Wednesday, August 21, 2013

PTPTN: PEMUDA UMNO TOLAK SISTEM CCRIS

KUALA LUMPUR - Pergerakan Pemuda UMNO tidak bersetuju dengan langkah kerajaan menyenaraihitamkan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal membayar balik pinjaman di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).
 
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, sepatutnya kerajaan mengguna pakai segala mekanisme kutipan serta tindakan sedia ada ke atas peminjam-peminjam yang enggan melunaskan hutang PTPTN mereka dan bukannya menyenaraihitamkan.

Malah, beliau berkata, keutamaan hendaklah diberi kepada tindakan bersepadu dengan mengambil kira pemberian insentif bayaran balik serta kaedah pembayaran anjal berasaskan kepada situasi semasa peminjam.

''Pinjaman PTPTN amat berbeza dengan hutang kad kredit atau kenderaan kerana tidak tergolong dalam pinjaman berasaskan pilihan peribadi,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh bahawa bermula Ogos ini, lebih 400,000 peminjam (PTPTN) yang gagal membayar balik pinjaman mereka akan disekat daripada melakukan sebarang pinjaman dari mana-mana institusi kewangan di negara ini.

Khairy berkata, harus diakui bahawa pinjaman PTPTN bersifat keperluan memandangkan kerajaan tidak menawarkan pendidikan percuma sepenuhnya di institusi pengajian tinggi.

''Keperluan memiliki kelulusan sama ada diploma mahupun ijazah (pada masa ini) adalah penting bagi pembangunan kerjaya dan intelektual seseorang anak muda,'' ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, bilangan peminjam tegar yang tidak melunaskan sebarang pembayaran balik adalah kecil.

''(Oleh itu) tindakan penyenaraian hitam sebegini boleh memberi tanggapan negatif kepada segala gerak kerja PTPTN di dalam memastikan anak muda yang ingin melanjutkan pengajian mereka ke peringkat tinggi dibantu,'' katanya lagi. - Utusan Online

PTPTN: KABINET TOLAK CADANGAN SENARAIKAN DALAM CCRIS

KUALA LUMPUR - Kabinet hari ini membuat keputusan menolak cadangan untuk menyenaraikan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam Sistem Rujukan Maklumat Kredit Berpusat (CCRIS).
Menteri Belia dan Sukan yang juga Ketua pemuda UMNO, Khairy Jamaludin dalam entri terbaru Facebooknya turut berkongsi makluman itu.- Utusan Online

Monday, August 19, 2013

KES JENAYAH JALANAN: PDRM PERLU TINGKAT RISIKAN - MUSA HASSAN

Musa Hassan KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu meningkatkan tindakan risikan untuk mengekang kes jenayah jalanan terutama membabitkan senjata api yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini, kata bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Katanya semua jabatan dan peringkat dalam PDRM perlu mengukuhkan tenaga untuk meningkatkan risikan terutama di kawasan yang disyaki menjalankan kegiatan haram selain tegas dalam sebarang tindakan.

Beliau berkata keselamatan negara ketika ini agak mencabar kerana hampir setiap hari terdapat kes pembunuhan menggunakan senjata api dilaporkan dan jika tidak diatasi, boleh menggugat keamanan dan keselamatan negara.

"Orang awam sekarang berasa tak selamat sebab hari-hari dengar berita orang kena tembak..kena bunuh, jadi ini akan jadi satu dilema kepada masyarakat," katanya ketika ditemui pada majlis sambutan rumah terbuka Aidilfitri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Seri Kembangan dekat sini hari ini.

Musa berkata jenayah jalanan meningkat kebelakangan ini perlu dibendung segera bagi mengembalikan semula keyakinan orang ramai terhadap kemampuan pihak berkuasa menjaga keamanan negara. – Bernama


Sumber: Sinar Harian
KRISIS MESIR: TIBA MASA MALAYSIA NYATAKAN PANDANGAN

SHAH ALAM –  Keganasan tentera Mesir terhadap rakyatnya perlu dibincangkan secara serius melalui sidang khas Parlimen, kata Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bong Mokhtar Radin.

Beliau meminta ia segera diadakan, bersesuaian dengan tuntutan semasa.

“Parlimen hanya akan bersidang pada 23 September depan. Agak terlambat membincangkan isu ini jika menunggu persidangan Parlimen akan datang,” katanya.

Oleh itu, beliau melihat keperluan untuk sidang khas Parlimen itu diadakan segera.

"Sehari suntuk memadai bagi membincangkan perkara ini," katanya.
 
Menurut Bong Mokhtar, Malaysia perlu menyatakan pandangan lebih tegas, meskipun sebelum ini telah menyatakan pendirian menolak keganasan oleh kerajaan sementara Mesir.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga perlu digesa bertindak dalam menamatkan segera konflik yang berlaku di Mesir, katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru pihak berkuasa Mesir menjalankan sekatan dengan serta-merta bagi menghentikan keganasan di negara itu.

Melalui laman sosial Twetter, Najib berkata: "Kami terganggu denganlaporan keganasan terhadap penunjuk perasaan di Mesir dan menyeru pihak berkuasa untuk menjalankan sekatan.

"Mana-mana korban awam adalah amat dikesali. Justeru, kami menggesa semua pihak menghentikan permusuhan dengan serta-merta dan bekerja ke arah penyelesaian yang aman,” katanya.

Malaysia, melalui Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman telah melahirkan kebimbangan terhadap keadaan di Mesir itu.

Anifah dilaporkan berkata, Kuala Lumpur berharap Kaherah dapat menyelesaikan ketidakstabilan politik itu secara aman, sekali gus membolehkan proses demokrasi dikembalikan semula.

Berbeza pula dengan Ahli Parlimen Ledang, Datuk Hamim Samuri yang berpendapat pendirian Malaysia sebelum ini sudah memadai, tanpa perlu diadakan sidang khas Parlimen.


Ini, kerana katanya, pendirian Malaysia dalam isu ini telah dinyatakan dengan tegas oleh perdana menteri yang mengutuk sebarang keganasan. – Sinar Harian
PEMBUNUHAN DI MESIR SEJARAH HITAM UMAT ISLAM

KOTA BHARU - Lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini menyertai masyarakat antarabangsa membidas kekejaman pasukan keselamatan Mesir terhadap penyokong bekas Presiden Mohammed Mursi.

Lima NGO terbabit ialah Persatuan Kebajikan Alumni Timur Tengah, Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan Nilam Puri dan Kolej Islam Sultan Ismail Petra (ATTYKK), Alumni Keluarga Pelajar Kelantan Mesir, Majlis Pengetua SMU (A) Bantuan Kerajaan Kelantan, Persidangan Pengetua Maahad Kerajaan Negeri Kelantan dan Persatuan Guru-Guru Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Kelantan.

Wakil NGO terbabit, Safei @ Suhaimi Sulaiman berkata, kekejaman yang berlaku di Mesir merupakan sejarah hitam umat Islam di negara itu.

"Peristiwa pembunuhan kejam terhadap umat Islam Mesir yang tidak berdosa oleh saudara-saudara mereka sendiri adalah amat dikesali dan amat memalukan bukan sahaja umat Islam tetapi seluruh umat manusia.

"Pihak kami memandang serius peristiwa malang ini dan mengutuk serta mengecam mereka yang bertanggungjawab menyebabkan berlakunya pembunuhan beramai-ramai ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Safei berkata, masyarakat dunia khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab segera bertindak mengelak pertubuhan darah lebih besar berlaku di Mesir.

Beliau berkata, pihaknya turut mendoakan agar rakyat Mesir memperoleh jalan keluar ke arah kedamaian dengan sebaik mungkin.


"Kita juga berdoa semoga pelajar-pelajar Malaysia yang berada di Mesir sentiasa dalam keadaan selamat dan berharap kerajaan sentiasa mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menjamin keselamatan pelajar kita di sana," katanya. – BERNAMA/Utusan Online