Saturday, March 23, 2013

PRU13: HASRAT KIT SIANG BERTANDING GUNA LAMBANG PAS DIPERSOAL

KUALA LUMPUR - Langkah Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mahu bertanding menggunakan lambang Pas sekiranya Pendaftar Pertubuhan (ROS) menggantung pendaftaran partinya dipersoal memandangkan agenda perjuangan antara kedua-dua parti itu berbeza sama sekali.

Penganalisis politik, Prof. Madya Zainal Abidin Borhan berkata, Kit Siang dan pimpinan DAP tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan platform parti lain terutamanya Pas sedangkan mereka boleh menggunakan lambang Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Jika benar itu berlaku, Pas selepas ini akan dianggotai dan dipimpin oleh orang-orang kafir.

"Menggunakan logo Pas berbanding PKR dibimbangi mempunyai niat jahat untuk memecah-belahkan umat Melayu dan Islam sekiranya parti yang dipinjam untuk ditandinginya itu menang,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Online petang ini.

Zainal Abidin diminta mengulas kenyataan Kit Siang di dalam akaun twitternya hari ini berhubung cadangan beliau untuk bertanding menggunakan lambang Pas sekiranya ROS menggantung pendaftaran DAP.

Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk para ahli dan bekas pemimpin DAP telah mendesak ROS mengambil tindakan membatalkan pendaftaran DAP berikutan kedegilan parti tersebut mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu selepas berlaku “kesilapan" ketika pemilihannya tahun lalu.

Menurut  Zainal Abidin, sekiranya hal itu berlaku, DAP secara tidak langsung dia telah menunjukkan belang untuk mempergunakan Pas untuk menjadi alat perjuangan politik mereka dan wujud persengketaan antara Pas dan DAP jika keputusan PRU-13 memihak kepada parti kedua terbesar orang Melayu itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali ketika dihubungi berkata, tidak mungkin DAP akan menguasai Pas jika parti itu memenangi PRU-13 kerana yakin bilangan ahli parti itu lebih ramai berbanding DAP.

"Kita mengalu-alukan calon-calon DAP menggunakan Pas dan PKR untuk bertanding di dalam PRU-13. Di dalam parti Pas sendiri, kami mempunyai sayap parti iaitu Dewan Himpunan Penyokong Pas yang terdiri daripada bukan Islam.

"Setakat ini, kami telah menerima penyertaan lebih 30,000 ahli di dalam dewan himpunan itu," katanya.

Bagaimanapun, menurut Mustafa, para pemimpin DAP termasuk Kit Siang yang berhasrat bertanding atas tiket Pas perlu mendaftarkan diri sebagai ahli Pas terlebih dahulu. -Utusan Online
KESILAPAN CEC, ROS DIGESA TIDAK BERLEMBUT TERHADAP DAP

KUALA LUMPUR - Pendaftar Pertubuhan (ROS) digesa tidak lagi menggunakan pendekatan berlembut terhadap DAP, sebaliknya mengambil tindakan tegas ekoran kegagalan pemimpinnya memberi kerjasama dalam siasatan berhubung kesilapan yang berlaku ketika pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu.

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim menegaskan, ROS perlu adil bertindak mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Menurut beliau, DAP tidak boleh dikecualikan daripada dikenakan tindakan undang-undang termasuk pembatalan pendaftaran jika didapati melakukan kesalahan di bawah akta tersebut.

"Perkara ini bukan luar biasa. Kita pernah menyaksikan UMNO diisytiharkan sebagai sebuah pertubuhan tidak sah kerana tidak mematuhi Akta Pertubuhan 1966 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Februari 1988.
"Jika UMNO boleh diharamkan atas dasar kesilapan teknikal, mengapa tidak DAP? Kenapa kita mesti takut dengan DAP," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman  berhubung kesukaran dihadapi ROS untuk menyelesaikan siasatan berikutan tidak mendapat kerjasama daripada pemimpin tertinggi DAP.

Abdul Rahman memberitahu, pihaknya telah menghantar notis memanggil seorang pemimpin tertinggi DAP ke pejabat ROS untuk memberi keterangan bagaimanapun beliau memberi pelbagai alasan seperti tiada masa.-Utusan Online

KD: Yang salah, tetap salah... jangan pula cuba mengakkan benang yang basah.

Friday, March 22, 2013

MENJELANG PRU13: NAJIB BERTEMU PENGUNDI SECARA LANGSUNG DENGAN ‘KIT TINDAKAN’

KUALA LUMPUR, 22 Mac — Mengambil contoh dari kempen pertama Barack Obama untuk pilihan raya presiden 2008, Datuk Seri Najib Razak merayu secara langsung pengundi kali pertama Malaysia dengan “Kit Tindakan” untuk membantu beliau memenangi Pilihan Raya 2013.

Selain daripada peralatan seperti buku, pen, kolar-pin dan pelekat, blog peribadi perdana menteri juga diisi dengan klip video menjelaskan Pendapatan Negara Kasar (PNK), Pelaburan Asing Langsung (FDI) dan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang telah menunjukkan peningkatan sejak beliau mengambil alih jawatan pada 2009.

Sumber dari Barisan Nasional (BN) memberitahu lebih kurang 3.3 juta pengundi baru akan menjadi kunci kepada pencapaian gabungan pemerintah itu dalam pilihan raya umum (PRU) ke 13.

“Pengundi kali pertama masih belum membuat keputusan lagi dan itulah sebabnya strategi internet sangat penting, seperti yang ditunjukkan oleh Obama pada 2008 apabila menang dengan bergaya menggunakan laman sesawang,” kata sumber BN kepada The Malaysian Insider.

“Lagipun, pengundi muda ini bergantung dengan maklumat dari laman sesawang lebih daripada media arus perdana. Jadi kita perlu sampai kepada mereka dengan mana-mana cara yang kita boleh,” tambah beliau.

Dalam blog 1Malaysia, presiden Umno menjauhi rujukan kepada partinya atau gabungan pemerintah tetapi memberi tumpuan kepada pengundi kali pertama dengan meminta mereka untuk “Jom Bertindak Sekarang” dengan mendaftar untuk mendapatkan kit tindakan.

“Kit Tindakan” 
“Kit Tindakan ini mempunyai peralatan asas untuk anda bersiap sedia bagi Pilihan Raya Umum akan datang. Sebuah buku berguna menyediakan tip-tip mudah tentang bagaimana mengundi bagi pengundi kali pertama dan mereka yang ingin menyegarkan memori mereka, pin kolar, pen dan beberapa pelekat,” kata mesej di blog Najib.

Kit terpampang dengan grafik “Jom Bertindak” dan baying orang biru dan merah dengan orang merah muncul menjadi Najib, dan mesej di bawah yang mengatakan “Kami menyokong Najib Razak”.

Kempen gaya presiden Najib menjelang PRU13 selari dengan ucapan ala “State of Union” Selasa lalu apabila beliau mengumumkan kad laporan pentadbirannya dan pencapaian di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Inisiatif perdana menteri itu telah menyebabkan beliau lebih popular berbanding partinya dan kerajaan, dengan tinjauan terbaru Merdeka Center menunjukkan kadar sokongan terhadap Najib adalah 61 peratus bulan lepas turun sedikit dari 63 peratus pada Disember.

Kedua-dua kerajaan dan partinya hanya mendapat kelulusan di atas 40 peratus dalam tinjauan sama, memperlihatkan pentingnya Najib dalam usaha BN untuk mendapatkan kembali majoriti tradisi dua pertiga yang mereka hilang pada Pilihan Raya 2008.

Najib telah mengatakan beliau mahu mendapatkan mandat peribadinya selepas mengumumkan kad laporan akan tetapi beliau masih lagi belum membubarkan parlimen walaupun PRU terakhir lebih lima tahun lalu pada 8 Mac, 2008.

Beliau dan pemimpin parti komponen BN telah muktamadkan senarai calon-calon mereka bagi 222 kerusi parlimen dan 505 Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dimenangi pada pilihan raya akan datang. Sarawak sudah mengadakan pilihan raya negeri pada 2011.

Sumber BN mengatakan, mesyuarat kabinet minggu ini yang dijalankan pada Rabu mungkin yang terakhir dan Najib akan membubarkan parlimen seawal-awalnya pada hari ini atau selewat-lewatnya pada Isnin depan.

Beliau dijadualkan untuk menamatkan jelajah Janji Diteapti esok di kerusi parlimen Pekan dimana ribuan dijangka menyambutnya.

PRU berkemungkinan besar berlangsung pada pertengahan April dimana 13.3 juta pengundi layak untuk membung undi mereka. Kedua-dua BN dan Pakatan Rakyat (PR) telah melahirkan keyakinan mereka untuk menang pilihan raya akan tetapi penganalisis mengatakan gabungan pemerintah itu akan berjaya mempertahankan Putrajaya. – The Malaysian Insider