awal lagi dah ditolak,” katanya.

Mengikut perangkaan SME Corporation Malaysia, sebanyak 97.3 peratus perniagaan di Malaysia terdiri daripada PKS.

Sementara itu, Mohsen berkata, keupayaan syarikat kontraktor Melayu dan bukan Melayu di Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan negara lain dan menganggap pembukaan pasaran seperti dirundingkan dalam TPP ibarat gergasi melawan manusia.

“Bila buka pasaran, macam gergasi (syarikat asing) melawan manusia (syarikat tempatan). Adakah kita bersedia?

“Bukan sahaja kami sektor swasta perlu bersedia tapi adakah kerajaan sendiri bersedia? Bagaimana dengan kesan aliran keluar mata wang jika projek di negara ini diberi kepada syarikat luar?,” soalnya.

Beliau turut meminta kerajaan ikut langkah negara lain seperti Jepun yang memberi keutamaan kepada syarikat tempatan mereka sehingga membolehkan nilai mata wang mereka kekal kukuh. –Sinar Harian

Tuesday, July 23, 2013

SYIAH LEMAHKAN UMAT ISLAM – TUN M

ALOR SETAR - Penularan fahaman Syiah melemahkan lagi umat Islam di negara ini dan mewujudkan perpecahan selepas berlaku perpecahan disebabkan faktor politik.
 
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, apabila wujudnya dua kelompok antara Syiah dan Sunni, berlakunya permusuhan sehingga berperang serta saling berbunuhan.

Beliau berkata, keadaan sedemikian dapat dilihat berlaku di Pakistan dan Iran.

“Kita di sini bernasib baik kerana semua berpegang kepada Ahli Sunnah wal Jamaah. Kita orang Sunni pengikut mazhab Imam Shafie.

“Jadi sepatutnya, tak adalah perbezaan agama antara kita (umat Islam)... tak ada permusuhan. Bila masuk fahaman yang berbeza ini akan berlaku perpecahan,” katanya ketika meluangkan masa untuk membeli-belah di Pekan Rabu, semalam.

Dr Mahathir berkata, umat Islam adalah bersaudara sebaliknya apabila wujud fahaman berlainan akan membawa pelbagai masalah.

“Tak eloklah kalau kita tengok di Malaysia ada masjid untuk orang berfahaman Syiah dan ada masjid untuk mereka yang Sunni. Sehingga kini kita pergi ke masjid yang sama, kita tidak harus berpecah.

“Mereka (Syiah) nak faham agama mereka begitu, mereka punya masalah tetapi jangan sampai bawa ke negara kita,” katanya.

Ditanya pendapat beliau agar fatwa anti-Syiah diwartakan di negeri-negeri lain seperti yang dicadangkan Kerajaan Kedah, Dr Mahathir berkata, pihak berkenaan perlu membuat kajian teliti.

“Mereka patut kaji. Saya fikir alasan yang saya berikan perlu dipertimbangkan. Ini kerana kalau berlaku perpecahan kalangan orang Islam, mereka akan menjadi lebih lemah.

“Sekarang dah lemah dah... berpecah sebab politik, ini mai satu lagi pecahan dalam agama habis bergaduhlah kita,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Kedah mencadangkan untuk menggazet fatwa anti Syiah di negeri ini selepas dikuatkuasakan sepenuhnya di peringkat kebangsaan pada 5 Mei 1996.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, perkara itu dibuat berikutan Kedah juga tidak bebas daripada penularan fahaman itu.

Sebelum ini, muzakarah khas Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak. – Sinar Harian