Tuesday, July 30, 2013

GIPTIS GESA KAJI SEMULA BUKU TEKS

JITRA – Gabungan Institusi Pondok, Tahfiz dan Ilmuwan Sunni (Giptis) menggesa supaya kerajaan mengkaji semula sejarah Islam yang terdapat dalam buku teks Pendidikan Islam rendah dan menengah yang didakwa mempunyai kecenderungan ke arah fahaman Syiah.

 Pengerusinya, Prof Madya Dr Abd Aziz Hanafi berkata, perkara ini perlu diberi perhatian serius kerana ada silibus pengajian yang menggambarkan seolah-olah para sahabat nabi terlibat dalam pembunuhan Saidina Uthman.

“Pada saya, mata pelajaran Pendidikan Islam ini perlu disemak dan ditulis semula. Terutamanya berkaitan sejarah Islam semasa zaman Saidina Uthman dan para sahabat nabi.

 “Saya khuatir perkara ini boleh merosakkan akidah pelajar. Sebabnya, sahabat nabi tidak seorang pun yang terlibat dalam pembunuhan Saidina Uthman. Malah, mereka murka terhadap pembunuhan yang dilakukan itu,” katanya pada sidang media di Hotel Darulaman, di sini semalam.

Tambahnya, pelajar di peringkat universiti juga tidak ketinggalan perlu diperjelaskan mengenai perihal Sunni dan Syiah.

Mengulas mengenai dakwaan terdapat segelintir pemimpin sebuah parti politik terlibat dengan fahaman Syiah, beliau berkata, perkara itu terpulang kepada individu berkenaan untuk mengaku atau sebaliknya.

“Kita bercakap dalam bentuk umum dan tidak menunjukkan kepada sesiapa. Sebenarnya, ia perlu ditanya kepada diri masing-masing. Sepanjang pengalaman saya di Kuala Lumpur, nampaknya pemuda-pemuda Islam lebih mudah terpengaruh dengan fahaman Syiah.

“Jadi sudah tentu ada yang terlibat. Cuma kalau ada pun mereka cuba menyembunyikan diri. Kita harap mereka yang berkenaan itu bertaubatlah sebelum mati. Balik semula ke pangkal jalan,” katanya.–Sinar Harian

FAHAMAN SYIAH DALAM BUKU TEKS?

SHAH ALAM – Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia, Fathul Bari Mat Jahaya tidak menafikan terdapat unsur fahaman Syiah dalam kandungan buku teks pendidikan Islam. 

Beliau berkata, simptom tersebut dapat dikenal pasti melalui cerita yang dipaparkan dalam buku teks.

Fathul Bari “Antara yang jelas ialah kritikan terhadap Saidina Uthman yang dikatakan gagal memimpin dengan baik. Sedangkan perkataan terhadap sahabat Nabi tidak boleh kasar kerana Baginda melarang kita menghina para sahabat.

“Unsur-unsur ini dipaparkan menerusi cerita. Saya dapati ia masuk sedikit demi sedikit dengan cara tersebut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dalam pada itu, Fathul Bari turut mencadangkan agar modul pengajian pendidikan Islam di sekolah dan universiti dikemas kini.

“Banyak sejarah dan fakta yang perlu diperbetulkan semula. Malah, pengajian mengenai perbezaan kelompok yang menisbahkan diri mereka kepada Islam juga perlu dibuat dengan lebih mendalam lagi.

“Ini penting agar masyarakat dididik sejak sekolah rendah lagi perbezaan Syiah dan Sunni. Dengan penerangan jelas, barulah mereka tidak akan terpengaruh dengan Syiah,” katanya. –Sinar Harian

SYIAH: PIHAK BERKUASA AGAMA PERLU TEGAS

MARANG – Pihak berkuasa agama di setiap negeri perlu bertindak tegas terhadap penganut fahaman Syiah dalam usaha membendung penyebarannya dan mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas sebarang aktiviti penyebaran fahaman itu.

Naib Ketua Umno Bahagian Marang, Datuk Razali IdrisNaib Ketua Umno Bahagian Marang, Datuk Razali Idris berkata, punca halangan tindakan penguatkuasaan secara menyeluruh tidak dapat dilaksanakan adalah kerana terdapat beberapa negeri belum mewartakan enakmen berhubung isu Syiah.

Oleh itu, gesaan agar setiap negeri yang belum mewartakan fatwa menyekat penyebaran Syiah tersebut perlu dilaksanakan dengan segera kerana ia bertujuan membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan secara menyeluruh.

“Kita kena faham kenapa Syiah tidak boleh disebar di Malaysia. Syiah bukan ajaran Islam dan dilarang sama sekali mengembangkan atau menyebarkan fahaman tersebut kepada umat Islam yang majoritinya mengikut fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah.

“Kegagalan berbuat demikian dikhuatiri menyebabkan ada pihak mudah dipengaruhi dengan ajaran Syiah. Malah, pengaruhnya juga dilaporkan semakin berani dan mula berkembang di negara ini berdasarkan bilangan ahli pertubuhan tersebut,” katanya. –Sinar Harian

Monday, July 29, 2013

SYIAH: KERAJAAN BOLEH BERTINDAK JIKA ADA BUKTI

YAN - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kerajaan boleh mengambil tindakan jika ada bukti empat institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Lembah Klang menjadi pusat penyebaran fahaman Syiah di kalangan pelajar negara ini.
  
Jamil Khir BaharomSambil mendesak pihak yang membuat dakwaan itu mendedahkan IPTA terbabit, beliau berkata: "Soal nak tuduh mesti ada bukti. Sebab itu laporan oleh beberapa akhbar tempatan hari ini mengenai perkara itu tidak mendedahkan nama keempat-empat IPTA berkenaan," katanya semasa diminta mengulas isu itu.
  
Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada lebih 500 golongan kurang bernasib baik peringkat Parlimen Jerai sempena Aidilfitri di Masjid Al-Hanan, Teroi di sini, hari ini.
  
Jamil Khir yang juga anggota Parlimen Jerai berkata walaupun tiada bukti dalam banyak kes pihak berkuasa masih perlu menyiasat laporan perkara-perkara yang didedahkan.
   
"Kita tahu ada pelajar asing dari Iran dan Iraq yang menganut fahaman Syiah mengamalkan ajaran Syiah tetapi mereka sama sekali tidak dibenarkan menyebarkan ajaran itu di kalangan pelajar tempatan.

 "Mereka yang melanggarnya sama ada didokong oleh Iran atau Iraq pasti diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang untuk didakwa di Mahkamah Syariah atau Sivil. Kita telahpun melakukannya sebelum ini," kata Jamil Khir.
   
Katanya kerajaan berterusan menguatkuasakan undang-undang dan tidak bertolak ansur terhadap pengembang fahaman Syiah kepada umat Islam di negara ini berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.
  
Sehubungan itu, katanya, tindakan bersepadu untuk menghadapi ancaman Syiah akan dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri kerana enakmen dan akta untuk membanteras fahaman itu terletak di bawah negeri, katanya.
  
Menjawab soalan wartawan, beliau berkata kerajaan tidak boleh menyekat amalan pelajar asing yang berfahaman Syiah kerana ia menyentuh soal kebebasan pendidikan cuma mereka tidak boleh menyebarkannya.

Mengenai sumbangan itu, Jamil Khir berharap ia dapat meringankan sedikit bebanan golongan kurang bernasib baik dan berkemampuan membuat persediaan menyambut Aidilfitri. – Bernama/Sinar Harian

UMNO SOKONG USAHA BANTERAS SYIAH

SHAH ALAM – Siapa sahaja yang terlibat dengan penyebaran fahaman Syiah, tidak kira daripada parti pemerintah atau pembangkang, perlu dihalang dan dikenakan tindakan, kata Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Rashid Shirlin.

Rosnah “Isu Syiah sangat serius kerana ia melibatkan soal pegangan dan akidah. Amalan Syiah  sangat bertentangan dengan ajaran Islam.

“Apatah lagi (jika) ia melibatkan pemimpin yang berpengaruh. Ttindakan segera perlu diambil,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu, termasuk pemimpin politik dan pertubuhan, yang mengamalkan ajaran Syiah.

Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, isu penyebaran fahaman Syiah ini di luar ideologi politik dan memberi kesan mendalam terhadap keseimbangan umat Islam di negara ini.

“Mungkin ada pemimpin politik yang berselindung. Perkara itu (bahawa mereka terlibat) sukar dibuktikan.

“Mungkin kita boleh menuduh seseorang itu Syiah, tetapi mereka bijak menyembunyikannya tindak tanduk mereka," katanya.

Reezal melihat keperluan siasatan dan risikan dilakukan secara mendalam sebagai langkah mengatasi masalah ini di peringkat akar umbi. -Sinar Harian

SEBAR SYIAH BERLAKU DI IPT - ASPIRASI

SHAH ALAM – Penyebaran fahaman Syiah di universiti awam dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) sememangnya berlaku, tetapi tiada bukti jelas dapat dibuktikan, kata Presiden Aspirasi, Mohd Shahar Abdullah.

Realiti itu katanya, tidak dinafikan tetapi sukar untuk dibuktikan memandangkan ahli Syiah bergerak secara sulit dalam kumpulan kecil.

Oleh itu, sekiranya terdapat dakwaan penyebaran fahaman Syiah berlaku, pihak universiti dan Kementerian Pendidikan perlu menangani perkara ini secara serius sebagai langkah awal mengekang perkara ini daripada berleluasa.

“Pantauan bukan sahaja terhadap mahasiswa tempatan, malah mahasiswa asing dari Timur Tengah juga tidak terkecuali.

“Kita khuatir  jika tidak di pantau secara serius, penyebaran fahaman Syiah akan menular dan merosakkan golongan ini yang akhirnya membawa kesan besar kepada umat Islam,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Mohd Shahar, kekeliruan menyebabkan  golongan mahasiswa ini mudah terpengaruh dengan fahaman Syiah.

“Mereka ingin pelajari ilmu agama secara mendalam, tetapi tidak tahu perbezaan antara Syiah dan Ahlul Sunnah Wal Jamaah  yang menjadi fahaman umat Islam di negara ini,” katanya.

“Sebelum perkara ini lebih dominan dan membimbangkan,  langkah proaktif perlu dilaksanakan,” katanya.– Sinar Harian

TELITI BUKTI TERSEMBUNYI DALAM PENGIKUT SYIAH – MB KEDAH

ALOR SETAR - Mereka yang menafikan penglibatan dalam aktiviti Syiah boleh dikenal pasti melalui perbuatan atau kenyataan mereka kerana ia akan menjurus kepada fahaman itu.
Datuk Mukhriz Tun Mahathir 
Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, walaupun mereka menafikan menyokong gerakan Syiah, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah mengesahkan pembabitan pemimpin itu dalam gerakan Syiah yang berselindung di sebalik Ahlul Sunnah Wal Jamaah.

“Bukti itu ada, ia tersembunyi. Kita hanya perlu teliti dari aspek kenyataan mereka sebelum ini, sama ada dalam ceramah atau tazkirah yang pastinya ada unsur menyokong  fahaman Syiah,” katanya.

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya sudah kenal pasti pemimpin politik terlibat dan akan mengambil tindakan jika ada laporan daripada majlis agama Islam negeri.

Mengulas perkara itu, Mukhriz berkata, setakat ini, kerajaan negeri belum menyediakan laporan berkaitan aktiviti Syiah di negeri ini, dan maklumat berkaitan sedang dikumpul untuk tindakan lanjut.

“Maklumat berkenaan akan dijadikan rujukan dan panduan untuk proses mewartakan fatwa itu, yang akan dibahas dalam sidang Dun 25 Ogos ini. Kita akan wartakan segera fatwa anti Syiah selepas mendapat persetujuan dewan,” katanya.

Bagaimanapun, hanya selepas diwartakan katanya, tindakan boleh diambil terhadap mereka yang terbukti cuba menyebarkan fahaman Syiah.

Mukhriz berkata, fatwa itu tidak akan dikuatkuasakan secara drastik, sebaliknya  menggunakan pendekatan berhemah agar pengikutnya kembali ke pangkal jalan.

“Langkah awal ialah mulakan usaha memperbetulkan akidah golongan ini sebelum diambil tindakan perundangan. Ada pihak yang tidak sedar mereka terikut-ikut dengan fahaman  itu.

Jadi kita wajar sedarkan mereka dan bawa mereka kembali ke jalan yang benar,” katanya.

Menurutnya, jika tidak berhasil dan gerakan itu tetap menular secara berleluasa di negeri ini, tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil. – Sinar Harian