KUALA
LUMPUR: Pencerobohan militan Filipina di Lahad Datu, Sabah tidak boleh
disamakan dengan insiden berdarah kumpulan pemberontak Al-Maunah di Bukit
Jenalik, Sauk, Perak, pada Julai 2000, kata bekas Panglima Medan Tentera Darat,
Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Zaini Mohd Said.
Beliau
berkata, militan Al-Maunah mengisyitharkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong
manakala militan Filipina yang mendakwa sebagai Tentera Kesultanan Sulu datang
untuk menuntut negeri Sabah.
Zaini, yang
terbabit dalam operasi menumpaskan kumpulan Al-Maunah, berkata situasi dan
motif kedua-dua kumpulan militan adalah berbeza yang mana anggota Al-Maunah
adalah rakyat tempatan manakala militan Filipina adalah warga asing.
Militan
Al-Maunah bercadang menjatuhkan kerajaan Malaysia melalui huru hara manakala
kumpulan bersenjata Filipina di Sabah menceroboh dengan menggunakan tindakan
kekerasan, katanya kepada pemberita di sini, Khamis.
Zaini
berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas Panglima Tentera Darat Malaysia,
Jeneral (B) Tan Sri Md Hashim Hussein dalam portal berita online 'Malaysiakini'
yang mendakwa pihak keselamatan mengambil masa empat hari sahaja dalam menumpas
kumpulan Al-Ma'unah berbanding dengan kejadian pencerobohan di Lahad Datu.
Sementara
itu, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan pula mempertahankan tindakan
pasukan keselamatan negara dalam menangani krisis pencerobohan di Sabah dan
menyifatkan tindakan yang diambil adalah tepat dan wajar.
Beliau
berkata kerajaan tidak bertindak secara terburu-buru malah telah mengambil
pendekatan mengelak pertumpahan berdarah menerusi usaha rundingan dengan
kumpulan penceroboh bersenjata bagi mencapai penyelesaian secara aman.
Bagaimanapun,
beliau berkata kumpulan militan dari selatan Filipina itu memilih untuk mencetuskan
pertempuran sehingga mengorbankan lapan anggota keselamatan negara.
Musa juga
menyeru semua pihak ternmasuk ahli politik supaya memberi sokongan kepada
pasukan keselamatan negara yang menjaga kententeraman dan membanteras kumpulan
penceroboh di Sabah.
"Saya
harap jangan keluarkan kenyataan atau komen negatif yang boleh menjatuhkan
semangat anggota pasukan keselamatan negara," katanya sambil meminta
rakyat yakin dengan kemampuan pasukan keselamatan negara.
Sementara
itu, bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),
Leftenan Jeneral (B) Datuk Mohd Salleh Ismail, yang turut bersetuju dengan
Musa, berkata rakyat tidak sepatutnya mempersoalkan tindakan pasukan
keselamatan untuk melindungi kedaulatan negara.
"Kita
sebagai rakyat sebuah negara perlu menunjukkan semangat bersatu padu dan sokong
pasukan keselamatan. Ini satu ujian kepada rakyat untuk membuktikan semangat
cintakan negara," katanya.
Mohd Salleh
juga melahirkan keyakinan bahawa pasukan keselamatan negara dapat menangani
insiden pencerobohan itu berdasarkan pengalaman dan kejayaan menumpaskan
komunis pada satu masa dahulu. BERNAMA/mStar
No comments:
Post a Comment