Showing posts with label ROS. Show all posts
Showing posts with label ROS. Show all posts

Tuesday, June 18, 2013

ROS MINTA DAP KEMUKA BUKTI BERLAKU SILAP KIRA UNDI SEMASA PEMILIHAN PARTI (CEC)

KUALA LUMPUR: Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) meminta DAP mengemukakan keterangan dan bukti mengenai silap kira undi yang didakwa berlaku semasa pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu, Disember lalu.

Pendaftar ROS, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, ia adalah untuk mengenal pasti sama ada silap kira undi tersebut berlaku atas sebab 'computer glitch' atau satu penyelewengan.

"Pihak ROS sedang menjalankan siasatan dan salah satu isu utama yang masih disiasat ialah mengenai undi yang diperoleh calon yang bertanding," katanya menerusi satu kenyataan, Isnin.

DAP sebelum ini dilaporkan mengakui berlaku kesilapan pengiraan undi semasa pemilihan CEC parti itu pada Disember lepas dan ia dikaitkan dengan kesilapan teknikal.

Abdul Rahman dalam pada itu berkata, ROS perlu membuat kenyataan untuk pengetahuan umum tentang kemajuan proses siasatan ROS terhadap parti itu untuk mengelakkan manipulasi fakta seperti kandungan surat ROS bertarikh 17 April 2013 yang jelas telah dimanipulasi.

"Perbuatan ini adalah sesuatu yang tidak beretika."

"ROS perlu menjalankan siasatan dengan lebih berhati-hati supaya tidak berlaku sebarang manipulasi fakta," katanya.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada 18 April lalu mendakwa menerima surat daripada ROS bertarikh 17 April yang menyatakan ROS tidak berkuasa mengeluarkan surat watikah pelantikan kepada mana-mana calon parti menggunakan simbol parti iaitu roket pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Menurutnya, ini susulan keputusan ROS yang tidak memberi pengiktirafan kepada pemegang-pemegang jawatan CEC DAP.

Abdul Rahman juga berkata, semua anggota parti yang ditemu bual dalam proses siasatan meminta DAP mengadakan semula pemilihan CEC.Beliau juga menjelaskan ROS tidak mempunyai niat untuk membatalkan pandaftaran DAP. – BERNAMA/mStar

Monday, April 8, 2013

MENJELANG PRU13: DAP BOLEH GUNA LAMBANG PAS

ALOR SETAR - Pas tidak akan menarik semula persetujuannya membenarkan DAP menggunakan lambang parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) meskipun menimbulkan keresahan ahlinya di peringkat akar umbi.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kebenaran berkenaan diberikan kerana Pas dan DAP mempunyai persefahaman bersama atas konsep resolusi yang disepakati antara parti dalam pakatan pembangkang.

"Kita bersedia beri DAP guna lambang Pas kalau DAP tidak diizinkan menggunakan lambangnya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah sempena pelancaran manifesto PRU-13 pakatan pembangkang khusus untuk negeri ini di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang semut di sini malam tadi.

Baru-baru ini, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyuarakan hasrat untuk bertanding menggunakan lambang Pas dalam PRU-13 jika Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan pendaftaran DAP ekoran kesilapan pada pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu tahun lalu.

Bagaimanapun kenyataan tersebut menimbulkan keresahan ahli Pas di peringkat akar umbi malah bekas Setiausaha Pas Selangor, Norman Toha secara tegas menyatakan ahli-ahli parti akan menghukum parti itu pada PRU-13 jika benar keadaan tersebut berlaku.

Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa turut bersuara dalam isu berkenaan dengan meminta Kit Siang dan Pengerusi DAP, Karpal Singh membuat pengumuman secara terbuka supaya semua ahli Pas tahu pendirian mereka terhadap tiga perkara utama yang menjadi dasar perjuangan Pas sebelum meneruskan hasrat menggunakan lambang parti tersebut,

Dalam pada itu, Abdul Hadi menyifatkan Nasharudin sebagai seorang ahli Pas biasa yang tidak mengikuti perkembangan mengenai isu penggunaan lambang parti tersebut oleh DAP.

"Dia lama tidak hadir mesyuarat, tidak ikut perkembangan. Kita anggap beliau seorang ahli biasa yang tidak ikut perkembangan," katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi mendakwa, pakatan pembangkang telah memuktamadkan 99 peratus senarai calon yang akan bertanding pada PRU-13. –Utusan Online

Saturday, March 23, 2013

KESILAPAN CEC, ROS DIGESA TIDAK BERLEMBUT TERHADAP DAP

KUALA LUMPUR - Pendaftar Pertubuhan (ROS) digesa tidak lagi menggunakan pendekatan berlembut terhadap DAP, sebaliknya mengambil tindakan tegas ekoran kegagalan pemimpinnya memberi kerjasama dalam siasatan berhubung kesilapan yang berlaku ketika pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu.

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim menegaskan, ROS perlu adil bertindak mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Menurut beliau, DAP tidak boleh dikecualikan daripada dikenakan tindakan undang-undang termasuk pembatalan pendaftaran jika didapati melakukan kesalahan di bawah akta tersebut.

"Perkara ini bukan luar biasa. Kita pernah menyaksikan UMNO diisytiharkan sebagai sebuah pertubuhan tidak sah kerana tidak mematuhi Akta Pertubuhan 1966 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Februari 1988.
"Jika UMNO boleh diharamkan atas dasar kesilapan teknikal, mengapa tidak DAP? Kenapa kita mesti takut dengan DAP," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman  berhubung kesukaran dihadapi ROS untuk menyelesaikan siasatan berikutan tidak mendapat kerjasama daripada pemimpin tertinggi DAP.

Abdul Rahman memberitahu, pihaknya telah menghantar notis memanggil seorang pemimpin tertinggi DAP ke pejabat ROS untuk memberi keterangan bagaimanapun beliau memberi pelbagai alasan seperti tiada masa.-Utusan Online

KD: Yang salah, tetap salah... jangan pula cuba mengakkan benang yang basah.