Sunday, January 27, 2013

ISU KALIMAH ALLAH: CABAR KESABARAN UMAT ISLAM -MUFTI PERAK

IPOH - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria meminta agar cadangan penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible versi Melayu dihentikan kerana isu itu mencabar kesabaran umat Islam.

Justeru, beliau memberi amaran bahawa jika cadangan itu diteruskan, tidak mustahil akan menjejaskan keharmonian beragama serta perpaduan kaum di negara ini sehingga boleh menimbulkan kekacauan.

"Sebagai orang Islam, kita wajib berjihad mempertahankan kalimah tersebut kerana ia tidak boleh diberikan kepada sesiapa melainkan Islam,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian pejabat Damara Care and Herbs di Gunung Rapat, semalam.

Beliau turut mengingatkan umat Islam di negara ini bahawa mereka akan menjadi kafir sekiranya membenarkan pihak lain menggunakan kalimah ALLAH.

Katanya, hanya umat Islam jahil sahaja yang sanggup berkompromi dalam isu berkenaan Harussani menjelaskan jika umat Islam membenarkan kalimah ALLAH digunakan oleh agama lain, bermakna mereka bersetuju dengan tindakan pihak berkenaan mempersekutukan ALLAH.
“Maka persetujuan itu juga menjadikan kita (umat Islam) kafir. Justeru kita mesti bersatu mempertahankan aqidah kita. Kita tak boleh terima dan tidak boleh berkompromi dengan orang yang mempersekutukan ALLAH,” katanya.

Beliau berkata, di dalam enakmen setiap negeri sudah dinyatakan bahawa kalimah ALLAH tidak boleh digunakan dalam agama lain.

“Enakmen telah dibuat oleh Dun yang telah diberi kuasa oleh perlembagaan untuk membuat  undang-undang mengenai agama dan diluluskan Sultan yang menjadi undang-undang negara.

“Oleh itu, undang-undang negara tidak boleh diusik jika tidak seolah-olah tidak menerima Perlembagaan. Justeru, orang yang tidak mematuhi undang-undang adalah orang yang derhaka kepada negara,” katanya.- Sinar Harian
ISU KALIMAH ALLAH : PAS GESA MUFTI PANGGIL MUZAKARAH


SHAH ALAM – Pas menggesa mufti di setiap negeri supaya mengadakan muzakarah terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyentuh hukum agama Islam bagi mengelakkan kekeliruan umat Islam.

Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, langkah itu perlu diperhalusi dan pemegang fatwa perlu lebih berhati-hati khususnya dalam memberikan maklum balas terhadap isu kalimah ALLAH yang kembali menjadi kontroversi sejak akhir-akhir ini.

"Kenyataan ini saya ditujukan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Husseinyang telah memberikan kebenaran untuk menggunakan nama ALLAH dalam Bible berbahasa Melayu.

"...sebagai mufti dia sepatutnya menjadi penasihat bagi kerajaan kerana bidang kuasa mufti hanya terhad kepada negeri yang diwakili sahaja,” dakwanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria semalam yang menyifatkan umat Islam akan menjadi kafir sekiranya membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah ALLAH.

Katanya lagi, sekiranya umat Islam membenarkan kalimah ALLAH digunakan oleh agama lain, bermakna mereka bersetuju dengan tindakan pihak berkenaan menyekutukan ALLAH.

Harussani turut mendakwa, hanya umat Islam jahil sahaja yang sanggup berkompromi dalam isu berkenaan.

Justeru itu, beliau meminta pihak berkenaan menghentikan cadangan penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible versi Melayu kerana ini akan mencabar kesabaran umat Islam di negara ini.

Jika cadangan ini diteruskan, beliau bimbang akan menjejaskan keharmonian beragama serta perpaduan kaum di negara ini. – Sinar Harian

MAJLIS SYURA PAS LUCUT NASHA KERANA LANGGAR PERATURAN


SHAH ALAM – Majlis Syura Pas mengesahkan telah menggugurkan keanggotaan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa, yang pernah disebut akan diambil tindakan disiplin tahun lalu, atas alasan telah melanggar beberapa peraturan badan tertinggi parti itu.

Setiausahanya, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh berkata, keputusan itu dibuat kerana Nasharudin  didapati melanggar peraturan-peraturan berjamaah seperti yang telah ditetapkan oleh Majlis Syura.

“Keputusan mengenai perkara itu dibuat pada mesyuarat 13 Januari lalu yang dipengerusikan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Antara sebab keputusan itu diambil kerana beliau (Nasharudin) telah melanggar beberapa peraturan yang ditetapkan parti. Antaranya tidak hadir mesyuarat, selebihnya saya tidak mahu ulas… maaf ya.

“Surat mengenai perlucutan Nasharuddin sebagai anggota Majlis Syura sudah diserahkan selepas mesyuarat itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Ketika ditanya sama ada pihak Majlis Syura ada menghubungi Nasharudin selepas keputusan itu dibuat, Nik Zawawi berkata, pihaknya tidak ada menghubungi Ahli Parlimen Bachok itu.

“Beliau juga tidak ada menghubungi kami untuk penjelasan lanjut.

“Dengan keputusan ini, anggota Majlis Syura berharap beliau akan istiqamah dan menumpukan perhatian dalam perjuangan parti. Sumbangan beliau masih diperlukan dan diharapkan beliau dapat beri manfaat kepada parti,” katanya lagi.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai tindakan Nasharudin yang mengikuti rombongan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk lawatan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza baru-baru ini, Nik Zawawi berkata, itu merupakan tindakan peribadi Nasharudin.

“Itu terpulanglah kepada dia (Nasharudin), itu tindakan peribadinya sendiri."

Pada September lalu, Nasharudin dan Majlis Syura dilaporkan menjadi tumpuan dengan membincangkan nasib bekas Timbalan Presiden Pas itu.

Bagaimanapun mesyuarat 9 September itu bersidang tanpa membincangkan isu berkaitan dengan Nasharudin.

Seperti diramalkan pemerhati dan kebanyakan pemimpin kanan parti ketika itu, beliau 'selamat' daripada sebarang tindakan berat.

Ketika itu, Nasharudin menjadi tumpuan ekoran  gesaan beliau agar Pas mempertimbang semula keanggotaan dan kerjasama dalam Pakatan Rakyat berikutan pendirian Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh dalam isu hudud. - Sinar Harian

Saturday, January 26, 2013

PRU13: MEMAHAMI HARAPAN RAKYAT KUNCI KEMENANGAN BN - PM

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata harapan dan jangkaan rakyat terhadap kerajaan telahpun meningkat, dan ini perlu difahami sebaik-baiknya bagi memastikan kejayaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.
  
Najib, yang juga pengerusi BN, berkata menyedari hakikat ini, kerajaan berazam untuk melakukannya dengan cara berbeza dan bekerja dengan bersungguh-sungguh.
  
"Kita perlu menyedari bahawa rakyat tidak akan memberi undi mereka berdasarkan setakat manakah sumbangan anda sebelum ini.
  
"Tetapi rakyat akan mengatakan, 'apakah yang boleh anda lakukan sekarang dan bagi masa depan," katanya dalam wawancara bertajuk 'An Insight, An Idea with Mohd Najib Tun Abdul Razak' yang disiarkan CNN pada Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang berlangsung di Davos, Switzerland.
  
Najib turut menarik perhatian bahawa tiada siapapun yang boleh menafikan hakikat bahawa Umno dan BN meneruskan agenda pembangunan selepas berjuang untuk kemerdekaan negara.
 
Mengenai kegagalan BN untuk memenangi majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum 2008, Najib memperjelaskan antara faktornya adalah rakyat menjadi semakin kritikal sejajar dengan kemajuan teknologi maklumat, selain penggunaan media sosial.
  
Di akhir wawancara itu, perdana menteri ditanya mengenai perancangannya jika diberi mandat memerintah oleh pengundi pada pilihan raya umum ke-13 negara ini.
  
Beliau menjawab dengan mengatakan kerajaan telahpun menyatakan dengan jelas mengenai hasratnya untuk melihat Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.
  
"...dan saya komited untuk melakukan apa saja yang boleh agar harapan itu menjadi kenyataan, memang itulah yang akan saya lakukan."  - Bernama/Sinar Harian

CALON PRU: UMNO SERIUS JAGA INTEGRITI

SHAH ALAM - Umno buktikan parti itu serius menjaga integritinya dengan menyahut cabaran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghantar nama calon bagi tapisan pihak berkenaan.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, apa yang dilakukan oleh Umno adalah tuntutan biasa seperti pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

“Soal nama calon itu, kami buat kerja seperti biasa. Soal serah nama pada SPRM, tunggu nanti saya akan beritahu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Idris Haron pula berkata, apa yang dilakukan oleh partinya itu adalah kaedah yang baik.

“Ini rasa tanggungjawab kita dalam menunjukkan Umno sememangnya serius dalam integriti. Tidak seperti pembangkang yang hanya menuduh parti lain tetapi mereka tidak melakukan perkara yang sepatutnya.

“Kebolehan dan kepercayaan itu penting dan Umno berusaha melakukan yang terbaik,” katanya. –Sinar Harian

Friday, January 25, 2013

MAHASISWA LAYAK BERTANDING PRU13

KUALA LUMPUR - Mahasiswa di negara ini sudah layak bertanding merebut mana-mana kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak lama lagi.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malek berpendapat, dengan intelektual yang ada pada mahasiswa, sudah pasti dapat menjalankan peranan sebagai pemimpin berwibawa.

Menurutnya, mahasiswa juga dilihat memahami masalah yang berlaku tanpa mempunyai sikap prejudis seperti beberapa pemimpin hari ini.

“Jika di negara luar, perkara begini bukan baru, malah mendapat sokongan padu daripada masyarakat dan sudah pasti kalangan universiti sendiri.

“Mereka sudah dibekalkan dengan ilmu dan pada usia mereka yang masih muda, selayaknya mereka memainkan peranan sebagai generasi baru mentadbir negara,” katanya ketika dalam forum Kebebasan Akademik dan Hak Asasi di Dewan Perhimpunan Cina Selangor, di sini, malam kelmarin.

Katanya, menyedari perkara itu bukan mustahil untuk direalisasikan dan berharap mendapat kerjasama semua pihak.

“Jangan pandang sebelah mata mahasiswa hari ini. Cuma, masalah akan timbul apabila kesukaran mendapatkan wang deposit untuk bertanding.

“Jika ia boleh dipertimbangkan, adalah lebih baik. Yang paling utama, mahasiswa perlu berani bertanding di kawasan yang pasti kalah seperti Pekan, Permatang Pauh atau Pagoh,” katanya.

Sementara itu, bekas pensyarah UIAM, Profesor Dr Aziz Bari turut menyifatkan usia untuk mengundi perlu diturunkan kepada 18 tahun.

“Kalau dalam segi undang-undang, usia 18 tahun sudah dikenakan hukuman berat jika melakukan kesalahan, mengapa pula mereka tidak boleh mengundi?

“Inilah senario politik negara apabila pihak bertanggungjawab berada di bawah telunjuk pemerintah,” katanya.

Katanya, mahasiswa sekarang berbeza dengan sebelum ini kerana ideologi mereka sudah jauh ke depan.

“Mereka bukan lagi seperti zaman dulu yang hanya mengikut nota yang diberikan, sebaliknya mentafsirkannya dan dapat memberi hujah baru.

 “Ini yang kita perlukan dalam keadaan negara membangun. Inilah golongan cendekiawan yang akan menentang berdasarkan hujah dan fakta sahih,” katanya.

KD: Sebaiknya biarlah mahasiswa yang bertanding itu tidak terlalu muda dan berfikiran matang.