Sumber: kedahan69ers.com
|
KOTA BHARU: Dewan Ulama PAS menyifatkan isu
kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar berhubung
kebebasan beragama sebagai kecil dan remeh serta tidak perlu diperbahaskan.
Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Harun Taib
berkata pemimpin PKR itu tidak perlu bertaubat kerana beliau bukan melakukan
kesalahan besar.
"Isu Nurul Izzah bukanlah besar, tak ada masa
saya nak bahaskan isu itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan
Muktamar Dewan Ulama PAS ke-51, di sini, Khamis.
Sebelum itu, beliau ditanya laporan akhbar berhubung
kenyataan beberapa pemimpin termasuk bekas Timbalan Presiden PAS Nasharuddin
Mat Isa supaya Nurul Izzah bertaubat ekoran kenyataannya yang menimbulkan
kontroversi itu.
Laporan portal berita pro-pembangkang pada 3
November lepas memetik Nurul Izzah sebagai berkata: "Rakyat tidak
seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara ini juga patut terpakai
kepada orang Melayu. "Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam
beragama...bagaimana seseorang itu boleh berkata, maaflah, ini (kebebasan
beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, ia sepatutnya diguna pakai
secara sama rata," katanya pada forum bertajuk "Negara Islam: Versi
Mana; Tanggungjawab Siapa?" di Subang Jaya, Selangor.
Menurutnya, beliau akan tetap menegur kenyataan yang
dikeluarkan oleh pemimpin parti pakatan pembangkang terutama berkaitan agama,
termasuk Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri jika ia ternyata
salah.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kenyataannya
terdahulu bahawa golongan ulama akan terus mendominasikan kepimpinan PAS di
masa akan datang, beliau berkata ini sebagaimana termaktub dalam perlembagaan
parti itu.
Katanya, golongan ulama adalah pewaris Nabi yang
bakal mewarisi kepimpinan gerakan Islam di negara ini.
"Dalam hubungan ini, kita tiada kompromi,
sampai bila pun PAS akan dipimpin oleh golongan ulama sebagaimana terkandung
dalam perlembagaan parti," katanya. Bagaimanapun, beliau mengakui parti
itu juga fleksibel dalam keadaan tertentu, di mana boleh melantik pemimpin
bukan daripada kalangan ulama, seperti Allahyarham Datuk Asri Muda sebagai
Presiden parti pada satu ketika dahulu.
Bagi menangani isu pemimpin ulama yang uzur kerana
faktor usia, Dr Harun berkata ia merupakan salah satu cabaran hebat yang harus
dipikul oleh generasi baharu parti itu.
Mengenai percanggahan pendapat berhubung agama
antara pemimpin PAS dengan pemimpin parti komponen pakatan pembangkang, beliau berkata,
ia tidak menjejaskan hasrat PAS untuk melaksanakan dasar Islam di negara ini.
Katanya, kalau adapun suara-suara sumbang daripada
pemimpin DAP, termasuk Karpal Singh mengenai pembentukan negara Islam, ini
adalah kerana pemimpin DAP masih belum mendapat penjelasan sepenuhnya daripada
PAS.
Sebaliknya, kata beliau PAS telah bersetuju untuk
melaksanakan dasar Islam, termasuk syariat Islam dan hukum hudud sekiranya
berjaya mentadbir negara. –BERNAMA/MStar
No comments:
Post a Comment