Tuesday, July 17, 2012

PELABUR RUNSING JIKA MASIH BELUM TETAP TARIKH PRU13

SHAH ALAM - Tarikh sebenar Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang masih lagi menjadi tanda tanya akan menyebabkan negara mungkin berhadapan dengan masalah ekonomi.

Naib Pengerusi DAP Selangor, Charles Anthony Santiago berkata, ini kerana, pelabur dikatakan runsing untuk membuat pelaburan gara-gara khuatir jika kerajaan beralih kuasa.

“Apabila saya jumpa ahli perniagaan, rata-ratanya memberitahu mereka tidak boleh melabur kerana tarikh PRU13 belum ditentukan. Mereka takut menanggung risiko kerana jika kerajaan bertukar, maka dasar juga akan bertukar. Kemerosotan ekonomi dunia akan memberi implikasi kepada Malaysia. Jika tarikh sudah ditentukan, mereka boleh buat percaturan awal untuk melabur dan rakyat pula boleh teruskan kegiatan harian masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai saranan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mengadakan pilihan raya umum (PRU) pada tahun ini kerana ia merupakan masa paling sesuai.

Mengulas mengenai tarikh sesuai pilihan raya, Charles Santiago yang juga Ahli Parlimen Klang mencadangkan ia dijalankan pada November atau Disember tahun ini, iaitu selepas musim haji.

“Kita kena hormati umat Islam yang akan menyambut bulan Ramadan, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Haji, tetapi apa yang paling penting ialah kebaikan kepada negara serta rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, sama ada mengadakan pilihan raya tahun ini atau hadapan, Pakatan Rakyat (PR) sudah bersedia untuk menghadapinya dan persediaan itu sudah hampir di peringkat akhir.

Shuhaimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda turut mempersoalkan sebab tarikh PRU13 dilengah-lengahkan, seolah-olah mempunyai agenda tertentu.

“Apakah daftar pemilih sudah dibersihkan? Apakah ia dilengah-lengahkan disebabkan untuk memindahkan pemilih di kawasan sasaran yang boleh dimenangi Barisan Nasional (BN). Kita akan gunakan Sistem Menang Pilihan Raya (Sismep) versi 3.0 untuk memeriksa jumlah pengundi hantu dan daftar pemilih yang dipindahkan ke kawasan lain,” katanya.

Beliau mendakwa, kenyataan Muhyiddin itu disifatkan sebagai retorik politik semata-mata dan jika pilihan raya diadakan dalam tempoh terdekat ini, PKR telah meminta Kerajaan Negeri supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) berasingan dengan Parlimen untuk memastikan kemenangan berpihak kepada PR.

KD: Semacam pelik pula tajuk laporan Sinar Harian ini. Betul ke pelabur yang runsing? Jika dibaca secara keseluruhan kenyataan tersebut, ia seakan menampakkan kerisauan pihak pembangkang, bukannya pelabur. Jika dilteliti, pihak kerajaan lebih santai dalam isu berkaitan tarikh pilihan raya. Sebaliknya, pihak pembangkang dilihat lebih tergesa-gesa. 

SELANGOR MAHU AMBIL ALIH SYABAS

SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor akan mengambil alih pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dalam tempoh dua minggu ini ekoran cadangannya mahu mengadakan catuan air di kawasan utama di Lembah Klang.

Bagaimanapun, Kerajaan Negeri perlu mendapatkan persetujuan Kerajaan Pusat selari dengan perjanjian semasa, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di sini, hari ini.
Langkah itu diambil ekoran pengumuman Syabas kelmarin bahawa ia mahu melaksanakan catuan bekalan air atas alasan berhadapan masalah kekurangan bekalan air bersih.

Khalid berkata, Kerajaan Negeri meragui dakwaan bahawa sudah wujud krisis air di Selangor memandangkan pengawal selia air negeri dan lembaga pengarah Syabas tidak dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

"Jadi kami dah buat keputusan untuk ambil alih pengurusan dalam tempoh dua minggu mengikut perjanjian yang ada dan sekiranya tidak dipersetujui kita akan dapatkan keadilan melalui tindakan mahkamah.

"Kalau Kerajaan Persekutuan pentingkan rakyat Selangor dia sepatutnya terima keputusan Kerajaan Negeri," kata Khalid pada sidang media di bangunan SUK di sini, hari ini.

Dalam satu kenyataan kelmarin, Syabas berkata mahu mendapatkan kebenaran daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk mengadakan catuan bekalan air dengan segera di  Kuala Lumpur, Hulu Langat dan Klang ekoran penurunan paras simpanan air.

Ketua Pegawai Eksekutif Syabas, Datuk Ruslan Hassan dipetik berkata, ketiga-tiga kawasan itu berhadapan dengan krisis air memandangkan paras simpanan air telah menurun kepada dua peratus berbanding 20 peratus yang diperlukan.

Syabas ditubuhkan pada 8 Julai 1996 di bawah Akta Syarikat 1965 untuk menjalankan penswastaan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dan telah mengambil alih tanggungjawab Perbadanan Urus Air Selangor.

Ia dilantik oleh kerajaan Negeri dan kerajaan Persekutuan bagi mempertingkat dan menambah baik sistem dan perkhidmatan bekalan air di Selangor memandangkan pengurusan sebelumnya menghadapi kendalaan kewangan, pengurusan tidak efektif, standard mutu air yang rendah dan bekalan air terawat yang tidak konsisten. 

Syabas diberikan konsesi untuk mengurus, mengendali dan membekal air bersih bermutu bagi tempoh 30 tahun mulai 1 Januari 2005.

KD:  Rasanya sudah lama isu pengurusan air ini menjadi rebutan Kerajaan Selangor dan Syabas.KD tidak kisah siapa pun yang menguruskannya, selagi tidak menjejaskan atau mengganggu pengguna di Selangor.

WAN AZIZAH TKM 1 PULAU PINANG?

GEORGETOWN - Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkemungkinan boleh dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 sekiranya beliau memenangi mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
          
Ketua Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang, Amir Md Ghazali berkata, jawatan itu mungkin boleh diberikan kepadanya sekiranya Pakatan Rakyat (PR) kekal memerintah negeri. Katanya, cadangan berkenaan juga boleh dibuat sekiranya tiada calon ternama lain yang sesuai untuk jawatan itu.
         
“Setakat ini PKR negeri belum pernah membincangkan tentang perkara ini namun sekiranya ada peluang dan mengambil kira tiada calon lain yang ternama yang sesuai apa salahnya kita berikan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 kepadanya bagi mewakili PKR,” katanya.
         
Bagaimanapun Amir berkata, ia juga bergantung kepada parti sama ada mahu meletakkan Datuk Dr  Wan Azizah bertanding di Pulau Pinang ataupun di negeri lain.
           
Katanya, AMK memang amat mengalu-alukan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh untuk kembali ke Pulau Pinang dan beliau yakin momentum sokongan rakyat kepada isteri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu masih lagi kuat.
         
Mengulas mengenai kenyataan Adun Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah yang mendakwa tindakan Dr Wan Azizah yang mahu bertanding di kerusi Pulau Pinang mempunyai agenda dan kepentingan peribadi selain bukan mahu berkhidmat kepada masyarakat, Amir berkata dakwaan itu tidak benar sama sekali.
         
Menurutnya, tindakan Dr Wan Azizah melepaskan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada suaminya adalah satu strategi PKR bagi menghapuskan Umno di kawasan berkenaan.

KD: Nampaknya pembangkang mempunyai harapan besar untuk menakluki negeri Pulau Mutiara ini. Selain itu, DSAI juga dilihat mengembangkan 'sayapnya' melalui ahli keluarganya. Justeru, apakah relevan hasrat DSAI yang ingin bersara? Apapun, rakyat sedang menyaksikan kancah politik yang tiada kesudahan ini.

PRU13 SELEPAS AIDILFITRI : REAKSI

Semalam Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan harapan beliau agar PRU13 tidak diadakan pada tahun depan memandangkan tahun ini merupakan tahun paling sesuai mengadakannya.

Hari ini, beberapa reaksi diterima. Mari kita tengok apa kata mereka.

Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian berpendapat, selepas Hari Raya Aidilfitri iaitu pada Oktober adalah masa terbaik mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Penganalisis politik itu berkata, walaupun November banyak cuti sekolah tetapi ketika itu sudah mula musim tengkujuh terutamanya di kawasan Pantai Timur. Justeru, Oktober antara masa yang sesuai, selepas hari raya.

Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata, beliau tidak melihat pandangan Muhyiddin menggambarkan wujudnya masalah besar antara beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Sebaliknya, beliau menyifatkan apa yang diperkatakan oleh Muhyiddin sebagai satu mesej tersirat kepada ahli-ahli Umno bahawa mereka perlu terus membuat persiapan untuk menghadapi PRU13.

Bagi KD pula, tidak kisahlah bila pun PRU-13 diadakan. Tetapi ia perlulah masa dan tarikh yang sesuai. Segala persiapan dan persediaan perlu teliti dan lancar. Selain itu, rakyat Malaysia yang juga pengundi perlu memilih pentadbiran yang benar serta mampunyai masa depan.

Friday, July 13, 2012

ISU PENCERAIAN DIPOLITIKKAN?
Yahya dan isterinya Che Hasnah.


Isu ini menjadi isu hangat hari ini. Pelbagai pihak memberi reaksi masing-masing. Begitu juga mangsa keadaan,  
Berikut merupakan petikan kenyataan mereka:

Bekas suami, Yahya Ibrahim:
“Saya ceraikan dia bukan kerana politk, tapi dia sesat! Ia bukan setakat solat 5 waktu tetapi banyak aspek yang menyesatkan. Beliau (bekas isteri) tidak ikut cara Islam seperti ajaran Nabi Muhammad SAW dan seperti yang dikehendaki Allah.“

Bekas isteri, Che Hasnah Che Ahmad :  
“Semua ajaran Islam saya lakukan kecuali sertai Pas.” Malah, selama hidup bersama 14 tahun, bekas suami tidak langsung menegur amalan agamanya.

MB Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat :
“Perkara ini mendukacitakan. Politik sepatutnya dijadikan asas untuk memberi kebaikan kepada masyarakat.” Walau bagaimanapun, beliau perkara itu bukan baru di Kelantan memandangkan ada sesetengah pihak sanggup menyalahgunakan politik dalam kerajaan.

Pengerusi Jawatan Kuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, Wan Ubaidah Omar:
Beliau  yakin masih ada beberapa alasan lain termasuk mereka tidak serasi hidup bersama.

Ketua Umno Pasir Mas, Datuk Hanafi Mamat:
“Institusi kekeluargaan adalah suci dan tidak seharusnya dicemari isu politik sehingga mendorong kepada perceraian. Ini jelas berpunca daripada sikap pembangkang yang mengotori minda masyarakat. Sehubungan itu, kita akan berusaha menyatukan mereka semula dan tidak menjadi ikutan sebaliknya menjadi iktibar.”

Adun Chetok, Abdul Halim Abdul Rahman:
Sekiranya perceraian ini membabitkan perbezaan politik, pihaknya berusaha mendamaikan kedua-dua pihak. Pihaknya akan membuat penyiasatan kes perceraian itu sama ada melibatkan isu politik atau sebaliknya.


KD: Jika semalam KD marah benar dengan berita ini tetapi hari ini KD sudah berasa sedikit tenang. Selepas membaca beberapa kenyataan dan maklum balas dari beberapa pihak, KD berpendapat isu sebegini terlau sensitif untuk diperkatakan. Tambahan pula, apabila ia mengaitkan hubungan perkahwinan, ia pastinya ada sesuatu di luar pengetahuan dan jangkaan kita. Kini, terserahlah kepada tuan empunya badan untuk berbincang dan mengambil keputusan yang terbaik. Mohonlah petunjuk dari Yang Esa. Hanya Dia Yang Maha Mengetahui atas segala sesuatu.
AKTA KEHARMONIAN HARUS BERI RUANG KEBEBASAN BERSUARA

KUALA LUMPUR - Langkah kerajaan memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional dialu-alukan oleh banyak pihak dengan harapan akta baharu itu akan terus melindungi asas kebebasan rakyat di negara ini.

Mereka juga mengalu-alukan jaminan bahawa rundingan dengan pihak berkepentingan akan dilaksanakan dalam menggubal undang-undang baharu kerana ia adalah penting bagi memastikan demokrasi negara ini adalah benar-benar inklusif dan serta sama.

Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh berkata, keputusan itu adalah ke arah yang betul dan meminta peruntukan yang selaras dengan keperluan masa kini.

"Saya harap pengumuman tersebut akan membawa kepada ruang kebebasan bercakap dan bersuara yang lebih luas dan diperlukan," katanya dalam kenyataan di sini.

Karpal berkata, adalah penting bahawa akan ada maklum balas daripada orang awam sebelum Akta Keharmonian Nasional digubal oleh Parlimen.

"Orang awam mempunyai hak untuk menyertai dalam proses yang membawa kepada laluan akta ini yang tidak perlu termasuk pengulangan sebarang seksyen yang zalim tidak selaras dengan kebebasan bercakap dan bersuara," katanya.

Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee pula berkata, undang-undang baharu harus setakat mana yang boleh daripada menjenayahkan ucapan dan idea dan tidak terburu-buru untuk memperkenalkan kesalahan jenayah.

Beliau juga menegaskan bahawa perkara seperti kesetiaan, saling menghormati dan perpaduan negara tidak boleh digubal.

"Ini adalah idealisme yang dibangunkan secara beransur-ansur dan dipupuk secara semulajadi dan bukan dituntut oleh kuasa undang-undang secara serta-merta," katanya sambil menambah, Majlis Peguam akan terus memberikan pandangan yang berhati-hati dan maklum balas dalam pengisytiharan undang-undang baharu itu.

Dalam pada itu, Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Tan Sri Hasmy Agam berkata mereka menghargai dan menyokong usaha-usaha pembaharuan demokrasi dan melindungi hak asasi manusia dan kebebasan di negara ini.

Beliau berkata, suruhanjaya itu berharap untuk melibatkan diri dengan Pejabat Peguam Negara dan pihak berkepentingan lain dalam penggubalan undang-undang baharu bagi menangani kebimbingan tertentu.

Suhakam berharap akta baharu itu akan digubal dalam cara yang telus bagi memastikan ia selaras dengan prinsip asas hak asasi manusia, katanya.
 
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, akta baru itu akan mengikut acuan Malaysia yang tersendiri tanpa terikut dengan akta seumpama dari negara lain.

Tsu Koon, menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal perpaduan dan pengurusan prestasi berkata, nama 'keharmonian' itu sendiri sudah nyata bahawa akta itu akan disesuaikan secara menyeluruh dengan latar belakang Malaysia yang mempunyai rakyat yang berbilang kaum dan agama.

"Ini merupakan satu lagi transformasi yang dijalankan kerajaan bagi menjaga rakyat Malaysia yang berbilang kaum," katanya. - Bernama

KD: Bagaimana agaknya Akta Keharmonian itu ye? Pasti ramai yang tertunggu-tunggu. Kedengaran namanya sahaja sudah gembira dan harmoni rasanya. Harap akta itu nanti menggembirakan dan memuaskan hati semua pihak.