Monday, December 30, 2013

GST: PENIAGA TUNGGU DAN LIHAT

GSTKUALA LUMPUR - Ramai kalangan perniagaan di Malaysia mengambil sikap 'Tunggu dan Lihat' dalam persiapan mereka menghadapi pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015.

Pengarah Eksekutif bagi Percukaian Crowe Horwath Malaysia, Fennie Lim berkata, sektor perniagaan perlu mengetahui kedudukan mereka memandangkan GST bukan semata-mata isu percukaian dan kewangan.

"Ia memberi kesan kepada semua bahagian operasi perniagaan, bermula daripada sistem teknologi maklumat, perolehan, jualan dan pemasaran, jabatan penetapan harga, hubungan dengan pembekal, hubungan dengan pelanggan, sehinggalah kepada aliran tunai.

"Kesemua mereka mesti mengetahui mengenai GST dan kesannya ke atas peniagaan mereka dalam tempoh peralihan ini," katanya kepada Bernama.

Crowe Horwath Malaysia ialah firma perakaunan kelima terbesar di negara ini dan merupakan ahli Crowe Horwath International, rangkaian 10 firma perakaunan global terkemuka dunia.

"Enam belas bulan dari sekarang bukan merupakan tempoh yang panjang untuk membuat persediaan perlu. Sekarang adalah masa yang sangat baik untuk memulakan perancangan," kata Lim.

Beliau mencadangkan semua jabatan dalam syarikat supaya membuat senarai semak dan menilai tahap pengetahuan mereka tentang GST dan bagaimana ia akan memberi kesan terhadap harga masing-masing.

"Mereka kemudiannya boleh membuat semakan menggunakan sistem perakaunan untuk menentukan sama ada semua maklumat dirakam.

"Memang senang untuk membuat silap jika mereka semata-mata bergantung kepada tenaga manusia," katanya.

Sementara itu, Eksekutif GST Crowe Horwath Australia Chan Wai Choong berkata, perkara terbaik yang boleh dilakukan oleh sektor perniagaan dalam melaksanakan GST ialah membuat perancangan awal dan menggunakan kaedah berstruktur.

"Senaraikan aktiviti yang perlu dilakukan, secepat yang boleh. Dari situ anda boleh melaksanakan rancangan itu dan bersedia untuk percubaan. Ada pepatah mengatakan jika anda gagal merancang, anda merancang untuk gagal," kata Chan.

Crowe Horwath Malaysia kini membantu kebanyakan pelanggan untuk melakukan kajian pelaksanaan praGST bagi menentukan kesan GST ke atas aliran tunai dan harga mereka.

"Kami melakukan analisis transaksi, dan dari sini kami akan dapat melihat kedudukan dan sejauh mana mereka sudah bersedia melaksanakan GST.

"Kami juga akan mengkaji perkara yang mereka perlu masukan, jenis sistem dan banyak penambahbaikan perlu untuk memastikan mereka bersedia.

Ini akan menjadi asas yang baik jika mereka mahu membuat sebarang pelarasan harga, kata Lim.

Beliau berkata banyak pelanggan dan bukan pelanggan telah mengikuti sesi taklimat, latihan dan seminar.

"Kami menerima banyak pertanyaan, mereka berminat untuk mengetahui lebih lanjut. Kebanyakan perniagaan bersikap positif selepas memahami GST memandangkan mereka boleh menuntut cukai input," kata Lim.

Sumber: Bernama/Sinar Harian


NGO GESA HIMPUNAN ‘GULING KERAJAAN’ DIHALANG

SHAH ALAM - Bantahan dan laporan polis mendesak pihak berkuasa menghalang perhimpunan guling kerajaan esok masih berterusan.

Rata-rata daripada mereka tidak bersetuju himpunan diadakan kerana boleh menjejaskan keamanan di dalam negara.

DI PAHANG, Perkasa negeri berkumpul di Jalan Mahkota menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengenakan tindakan undang-undang terhadap individu yang bertanggungjawab menganjurkan perhimpunan itu.

Menurutnya, negara aman damai tanpa kekacauan, maka perhimpunan seperti itu tidak perlu kerana boleh mengganggu rutin harian rakyat.

NGO terlibat termasuk Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Pahang, Perkasa Pahang, Badan Kebajikan Kemanusiaan Beserah dan Sungai Karang (Bakkis), Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) cawangan Kuantan, Persatuan Nelayan Kuantan dan Persatuan Belia Kuantan.

Lapan wakil NGO terlibat kemudian membuat laporan di Pondok Polis Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan.

Di MELAKA, sebanyak 11 pertubuhan masing-masing membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah bagi membantah perhimpunan berkenaan.

Pertubuhan terlibat adalah Umno Kota Melaka, Pemuda Kota Melaka, Wanita Kota Melaka, Pesaka negeri, Persatuan Kontraktor negeri, MAYC Kota Melaka, Belia 4B Kota Melaka dan Koperasi Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Berhad.

Turut serta, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Perigi Hang Tuah dan Pengkalan Rama, serta Persatuan Kompang Ezhar Melaka Tengah.

Lebih 50 orang berkumpul di luar balai polis kira-kira 10 pagi sebelum setiap seoarang wakil pertubuhan membuat laporan. 

Laporan polis turut dibuat empat pertubuhan di Kampung Ayer Merbau dalam Dun Merlimau, Jasin.

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)  Ayer Merbau bersama Puteri Umno Cawangan Ayer Merbau,  Persatuan Penduduk dan Umno cawangan terbabit serta Barisan Kemajuan India Semalaysia (IPF) Jasin turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin, kira-kira 3 petang semalam.

DI SABAH, Polis Tawau menerima 18 laporan bantahan perhimpunan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Awang Besar Dullah memberitahu, pihaknya menerima lima laporan daripada kira-kira 100 anggota Umno bahagian Kalabakan diketuai Naib Ketua bahagian Ismail Ayid.

Turut membuat laporan polis ialah Persatuan Kebudayaan Suluk-Bajau Tawau Sabah yang diketuai Presidennya Datu Lukman Datu Shabuddin, Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Sabah diketuai Pengerusinya Sardiansah Sende, Kelab Penyokong Barisan Nasional Tawau diketuai Ardi Arsah dan Kelab Penyokong Najib Razak diketuai Azizul Tandek.

DI SEREMBAN, Presiden Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Senator Datuk Syed Ibrahim Kader berkata, setakat ini, tidak kurang 25 laporan polis telah dibuat Kimma di seluruh negara sebagai tanda bantahan terhadap perhimpunan haram tersebut.

Katanya, Kimma tidak akan memberi muka kepada mana-mana ahli yang didapati terlibat dengan perhimpunan berkenaan.

Katanya, kerajaan perlu mencontohi tindakan cepat dan tegas Singapura terhadap kejadian rusuhan di Little India pada 8 Disember lalu apabila semua yang terlibat dikenakan tindakan undang-undang.

“Kerajaan selalu beri amaran, tapi cukuplah. Sebaiknya kita terus mengambil tindakan tegas. Buat sesuatu dengan menangkap dan membawa mereka ke mahkamah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Pelajar India Muslim sesi 2014 di Pejabat Perhubungan Umno Negeri Sembilan, di sini, semalam.

DI KEDAH, Bekas Exco Pemuda Pas Kedah, Zainon Ismail berkata, Pembangkang perlu menjadikan insiden hura-hara di Thailand sebagai teladan sebelum mengadakan himpunan yang didakwa untuk menggulingkan kerajaan pada 31 Disember ini.

“Kita lihat apa berlaku di Thailand apabila pasukan baju merah menentang pasukan baju kuning. Beberapa lama kemudian, pasukan baju kuning pula cuba menjatuhkan pasukan baju merah.

“Sejak tahun 2004 keadaan di Thailand belum tenang. Apakah rakyat Malaysia mahu berlaku seperti itu?” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyertai demonstrasi aman bersama 15 NGO di dataran hadapan Masjid Zahir, Alor Setar, yang membantah himpunan itu, semalam.

Sumber: Sinar Harian

HARGA MINUMAN DIJANGKA LEBIH MAHAL
PETALING JAYA: Kenaikan harga dalam banyak perkara mengakibatkan masalah besar kepada premis makanan yang mungkin akan menaikkan harga mereka.

Terbaru apabila terdapat pengumuman kenaikan harga daripada pembuat ais.

Jika kedai-kedai makan mahu menaikkan harga minuman, maka mereka kini mungkin menemui alasan yang terbaik.

Sejak Rabu lalu, harga satu blok 50 kilogram (kg) ais akan dinaikkan sebanyak RM2.50, manakala kos bagi 10kg tiub ais akan menigkat kos 50 sen lagi.

Bergantung kepada lokasi, satu blok 50kg kini dijual pada kira-kira RM10, manakala beg ais tiub boleh didapati pada harga sekitar RM3.

Perkara ini berikutan satu pengumuman oleh Tube Ice Manufacturers Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya pada Selasa.

Seramai 26 anggota persatuan itu termasuk Atlas Edible Ice Sdn Bhd, merupakan pembekal utama di kebanyakan negeri.

Penjual makanan telah pun mengalami penarikan balik subsidi gula dan kenaikan kos pengangkutan yang dibawa oleh subsidi bahan api yang lebih rendah.

Presiden Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia, Datuk R. Ramalingam Pillai berkata, pembekal ais mahu meningkatkan harga ais ke seluruh negara kerana kebanyakan mereka merupakan adalah untuk kesemua tempat dan ini bermakna keuntungan restoran akan meningkat.

Presiden Persatuan Penjaja Pulau Pinang, Ooi Thean Huat berkata, ahli-ahlinya tidak lagi dapat menampung kesemua kenaikan harga.

"Tetapi jika kita menaikkan harga, ia akan menjadi peningkatan yang kecil," kata Ooi.

Pengerusi Perniagaan Kecil-Kecilan Johor Bahru, Chin Yoke Weng berkata, anggota persatuan akan mengekalkan harga minuman walaupun kenaikan harga ais tetapi Timbalan Presiden Pengguna Bumiputera Johor, Norizan Tarmeze berkata, beliau menjangkakan banyak restoran akan menaikkan harga minuman.

Di Pulau Pinang, Pengerusi Persatuan Koo Soo Kwong Choon Tong Restaurant dan Tea-House , Vinah Yee Yook Chee berkata, pembekal telah memaklumkan kepada persatuan itu peningkatan yang akan berlaku.

"Mereka memberitahu kami bahawa mereka tidak mempunyai pilihan tetapi perlu menaikkan harga disebabkan kenaikan harga elektrik dan bahan api. Kami tidak mampu untuk berbuat apa-apa kerana pembekal perlu berniaga juga bagi mendapatkan keuntungan," katanya.

Sumber: mStar

Friday, December 27, 2013

HIMPUNAN TURUN ADA KAITAN DENGAN PAS
 
PAS dan PKR mendakwa kononnya parti itu tidak terbabit dalam pengajuran perhimpunan haram yang dirancang di ibu negara, 31 Disember ini.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu atau Mat Sabu menjelaskan, mereka akan menggunakan cara demokrasi untuk menjatuhkan kerajaan bukannya melalui perhimpunan guling kerajaan yang dirancang pihak tertentu di Dataran Merdeka pada malam tahun baru ini.

Manakala, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, rancangan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN) di tempat dan masa sama juga tiada kaitan dengan parti itu dan pakatan rakyat.

Cuma kata ahli Parlimen Pandan itu, tidak salah untuk rakyat termasuk pemimpin pakatan berkenaan menyertai perhimpunan yang dirancang terebut.

“Saya sokong… itu hak mereka dan ia perkara wajar,” katanya dalam sidang media, Khamis.

Malah katanya, bukan suatu kesalahan juga untuknya dan pemimpin pembangkang lain menyertai perhimpunan yang sama.

“Kalau ada masa, saya juga akan turut serta dan kami tidak melihat perhimpunan berkenaan sebagai suatu program atau rancangan politik,” katanya.

Seperti biasa, DAP hanya berdiam diri dan jarang menonjol dalam apa juga perhimpunan sebelum ini termasuk siri himpunan Bersih.

Selalunya, pemimpin PAS dan PKR lebih kehadapan dalam rancangan yang berselindung disebalik NGO tertentu.

Jika benar seperti kata Mat Sabu dan Rafizi, bahawa parti itu dan pakatan pembangkang tidak terlibat ianya sesuatu yang bagus.

Elok juga mereka atau pakatan rakyat keluarkan kenyataan bersama mengenai pendirian PAS, PKR dan DAP berhubung dua perhimpunan itu termasuk yang menghasut rakyat menggulingkan kerajaan.

Mat Sabu juga kena nafikan bahawa Azan Safar yang mengetuai rancangan TURUN tiada kaitan dengan PAS.

Beliau kena jelaskan kenapa Azan yang sudah ditahan polis sebelum ini kerap berada dalam majlis-majlis anjuran PAS.

Bnbbc.my pada Khamis sudah menyiarkan gambar Azan bersama pemimpin PAS dan banyak lagi gambar-gambar lain boleh menunjukkan beliau ada kaitan dengan PAS.

Mengenai Himpunan Guling Kerajaan pula, walaupun dalangnya masih sembunyi tangan, mereka ini lambat laun akan muncul jika himpunan itu jadi kenyataan.

Sindrom penafian ini sudah jadi darah daging pemimpin pembangkang tetapi bangkai gajah mustahil boleh dituutp dengan nyiru.

Manakala polis pula, dengan pimpinan baru termasuk menterinya perlu berbuat sesuatu terhadap lebih 400 aduan yang sudah dibuat di seluruh negara oleh pihak yang menentang perhimpunan haram itu.

Cukup-cukuplah pihak berkuasa berlembut dan tidak guna gubal undang-undang jika mereka yang jadi dalang bebas merancang perbuatan yang boleh menyukar rutin harian warga kota dan mereka yang mahu menyambut tahun baru dengan aman di Dataran Merdeka. 

Sumber: http://www.bnbbc.my/
MTUC SARAN ELAUN SARA HIDUP PEKERJA SWASTA RM300 SEBULAN

PETALING JAYA - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)  hari ini mencadangkan elaun sara hidup (Cola) RM300 sebulan diberi kepada 10 juta pekerja sektor swasta memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Presiden MTUC, Khalid Atan memberitahu Bernama adalah penting bagi kerajaan untuk memperkenalkan peraturan tentang Cola itu kepada sektor swasta kerana hampir lima juta pekerja di sektor itu kini memperoleh upah hanya kira-kira RM30 sehari, iaitu setakat melepasi garis kemiskinan RM870 sebulan.

Pada masa ini gaji minimum pekerja di Semenanjung ditetapkan RM900 dan bagi pekerja di Sabah dan Sarawak RM800.

Khalid berkata, MTUC sedang merangka strategi untuk membantu meringankan beban pekerja.

Dalam tempoh sementara ini beliau mencadangkan agar syarikat membantu menyediakan subsidi makanan dan penginapan untuk pekerja, dan pekerja pula akan membantu syarikat meningkatkan produktiviti, untuk menjadikan situasi menang-menang.

Khalid berkata, MTUC amat bimbang tentang kesan serta-merta peningkatan kos pengangkutan, makanan dan persekolahan terutama bagi kumpulan pekerja berpendapatan rendah.

Beliau memberi jaminan, MTUC sebagai pertubuhan pekerja yang bertanggungjawab, tidak akan melakukan demonstrasi jalanan menuntut hak mereka, tetapi lebih suka kepada rundingan aman. – Bernama

Sumber: Sinar Harian