Monday, December 17, 2012

KEPUTUSAN CEC BUKTI DAP PARTI PERKAUMAN - PUAD ZARKASHI

JOHOR BAHARU: Keputusan pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP semalam jelas membuktikan kenyataan bekas Naib Pengerusinya, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim bahawa Melayu tidak mempunyai tempat dalam parti itu adalah benar.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi berkata walaupun calon Melayu yang bertanding dalam pemilihan itu bukan calang-calang orang, namun mereka tetap tewas kerana parti tersebut mengamalkan perkauman.

"Mereka yang bertanding bukan calang-calang orang seperti Senator Ariffin SM Omar, yang merupakan seorang tokoh akademik dan merupakan seorang profesor. 

"Saya tahu beliau tidak terpilih kerana beliau bangsa Melayu, dan orang DAP tidak pandang pun kelulusan dia. Kalau sekiranya ahli biasa DAP yang mengundi, saya tidak risau, tetapi yang mengundi ini ialah perwakilan yang merupakan pemimpin akar umbi," katanya kepada Bernama pada Ahad.

Beliau berkata mereka bukan sahaja tidak menang malah semua lapan calon Melayu juga mendapat undi yang amat sedikit, membuktikan dengan jelas Melayu memang tidak mempunyai tempat dalam parti cauvinisme itu.

Sehubungan itu, Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, meminta orang Melayu termasuk PAS membuka mata melihat perkara ini, dan tidak hanya bersikap tidak endah dengan apa yang berlaku.

"DAP memang tidak boleh dipercayai, bagaimana nak bekerjasama kalau seorang pemimpin Melayu pun tidak diberikan tempat di dalam parti itu, apatah lagi nanti jika mereka berjaya memegang tampuk pemerintahan negara," katanya.

Beliau berkata tindakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggunakan platform kongres itu bagi meminta secara terbuka tambahan 13 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-13 juga jelas menunjukkan tiada kesepakatan dalam pakatan pembangkang berhubung soal pembahagian kerusi.

"Masalah itu tidak selesai (pembahagian kerusi)... sebab itu, Guang Eng terpaksa bawa hal itu dalam ucapan perasmiannya, yang saya sifatkan sebagai satu ugutan. "Saya beranggapan tindakan itu membuktikan DAP tamak, tidak percaya kepada rakan kongsinya yang lain, dan sebab itu, dia (Guan Eng) guna platform ucapan dasar mengkritik PAS termasuk isu gender dalam pentadbiran PAS di Kelantan," katanya.

Puad berkata DAP juga seolah-olah memperlekeh PKR dan PAS serta memberi isyarat bahawa dua parti itu tidak mampu memenangi banyak kerusi pada pilihan raya umum nanti, kerana itu, ia wajar diberi kepada DAP. -BERNAMA/mStar
TUNTUTAN DAP BAKAL JADI PUNCA SENGKETA PAKATAN PEMBANGKANG

PASIR GUDANG: Kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang secara terbuka mahukan dua sekutunya, PAS dan PKR, memberi parti itu 13 kerusi tambahan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13, bakal menjadi punca pergolakan pakatan pembangkang.

Ketua Umno Bahagian Pasir Gudang Datuk Seri Khaled Nordin berkata keadaan itu menggambarkan DAP ingin mendominasi pakatan pembangkang.

"Saya percaya DAP beranggapan di kalangan parti pembangkang lain mereka merupakan parti yang terkuat, sebab itu mereka berani membuat tuntutan tersebut.

"Ini akan menjadi asas kepada perbalahan mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian hadiah sempena Program Gerak Mesra Perdana Majlis Perbandaran Pasir Gudang di sini, Ahad.

Menteri Pengajian Tinggi itu mengulas kenyataan Lim yang mahukan tambahan 13 kerusi - tiga Parlimen dan 10 Dewan Undangan Negeri (DUN) - pada Pilihan Raya Umum berkenaan.

Lim membuat permintaan itu ketika berucap di Kongres Kebangsaan ke-16 DAP di Pulau Pinang semalam atas alasan semangat setiakawan.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, DAP bertanding bagi 47 kerusi Parlimen dan 102 kerusi DUN. -BERNAMA/mStar

Sunday, December 16, 2012

CEC DAP KE-16:- TIADA TEMPAT UNTUK KAUM MELAYU

GEORGE TOWN - Kesemua lapan pemimpin DAP Melayu yang bertanding bagi merebut jawatan Anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) disingkir apabila kalah dengan keputusan teruk pada Kongres Kebangsaan ke-16 DAP Sabtu.

Keputusan tersebut sekaligus membuktikan parti dominasi kaum Cina itu tidak memberi laluan kepada mana-mana calon Melayu termasuklah Zairil Khir Johari, yang berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Zairil cuma memperoleh 305 undi manakala Lim meraih 1,576 undi. Sejumlah 1,823 perwakilan mengundi bagi memilih 20 orang barisan kepimpinan DAP bagi tempoh 2012-2015.

Calon lain yang disingkir ialah Anggota Jawatankuasa DAP Pulau Pinang Zulkifli Mohd Noor (216 undi), Senator Ariffin S.M Omar (748), Naib Pengerusi DAP Johor Ahmad Ton (347 undi), Timbalan Pengerusi DAP Pahang Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (121), Pengerusi DAP cawangan Desa Manjung Solaiman Op Syed Ibrahim (98), Roseli Abdul Ghani (39) dan Harun Ahmad (28).
Zulkifli ketika ditemui berkata mesej yang diperjuangkannya selama 25 tahun untuk menempatkan kaum Melayu dalam CEC parti itu tidak sampai ke peringkat akar umbi.

"Apabila kita katakan Malaysian Malaysia itu, maknanya kita mesti mewakili semua agama, semua bangsa, semua kaum... seimbang. Mesej yang saya sampaikan selama ini belum sampai ke akar umbi.

Mereka masih lagi mengundi, memilih pemimpin berpandu kepada bangsa," katanya. Beliau berkata pemilihan itu juga tidak berlandas kepada kebolehan dan pengalaman calon dalam memperjuangkan parti.

"Belum ada perubahan di situ. Keputusan hari ini (Sabtu) tak de seorang pun calon Melayu... Mungkin pemimpin atasan yang bertanding mesti nak jaga kepentingan masing-masing, bukan kepentingan parti," katanya. - BERNAMA
DAP MAHU TAMBAHAN 13 KERUSI PADA PRU-13

GEORGETOWN - DAP mahu tambahan 13 kerusi iaitu tiga bagi kawasan Parlimen dan 10 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pertambahan 13 kerusi adalah atas dasar semangat setiakawan dan tulus kepada Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Kita (DAP) telah terbukti menjadi rakan yang setia dan tulus kepada Pas dan PKR. DAP berharap bahawa kesetiaan kita ini diiktiraf dengan membenarkan DAP bertanding lebih banyak kerusi pada PRU nanti.

"Kita menyasarkan tiga tambahan kerusi untuk Parlimen dan 10 kerusi untuk DUN di Semenanjung Malaysia manakala Sabah dan Sarawak sedang mengendalikan rundingan kerusi mereka sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar bertajuk "Perubahan Di tanganmu" pada kongres ke-16 DAP di Pusat Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA) di sini hari ini.

Pada pilihan raya umum 2008, DAP bertanding bagi 47 kerusi Parlimen dan 102 kerusi DUN. – BERNAMA/UtusanOnline

Friday, December 14, 2012

PERATURAN BERKAITAN PENYIARAN IKLAN TV AKAN DIMANTAPKAN

KUALA LUMPUR: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan sedang dalam proses memantapkan peraturan sedia ada untuk memantau penyiaran iklan di televisyen dengan lebih berkesan.

Timbalan Menterinya, Datuk Joseph Salang berkata pada masa ini peraturan supaya semua iklan yang ingin disiarkan di televisyen tempatan perlu mempunyaisijil perakuan, masih diguna pakai.

"Garis panduan perakuan filem iklan buatan Malaysia masih menetapkan bahawa setiap iklan perlu ada Sijil Akuan Iklan Buatan Malaysia (Sijil MIM).

"Sijil ini hanya dikeluarkan untuk iklan yang diterbitkan oleh penerbit iklan tempatan sahaja. Iklan buatan luar pula boleh digunakan sebagai foreign footage (kakian asing) dengan tidak lebih 30 peratus (dalam iklan yang ingin disiarkan)," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan2013 di Dewan Negara, Khamis.

Dalam pada itu, Salang menegaskan tidak timbul isu berat sebelah dalam pembahagian slot persembahan di Istana Budaya kerana ia telah ditetapkan pada kadar 70 peratus bagi artis tempatan dan bakinya untuk artis antarabangsa setiap tahun.

Salang berkata persembahan yang hendak diadakan di Istana Budaya harus mengikut garis panduan yang ditetapkan seperti berkualiti tinggi, skrip bermutu,penerbit berkemampuan, mempunyai tarikan khalayak dan sesuai dengan skalapentas.

"Istana Budaya juga berkecuali dalam isu bayaran artis dan tiket. Bayaran artis merupakan hasil perbincangan terus dengan penerbit, manakala harga tiketyang tinggi melibatkan artis antarabangsa adalah disebabkan kos produksi yangtinggi dan kurang mendapat tajaan," jelasnya.

Salang turut memaklumkan Dewan Negara sejumlah RM20.3 juta telah diluluskan melalui tiga dana perfileman di bawah Perbadanan Kemajuan Filem NasionalMalaysia (Finas) sejak 2006 hingga 30 Nov lepas.

Tiga dana itu ialah Dana Filem Kenegaraan, Dana Filem Animasi dan Dana FilemKesan Khas Komputer (CGI). –BERNAMA/mStar
WANITA DIGALAK BERSUARA BAGI BENTUK PELAN ASPIRASI NEGARA

IPOH: Wanita di negara ini, terutama di peringkat akar umbi, digalak mengemuka atau menyuarakan apa sahaja aspirasi mereka agar dapat diketengah melalui Pelan Aspirasi Wanita Malaysia yang bakal dibentuk tidak lama lagi.
Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Kebangsaan (MPWK) Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata golongan itu boleh mengemukakan apa sahaja sama ada hasrat, cadangan, pendapat, kritikan atau impian yang mereka mahu kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) lakukan untuk kaum hawa.

"Kita akan kumpulkan semua senarai aspirasi dari akar umbi bermula hari ini. Kita akan bentangkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta seterusnya menyediakan Pelan Aspirasi Wanita Malaysia untuk masa depan dalam tempoh dua bulan ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Aspirasi Wanita Zon Tengah Khamis.

Beliau berkata semua wanita tanpa mengira kaum serta latar belakang boleh mengemukakan aspirasi kepada pengerusi MPWK di peringkat kawasan Parlimen masing-masing.

"Ini satu cara yang kita buka untuk seluruh wanita di negara ini. Kita mahu dengar suara golongan wanita di peringkat akar umbi terutama golongan wanita yang sakit, miskin dan tiada tempat bergantung, maka mengadulah, suarakanlah kepada MPWK yang ada di peringkat Parlimen," katanya.

Shahrizat juga berkata usaha ini merupakan merupakan satu pendekatan baharu berlandaskan contoh serta polisi kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib TunRazak yang mengambil berat rintihan rakyat semasa beliau turun mendekati masyarakat akar umbi. - BERNAMA/mStar

KD: Wanita..tonggak pembangunan negara..

SEMAKIN RAMAI 'KESAN AES' GUNA TELEFON PINTAR

PETALING JAYA: Pengguna jalan raya dan lebuh raya akan melakukan apa sahaja untuk mengelak daripada terkena perangkap Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Bagi yang mampu, mereka mungkin sanggup membayar sejumlah wang untuk memasang alat pengesan AES pada kenderaan mereka.

Bagi pengguna telefon pintar, mereka mungkin boleh dikatakan 'pintar' apabila mereka memuat turun aplikasi pengesan AES pada telefon masing-masing bagi mengelak daripada dikenakan saman.
Kevin menunjukkan aplikasi 'AES Detector' pada iPad dan telefon pintar yang dibangunkan untuk pengguna jalan raya.
Sejak AES diperkenalkan September lalu, aplikasi untuk mengesan kamera AES semakin mendapat perhatian ramai apabila ia sering berada pada kedudukan terbaik di antararibuan aplikasi lain yang ditawarkan sama ada kepada pengguna android atau iOS.

Aplikasi 'AES Detector' misalnya pernah berada pada kedudukan 30 teratas bersama aplikasi lain seperti Facebook, WhatsApp Messenger, Viber, Twitter yang menjadi aplikasiyang 'wajib' dimuat turun bagi kebanyakan pengguna telefon pintar dunia masa kini.

Aplikasi lain yang berkaitan termasuklah 'AES Location Detector', 'AES Alert', 'AES Detector With Map', 'AES Camera Detector', 'AES Camera Location' dan banyak lagi yang beradapada kedudukan yang tidak kurang hebat.

Kevin Chua, 34, yang membangunkan aplikasi 'AES Detector' berkata dia membangunkan aplikasi ini untuk membantu orang ramai daripada terkena perangkap AES.

Katanya, sejak aplikasi ini pertama kali dipasarkan melalui 'Google Play' untuk dimuat turun oleh pengguna android melalui 'Play Store' pada 14 Oktober 2012, rekodmenunjukkan seramai 313,769 pengguna telah melakukan muat turun.

Aplikasi ini kemudiannya ditawarkan kepada pengguna iOS pada 20 November 2012.

"Saya ingin membantu pengguna dan dalam masa yang sama saya juga boleh menggunakannya.

"Ia percuma dan saya belum terfikir untuk mengenakan bayaran untuk aplikasi ini. Aplikasi ini membantu orang ramai dengan mengingatkan mereka tentang adanya AES berhampiranmereka dan dengan itu mereka perlu mematuhi undang-undang yang ditetapkan," katanya kepada mStar Online.

Mempunyai ijazah dalam bidang Sains Komputer, Universiti Sains Malaysia (USM), Kevin berkata dia tidak berniat menggalakkan orang ramai melanggar undang-undang trafikdengan membangunkan aplikasi seumpama ini.

"Saya hanya ingin membantu dengan cara ringkas dan mudah. Bayangkan dengan adanya aplikasi ini mereka yang memandu dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang mungkin bolehmenyelamatkan wang sehingga RM600 jika mereka terkena perangkap AES kerana memandu melebihi had laju ditetapkan," katanya yang membangunkan aplikasi ini secarapersendirian.

Bagi memastikan ketepatan dan kebolehpercayaan AES, Kevin berkata dia akan membuat kajian dan dengan bantuan para pengguna yang memberikan maklumat berkaitan.

"Sehingga kini kamera AES dikenal pasti di 14 buah lokasi di seluruh negara," katanya.

Kevin berkata aplikasi boleh terus digunakan sebaik sahaja pengguna melakukan muat turun yang mengambil masa beberapa minit.

Sebelum memulakan perjalanan, pengguna perlu mengaktifkan telefon atau 'tablet' mereka kepada mod bunyi dan memandu meneruskan perjalanan seperti biasa.
"
Peranti akan berbunyi, isyarat terdapat AES perangkap kelajuan di hadapan 2,000 meter dari kenderaan sedang dipandu.

"Isyarat akan berbunyi sebanyak lima peringkat mengikut jarak tertentu sehingga kenderaan tiba di lokasi sebenar AES," katanya.

Bagi AES perangkap kesalahan melanggar lampu isyarat, peranti akan berbunyi dari jarak sejauh 800 meter dari lokasi kamera.

Kevin berkata walaupun aplikasi ini hanya boleh digunakan di Malaysia, rekod menunjukkan terdapat juga rakyat Singapura dan Indonesia yang memuat turun aplikasi ini untuk digunakan dalam pemanduan mereka di sini.

Mengenai pelaksanaan AES di Malaysia Kevin bersetuju ia dapat membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya tetapi berpendapat ia harus dipasang di tempat yang sesuai dan kadar saman dikaji semula.

"Saya bersetuju jika ia diletakkan di kawasan kemalangan dan usaha ini memerlukan penjelasan berterusan kepada rakyat.

"Bayangkan anda memandu dari Johor ke Utara yang mana anda mungkin menerima lebih dari satu saman. RM300 untuk satu saman agak mahal untuk rakyat biasa," katanya.

Bagi Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan berkata aplikasi ini mungkin boleh membantu pengguna daripada melakukan kesalahan berkaitan had laju atau melanggar lampu isyarat. -mStar

Berikut adala respon dari beberapa pengguna yang menggunakan aplikasi ini:
  • Daripada 2,140 yang membuat penilaian, seramai 1,321 pengguna memberikan lima bintang, 477- empat bintang, 193- tiga bintang, 47- dua bintang dan 102- satu bintang.
  • Azriena FerousZ memberikan komen: Baru sahaja mengemas kini aplikasi tetapi tiada isyarat bunyi? Atau adakah telefon saya yang mempunyai masalah? Bagimanapun aplikasiini sangat bagus. Cara yang baik untuk menjimatkan wang.
  • Seorang pengguna telefon bimbit model HTC Nexus One memberi komen: Aplikasi yang bagus, dan menjadi kemestian untuk mereka yang sering memandu. Anda akan menjadi kaya nanti (bergurau).
  • Pengguna android memberi komen: Terbaik...5 bintang bro...aplikasi sangat-sangat membantu.
  • Seorang pengguna memberi komen agak negatif: Saya benci bunyi isyarat GPS. Bolehkah anda memberi pilihan untuk mengalihkannya?
  • Wagner Sahui memberi komen: Khidmat terbaik untuk masyarakat
KD: Apa salahnya berkongsi perkara yang baik dan berguna...