Showing posts with label Ops Daulat. Show all posts
Showing posts with label Ops Daulat. Show all posts

Tuesday, March 26, 2013

OPS DAULAT: ESSZONE MULA BERKUAT KUASA

Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) 
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan pewujudan  (ESSZONE) berkuat kuasa semalam meliputi 10 daerah sebagai asas perundangan kepada Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) yang ditubuhkan sebelum ini.

Ia membabitkan daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. Ia mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan Ordinan Pemeliharaan Keselamatan Awam 1962.

Pengisytiharan ESSZONE diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada upacara perbarisan peringatan Hari Polis Ke-206 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, semalam.

Beliau berkata, ia ditadbir Jawatankuasa Zon Selamat Timur Sabah ditubuhkan mengikut Peraturan-Peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013 yang digubal Menteri Dalam Negeri dan dipengerusikan Ketua Menteri Sabah dengan dibantu seorang Ketua Pegawai Eksekutif.

Bukan isytihar darurat

Katanya, jawatankuasa yang beribu pejabat di Lahad Datu akan bertanggungjawab kepada satu Jawatankuasa Pemantau yang dipengerusikan beliau selaku ketua kerajaan.

Katanya, penubuhan ESSZONE bertujuan memelihara hak demokratik serta proses demokrasi untuk penduduk Sabah, mengukuhkan keselamatan dan ketenteraman awam serta kesejahteraan di timur negeri itu.

“Dengan penubuhan Jawatankuasa ESSZONE ini, kerajaan mengambil pendekatan holistik dan bukan pendekatan ketenteraan semata-mata bagi melindungi kawasan timur Sabah, seterusnya mencari penyelesaian kepada punca pencerobohan.

“Ia bukan pengisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Ia tidak sekali-kali akan menghalang proses pilihan raya yang bebas, telus dan demokratik. Oleh itu, rakyat di kawasan timur Sabah jangan gusar dan takut keluar mengundi serta menggunakan hak mereka mengikut Perlembagaan,” katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa peraturan diwujudkan di bawah ordinan itu tidak memberikan kuasa tambahan kepada polis kerana kuasa sedia ada sudah memadai menangani situasi berkenaan.

Kesejahteraan hidup

Di samping itu, sesiapa yang berpendapat haknya terjejas boleh membawa kerajaan ke mahkamah menerusi proses perundangan. Namun, pengisytiharan itu tidak jejaskan kehidupan rakyat, sebaliknya peningkatan kawalan keselamatan bertujuan memastikan kesejahteraan hidup rakyat.

Beliau turut menjelaskan bahawa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang digunakan untuk menjalankan penyiasatan dan tangkapan dalam semua kes membabitkan pengganas di Sabah ketika ini ialah akta membabitkan prosedur semata-mata.

“Ia tidak digubal sebagai akta memberikan kuasa mengisytiharkan kawasan keselamatan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960. Bagi setiap tangkapan di bawah SOSMA, pertuduhan dibuat menggunakan undang-undang biasa dan dibicara di mahkamah seperti kes jenayah lain,” katanya.

ESSCOMM diwujudkan berikutan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu pada 12 Februari lalu. Ops Daulat yang dilancarkan pada 5 Mac lalu, berjaya membunuh 67 pengganas setakat ini. - BHarian

Monday, March 18, 2013

OPS DAULAT: RAKYAT TETAP TERHUTANG BUDI KEPADA PASUKAN KESELAMATAN, KATA DR M

LAHAD DATU — Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yakin rakyat tetap terhutang budi kepada pasukan keselamatan meskipun dimanipulasi pembangkang kononnya krisis pencerobohan pengganas di sini adalah satu sandiwara.

Beliau berkat,a rakyat tidak termakan propaganda pembangkang untuk memperkecil pasukan keselamatan kerana hakikinya, sudah sembilan nyawa terkorban, dan seorang anggota tentera maut dalam kemalangan ketika menyertai konvoi Operasi Daulat.

“Saya yakin rakyat terhutang budi dan yakin dengan semangat pasukan keselamatan kita. Ini sikap rakyat Malaysia apabila menghadapi keadaan ini, dan akan bersatu dalam mempertahan negara.

 “Walau ada parti politik cuba pecahkan, tetapi rakyat terus sokong pasukan keselamatan,” katanya ketika berucap di Dewan Semai Bakti, Desa Kencana, Felda Sahabat semalam.

Dr Mahathir turut beramah mesra dan bertanya khabar dengan 200 anggota pasukan keselamatan di dewan berkenaan.

Beliau juga berharap semua rakyat, terutama di Sabah, memberi penghargaan tinggi kepada pasukan keselamatan yang bertungkus-lumus mempertahan kedaulatan negara daripada ancaman luar.

Masyarakat Sulu di Sabah juga turut menolak tindakan pengganas itu, walaupun mereka adalah sebangsa, katanya.

Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata Malaysia harus mempertingkat kekuatan pertahanan negara tanpa perlu bergantung kepada mana-mana pihak.

Beliau juga yakin pentadbiran di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan berusaha mempertingkat pertahanan negara mengikut kesesuaian muka bumi Sabah, dan tidak akan membenarkan serangan pengganas berlaku lagi pada masa depan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan yang berkorban nyawa mempertahankan negara,” katanya. — Bernama /www.themalaysianinsider.com

KD: Terima kasih perwira negara..

Thursday, March 14, 2013

OPS DAULAT: SEMANGAT TINGGI PERTAHAN KESELAMATAN

KUALA LUMPUR: Moral serta semangat pasukan keselamatan Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia tetap tinggi untuk mempertahankan keselamatan negara terutamanya buat penduduk di Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata, PDRM akan membuat penambahan anggotanya di beberapa balai polis yang terletak di pesisiran pantai timur di negeri tersebut.

"Apabila saya tanya tentang semangat mereka (anggota keselamatan), mereka menunjukkan komitmen yang tinggi untuk meneruskan operasi mengesan dan menjejaki musuh di sini.

"Kita akan buat penambahan anggota daripada jabatan lain untuk sementara waktu sehingga penambahan kekal dapat dilaksanakan.

Ini penting bagi memberikan keyakinan kepada masyarakat bahawa mereka adalah selamat," katanya ketika ditemu bual menerusi program Malaysia Hari Ini (MHI) TV3, yang disiar secara langsung pagi ini.

Sehingga kini, 10 anggota keselamatan gugur dalam insiden pencerobohan pengganas Sulu manakala 56 musuh ditembak mati.— HMetro

OPS DAULAT: “KAMI BERTEMPUR DENGAN PENGGANAS SEBENAR, BUKAN SANDIWARA" — JENERAL ZULKIFLI

PASIR MAS - Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin menegaskan, pasukan keselamatan bertempur dengan pengganas sebenar dan bukan satu sandiwara sebagaimana yang dicanangkan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Saya tidak faham jika orang kata sandiwara. Nyawa dipertaruhkan... kami menghadapi musuh sebenar dan bukan lakonan.

“Dua anggota tentera dan lapan anggota polis terbunuh, adakah itu sandiwara? Tepuk dada tanya selera,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pengkebumian Allahyarham Kpl Ahmad Hurairah Ismail di Kampung Bayu Lalang, di sini, hari ini.

 
Ahmad Hurairah terkorban dalam pertempuran dengan pengganas di Sungai Nyamuk, Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu, Sabah.


Seorang lagi anggota tentera, Kpl Ahmad Farhan Ruslan pula terkorban dalam kemalangan jalan raya di Km 37 Lahad Datu-Tungku ketika menghantar makanan untuk anggota keselamatan dalam operasi itu.


Jenazah Ahmad Farhan dibawa ke rumah ibu bapanya di Perumahan Desa Darulnaim II, Pasir Tumboh. Jenazah Ahmad Farhan dikebumikan mengikut istiadat ketenteraan di Tanah Perkuburan Islam Madrasah Pohon Celagi, Pasir Hor.

Menyifatkan Allahyarham seorang anggota yang berani, Zulkifli berkata siasatan mendapati Ammad Hurairah sempat berbalas tembakan dengan beberapa pengganas sebelum gugur di medan perang.

“ATM akan membantu keluarga Allahyarham, apa saja yang kita mampu,” katanya.

Zulkifli turut menyampaikan sumbangan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Ismail Husin, 55, iaitu ayah kepada Ahmad Hurairah selepas  pengkebumian tersebut.

Sementara itu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang turut hadir pada pengebumian itu meminta rakyat Malaysia bersatu dan menghentikan spekulasi berhubung soal keselamatan negara memandangkan ramai anggota keselamatan gugur ketika berjuang di perbatasan.

“Hentikan sagala tohmahan dan fitnah ini yang akhirnya akan meruntuhkan kita dan kita bertanggungjawab sebagai warganegara yang setia pada negara. Kita tak mahu satu pun suara sumbang yang memberi kata-kata yang menunjukkan kita tidak peka dengan kehibaan (yang dialami keluarga mangsa).

“Kita semua rakyat Malaysia amat terhutang budi dan kita berdoa semoga barisan hadapan akan teruskan perjuangan mereka untuk pastikan negara kita selamat sampai bila-bila,” katanya.

Bekas Panglima Tentera Darat Tan Sri Mohd Sharom Nordin berkata, pengorbanan yang dilakukan oleh Allahyarham mencerminkan sikap taat dan setia kepada negara walaupun nyawa yang menjadi pertaruhannya.

“Kalau ada lagi orang mengatakan ini semua sandiwara, saya tak tahu nak cakap apa... rakyat kita, tentera kita sendiri... hari ini anak Kelantan telah mempertaruhakan nyawa untuk kedaulatan negara.

“Hilangkan syak wasangka, ini satu pengorbanan yang diterima Allah S.W.T.,” katanya. — Bernama/TheMalaysianInsider

KD: Daripada asyik mngutuk atau mencemuh, lebih baik hulurkan sedikit sumbangan kita kepada mereka..