Sunday, July 8, 2012

PRU13 PILIHAN RAYA PALING SENGIT - RAJA NONG CHIK
KUALA LUMPUR - Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menyeru agar pimpinan tinggi Umno dan setiap ahli merapatkan kembali barisan serta melupakan segala persengketaan dalaman bagi mencapai kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Timbalan Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan ini berkata, wadah perpaduan amat penting bagi mementingkan majoriti undi diraih kerana persengketaan dalaman parti hanya menyukarkan misi bagi memenangi pilihan raya.

“Tanpa perpaduan yang kuat, misi menang ini tidak mungkin menjadi kenyataan dan hanya memberi laluan mudah dan kita mampu tumbang ke pihak lawan," tegas beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Beliau juga menegaskan bahawa PRU13 bakal menjadi pilihan raya yang paling sengit dalam sejarah negara ini.

“Kita lihat saja sifat dan perwatakan yang dimainkan oleh pembangkang masa kini.

“Wadah perjuangan mereka yang berlandaskan fitnah bukan berpaksikan dasar perjuangan parti tidak dapat mengubah nasib rakyat,” kata beliau pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Titiwangsa, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Umno Lembah Pantai berkata, apa saja produk kerajaan akan difitnah, ditomah dan dicaci, namun hakikatnya Barisan Nasional (BN)  tidak pernah berundur bagi membela nasib rakyat.

Beliau turut meletak harapan yang besar agar dapat meraih majoriti undi yang tinggi dalam PRU13 kerana yakin barisan jentera parti kini sudah siap sedia menghadapi pilihan raya.

“Corak politik BN sentiasa bertunjangkan janji demi rakyat dan tema ‘janji ditepati’ merupakan wadah perjuangan BN sejak dulu lagi kerana sentiasa bersedia dan berusaha memastikan semua janji ditunaikan,” katanya lagi.

Katanya, perjuangan BN berbeza dengan parti pembangkang yang hanya pandai menabur janji tetapi mustahil untuk ditunaikan.

"Pembangkang hanya pandai memanipulasi isu. Saya yakin masih banyak lagi janji yang belum mereka tunaikan kepada rakyat.

"Mereka hanya "talk and walk". Menabur janji dan bergerak tanpa segan silu walaupun janji hanya tinggal janji," kata beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN Wilayah Persekutuan. - Sinar Harian

KD: Setuju benar dengan kenyataan Datuk. Apa tidaknya KD, belum pun tarikh PRU-13 diumumkan, namun sudah pelbagai reaksi, andaian dan propaganda timbul. Pihak kerajaan, pembangkang termasuk Ngo bukan main rancak berpolitik. Ada kalanya KD sendiri berasa gusar bila hari itu datang. Diharapkan jangan ada pihak yang bertindak di luar batasan. 

Friday, July 6, 2012

RAKYAT MALAYSIA PERLU DIBERI PENDIDIKAN MENGENAI KEGANASAN

KUALA LUMPUR - Masyarakat Malaysia perlu diberi pendidikan mengenai keganasan bagi mengekang fahaman ekstremis yang dikaitkan dengan Islam supaya tidak tercetusnya insiden keganasan di negara ini.
  
Rakyat Malaysia perlu diberi pendidikan mengenai keganasanPegawai Agama Kementerian Dalam Negeri (KDN), Zamihan Mat Zain berkata selain itu tafsiran yang salah mengenai Islam juga menyebabkan segelintir masyarakat negara ini terpengaruh dengan fahaman kumpulan ekstremis.
  
"Mereka (ketua), misalnya memberi tafsiran yang tidak tepat mengenai konsep jihad. Konsep jihad ini luas dan bukan hanya kepada peperangan tetapi ketua kumpulan terbabit mengeksploitasi ajaran agama demi kepentingan sendiri sehingga sanggup bertindak ganas dengan niat menggulingkan kerajaan," katanya.
  
Terdahulu, beliau menjadi anggota panel program bicara BernamaTV ‘Hello Malaysia’ bersama Timbalan Ketua Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi/Anti Keganasan) Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
  
Dalam program bertajuk 'Agama dan Keganasan' yang disiarkan secara langsung malam ini, Zamihan berkata Malaysia perlu merangka modul pemulihan bagi anggota kumpulan militan yang ditahan supaya tidak kembali melakukan keganasan.  
  
"Program pemulihan ini boleh dilakukan dengan kerjasama agensi berkaitan seperti Jabatan Agama Islam dan polis," katanya.
  
Sementara itu, Ayob Khan berkata berdasarkan pemerhatian polis terhadap kes-kes lampau berkaitan kumpulan militan, kebanyakannya didalangi pengaruh luar dan dikaitkan dengan Islam. - Bernama


KD: Sokong!!! Sepatutnya negara kita sudah lama dibekalkan dengan pendidikan mengenai keganasan. Walaupun agak terlambat, namun ini usaha yang baik dan wajar direalisasikan. 
BILA DSAI BERSUARA MAHU BERSARA – REAKSI PRO & KONTRA..

Hasrat Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) yang mahu bersara daripada politik jika pakatan pembangkang gagal merampas Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), mendapat pelbagai reaksi pemimpin-pemimpin negara.

Mari kita tengok apa kata mereka??

Nurul Izzah AnwarNurul Izzah – 'PR perlukan Anwar'
Anaknya yang juga Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, Pakatan Rakyat (PR) masih memerlukan khidmat dan keringat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) , khidmatnya dalam usaha perjuangkan hak rakyat mendapatkan keadilan. Menurut Izzah, berkemungkinan kenyataan yang dikeluarkan lebih meminta keseluruhan jentera PR secara keseluruhannya menumpukan usaha dalam proses memenangi PRU13.

Nik AzizNik Aziz - 'Bantah hasrat Anwar'
Mursyidul Am Pas ini, kurang bersetuju dengan hasrat Anwar yang mahu kembali menjadi pendidik kerana katanya perjuangan di medan politik itu juga adalah mengajar. Ini kerana bezanya medan politik mengajar rakyat, manakala medan akademik mengajar mahasiswa.


Dr Mohd Puad Zarkashi - Hanya psikologi Ketua Pembangkang
Ahli Majlis Tertinggi Umno ini berpendapat, pengakuan terbaru Anwar itu dilakukan kerana beliau  tidak yakin mampu menandingi usaha pembaharuan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat. Beliau yakin Anwar tidak akan bersara daripada dunia politik dengan mudah.

Ahmad MaslanDatuk Ahmad Maslan - 'Hak Anwar Ibrahim jika mahu bersara'
Ketua Penerangan Umno ini pula berpendapat, hasrat DSAI yang menimbangkan untuk bersara jika gagal menawan Putrajaya adalah hak Ketua Pembangkang itu untuk melakukan apa yang difikirkan terbaik untuk dirinya. Bagi beliau, mungkin juga Anwar bertujuan untuk memberitahu penyokongnya bahawa PRU13 adalah yang terakhir baginya setelah beliau menyebarkan pelbagai manifesto dan perlu bekerja bersungguh-sungguh.

Datuk Mahfuz OmarDatuk Mahfuz Omar- Pendirian Anwar 'keputusan berani'
Naib Presiden Pas ini menyifatkan hasrat Anwar sebagai kepuutsan yang berani. Malah, pendirian Anwar itu menunjukkan beliau mempunyai sikap yang berani dan semangat sedemikian perlu dimiliki oleh semua pemimpin. 

Selepas ini, pasti banyak lagi reaksi yang akan diterima. Namun, paling ditunggu-tunggu ialah reaksi dari empunya badan - DSAI sendiri. Sama-sama kita tunggu ye.
BILA DSAI BERSUARA MAHU BERSARA..

Dunia politik penuh kejutan, kontroversi.. 

Apa tidaknya, tanggal 4 Julai 2012, pemimpin paling kontroversi negara, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan hasrat  akan bersara daripada politik jika gagal merampas Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). 

Malah menurut Anwar, selepas bersara, beliau akan kembali kepada aktiviti asalnya sebelum menyertai politik - mengajar.

Pengakuan itu dibuat dalam satu wawancara disiarkan akhbar Financial Times. Dalam wawancara itu, Anwar mengaku sudah penat berusaha menawan Kerajaan Pusat sebuah negara yang kompleks seperti Malaysia.

Kenyataan Anwar itu sudah tentu mengejutkan banyak pihak. Antara benar beliau bersungguh atau tidak, hanya beliau dan Yang Esa yang tahu. 
HUDUD DI JOHOR: GENERASI MUDA PAS, UMNO PERLU MAIN PERANAN

Ketua Pemuda Selangor, Ungku Salleh Ungku JamalSHAH ALAM – Ketua Pemuda Umno Selangor, Ungku Salleh Ungku Jamal secara peribadi berpendapat, generasi muda Umno dan Pas perlu memainkan peranan penting dalam isu melibatkan pelaksanaan hudud yang dicadangkan oleh Ahli Dewan Undangan (Adun) Kemelah, Johor, Datuk Ayub Rahmat baru-baru ini.

Menurutnya, beliau melihat penambahbaikan dalam mencapai kata sepakat antara Umno dan Pas berhubung hudud juga seharusnya bermula dari peringkat golongan muda.

“Saya secara peribadi menyokong pelaksanaan hudud yang dicadangkan itu dan berharap janganlah perkara tersebut dipolitikkan.

“Bagaimanapun, saya lihat penambahbaikan Pas dan Umno perlu bermula dari golongan muda untuk mencapai tujuan tersebut kerana golongan pemimpin-pemimpin lama antara kedua-dua parti ini mungkin masih memendam perasaan tidak senang sesama sendiri,” katanya semalam kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, sekiranya mahu hudud diimplementasikan, apa yang perlu dilakukan adalah satu sesi penerangan secara menyeluruh mengenai hukum tersebut kepada orang ramai tidak kira sama ada Islam atau bukan Islam perlu dilaksanakan.

Katanya, langkah tersebut perlu dilakukan supaya tidak menimbulkan ketegangan antara kaum.

“Walaupun tak perlu dilaksanakan secepat mungkin tetapi apa yang paling penting adalah penerangan kepada orang bukan Islam malah orang Islam itu sendiri kerana mungkin ada dalam kalangan kita yang tak tahu dengan mendalam mengenai hukum hudud,” katanya.

Thursday, July 5, 2012

UNISEL: APA KATA ORANG LAMA?
Kontroversi Unisel
      
Ketika menyelak lembaran Sinar Harian, KD terpandang isu ini. Sebelum ini, KD tidak berminat untuk mengambil tahu mengenai Universiti Selangor atau nama ringkasnya Unisel, tetapi apabila satu muka surat akhbar itu menggunakan tajuk ‘Kontroversi Unisel’, KD teruja membacanya.

Laporan hari ini menyiarkan pandangan dari dua  ‘orang lama’ Unisel iaitu Bekas Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Razali Agus dan Bekas Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Korporat Unisel, Halid Hasbullah.

Profesor Datuk Dr Razali Agus berpendapat, operasi Unisel ketika di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) lebih menguntungkan kerana kemasukan pelajar yang ramai. Kemasukan lebih ramai pelajar bermakna lebih untung kepada Unisel. Sebab itu , pada tahun 2007 semua kakitangan universiti itu diberikan bonus sebulan gaji.

Sementara itu, bagi Halid Hasbullah, persepsi yang mengaitkan Unisel sebagai ‘universiti pembangkang’ dan alat politik adalah antara punca penurunan jumlah kemasukan pelajar sejak 2008. Selain itu, kes rogol yang mengaitkan seorang Timbalan Naib Canselor juga menyebabkan ibu bapa berasa gusar untuk menghantar anak mereka ke universiti itu. Keadaan ini menjelaskan sejak pembangkang mengambil alih, Unisel menghadapi pelbagai isu termasuk peletakan beliau dan bekas Dekan Fakulti Perniagaan, Profesor Dr Khalifah Othman yang berpunca daripada ketidakadilan terhadap mereka.

Kini,  selepas keputusan kerajaan membekukan pinjaman PTPTN kepada universiti itu, Unisel terus bergolak. Apakah yang terjadi selepas ini? Siapa pun tidak dapat menduga. 
CADANGAN HUDUD DI JOHOR

Isu cadangan Hudud di Johor terus menjadi isu paling hangat diperkatakan minggu ini. Sokongan demi sokongan terus diterima. Pastinya badan bukan kerajaan (NGO) Islam adalah pihak paling gembira dengan cadangan ini, sekaligus menawarkan khidmat bantuan nasihat dan pandangan.

Hari ini, dalam akhbar Sinar Harian, beberapa pihak lagi memberi reaksi. Ia termasuklah Kerajaan Kedah, Perkasa, Murshid dan Ilmu. Berikut adalah petikan pandangan mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, pihaknya akan patuh pada ketetapan Pas Pusat berhubung perkara itu. Bagaimanapun, perkara berkaitan hudud lebih sesuai dibincangkan di peringkat mufti atau ulama untuk lebih kefahaman, berbanding membincangkan pihak mana terlebih dahulu melaksanakannya.

Setiausaha Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali berkata, pihaknya menyokong penuh cadangan ini. Walau bagaimanapun, Perkasa tidak bersetuju sekiranya hukum hudud itu dilaksanakan ‘ala’ Pas.

Pihak Multaqa Asatizah & Pendakwah Malaysia (Murshid) pula menawarkan kesediaan membantu mana-mana pihak yang ingin melaksanakan hukum hudud Islam itu. Namun, sebelum itu, pelbagai aspek perlu diambil kira bagi memastikan pelaksanaannya tidak menjadi isu berbangkit.

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (Ilmu) yang diwakili Pengerusinya, Fathul Bari Mat Jahaya sebulat suara menyokong cadangan itu, sekali gus menawarkan penglibatan Ilmu secara sukarela dalam  membantu melicinkan proses perlaksanaan hukum hudud di Johor. Sebagai langkah awal, Ilmu memutuskan untuk mengeluarkan surat rasmi kepada Umno Johor yang mengutarakan pendapat dan cadangan Ilmu berhubung perkara tersebut.

KD: Apa yang dibimbangkan, isu ini dipolitikkan. Hanya pandai cakap, tetapi tiada satu pun tindakan diambil. Kalau begitulah, memang tidak wajar. Ini kerana, isu agama bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah dan dipermainkan. Semua yang berkenaan pasti sudah maklum. Jangan kerana obses dengan politik, hal agama dibolak-balikkan.

Yang penting, KD percaya jika sesuatu perkara diusulkan dengan niat yang baik dan murni, diselaraskan dengan sokongan dan kerjasama dari semua pihak, pasti ia dapat dilaksanakan dengan lancar serta praktikal.