Tuesday, December 10, 2013

AMARAN KEDUA ANGIN KENCANG DI PAHANG, JOHOR - MET

SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini meramalkan angin kencang dan laut bergelora di perairan Pahang dan Johor Timur akan berlaruran sehingga 16 Disember ini.

Memuat naik amaran itu menerusi portal rasminya, Jabatan Meteorologi berkata, ia adalah amaran kategori kedua kepada orang awam.

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut," tulis petikan itu.

Sementara itu, amaran ribut petir menyeluruh diramalkan meliputi kawasan perairan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Pahang, Terengganu, Sarawak (Bintulu & Miri), WP Labuan & Sabah (Pantai Barat) dijangka berterusan sehingga tengahari ini.

"Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil.

Sumber: Sinar Harian

MANGSA BANJIR DI BEBERAPA NEGERI BERKURANGAN

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan di beberapa negeri semakin berkurangan, termasuk di Terengganu yang kini menurun kepada 14,609 orang berbanding 15,876 orang pada Isnin.

Di TERENGGANU, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri melaporkan paras air di semua sungai utama di Terengganu kini berada di bawah paras amaran.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN), sebanyak 1,260 mangsa pulang ke rumah masing-masing dan di Kuala Terengganu tiada lagi mangsa di pusat pemindahan.

Di Dungun, 1,251 orang daripada 335 keluarga mangsa banjir masih berada di tiga pusat pemindahan berbanding 2,512 petang Isnin, dan di Marang masih kekal 23 mangsa.

Bagaimanapun, keadaan banjir di daerah Kemaman tidak berubah dengan jumlah mangsa masih kekal 13,335 orang daripada 2,852 keluarga.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di negeri itu berkurangan kepada 31,093 berbanding 32,189 orang petang tadi, dan hanya satu jalan utama yang masih ditutup kepada laluan iaitu Jalan Jerantut-Kuala Lipis.

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, kesemua mangsa daripada 9,476 keluarga itu ditempatkan di 132 pusat pemindahan. "Kuantan masih menempatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 24,998 orang di 34 pusat pemindahan," katanya kepada Bernama di sini malam Isnin.

Di Pekan, terdapat 3,437 mangsa di 34 pusat pemindahan, (Temerloh 1,007 orang di 23 pusat pemindahan), Maran (885 di 17 pusat), Jerantut (433 di 10 pusat), Bera (237 di tujuh pusat), Lipis (60 di lima pusat) dan Rompin (36 di dua pusat).

Di JOHOR, tujuh pusat pemindahan banjir masih dibuka di Segamat, namun jumlah mangsa di pusat pemindahan berkurangan kepada 303 orang daripada 72 keluarga, berbanding 449 orang daripada 114 keluarga petang Isnin.

Sementara itu pusat pemindahan di Balai Raya Linau Kechil, Batu Pahat dan Balai Raya Parit Stan, Pontian yang dibuka pagi tadi ditutup apabila kesemua mangsa banjir dibenarkan pulang. -BERNAMA

Sumber: mStar Online

SIDANG DUN P. PINANG KECOH ISU PERKAUMAN

GEORGE TOWN: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kecoh apabila berlaku pertikaman lidah antara penyokong kerajaan negeri dan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) berhubung isu gerai makan diroboh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) baru-baru ini.

Kekecohan tercetus apabila Phee Boon Poh (DAP-Sungai Puyu) mahu ketua pembangkang, Datuk Jahara Hamid menarik balik kenyataannya berhubung isu itu yang disifatkan sebagai rasis.

Phee mendakwa Jahara cuba menimbulkan persepsi perkauman terhadap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) apabila mengatakan PBT hanya mengambil tindakan terhadap peniaga Melayu. 

"Saya tak kata PBT hanya ambil tindakan kepada orang Melayu. Kalau ada impression (tanggapan) macam itu saya minta maaf. Saya hanya minta keadilan, penjelasan. Peniaga terbabit bukan baru berniaga sehari, dua...sudah 20 tahun.

"Kalau mahu ambil tindakan, ambil tindakan terhadap semua...jangan pilih-pilih," kata Jahara ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 di persidangan DUN di sini, Isnin.

Pertikaman lidah itu berjaya dihentikan apabila Speaker Datuk Law Choo Kiang mengarahkan Phee duduk selepas Jahara memohon maaf dan mengarahkan ketua pembangkang itu meneruskan perbahasannya.

Bagaimanapun, dewan kembali kecoh apabila Jahara mahu kerajaan negeri menjelaskan mengenai nama Pulau Mazu yang didakwa sebagai nama baharu bagi Pulau Jerejak. "Adanya satu pulau di sini diberi nama baru Mazu Island. Mazu Island ini adalah Pulau Jerejak yang mana telah diberi nama baru oleh seorang pengusaha yang mempromosikannya dalam bentuk pelancongan.

"Sebuah tokong besar juga dibina tanpa kebenaran. Siapa yang meluluskan semua ini," katanya sambil menunjukkan gambar pengusaha itu bersama Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Tindakan Jahara menunjukkan gambar itu menimbulkan rasa tidak puas hati R.S.N Rayer (DAP-Seri Delima), Phee (DAP-Sungai Puyu) dan Soon Lip Chee (DAP-Jawi) yang bangkit mempertikaikan tindakan itu. "Itu sudah melampau...tindakan ini menuduh seolah-olah kerajaan negeri beri kelulusan semata-mata orang itu mengenali ketua menteri. Mana ada bukti ketua menteri beri kelulusan," kata Rayer.

Jahara kemudiannya berkata beliau hanya mahu penjelasan kerajaan negeri berhubung kewujudan nama Pulau Mazu itu.

Bagaimanapun, Jahara terus-terusan diasak wakil rakyat berkenaan yang mahu beliau menjelaskan tindakannya itu.

Tindakan wakil rakyat yang tidak memberi peluang kepada Jahara untuk berbahas telah menyebabkan kesemua sepuluh wakil rakyat BN meninggalkan sidang DUN sebagai tanda protes. -BERNAMA

Sumber: mStar Online

BANK TAWAR SOKONGAN KEPADA PELANGGAN TERJEJAS BANJIR

KUALA LUMPUR: Anggota Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM)yang beroperasi di pantai timur, Johor dan Melaka akan proaktif membantu pelanggan, individu atau perniagaan yang terjejas banjir.

Menurut kenyataan ABM di sini Isnin, bantuan yang disediakan bank tidak terhad kepada menangguhkan pembayaran balik pinjaman rumah sahaja tetapi juga termasuk menyusun semula pinjaman perniagaan tanpa menanggung fi atau memberikan penggantungan sementara pembayaran balik.

"Bank memahami sekarang adalah masa yang sukar dan memberi tekanan kepada semua isi rumah dan perniagaan yang terjejas banjir. Anggota bank kami sedang berusaha mendekati pelanggan untuk membantu mereka pulih kembali. Pelanggan yang menghadapi masalah kewangan akibat banjir diminta menghubungi bank mereka secepat mungkin supaya keadaan mereka boleh dinilai dan nasihat boleh diberi," kata Pengarah Eksekutif ABM Chuah Mei Lin.

Chuah berkata seperti tahun-tahun sebelum ini, anggota bank akan menghulurkan bantuan semasa tempoh sukar ini dengan menyediakan penyelesaian dan bantuan kepada pelanggan berdasarkan keadaan kewangan masing-masing.

Orang ramai dialu-alukan menghubungi ABM melalui talian bebas tol, ABMConnect 1-300-88-9980 yang dibuka dari Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 5.30 petang atau menerusi laman web, www.abm.org.my. –BERNAMA

Sumber: mStar Online