KUALA
LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan rakyat
khususnya orang Melayu supaya bijak menentukan kerajaan dalam pilihan raya umum
ini.
Menurutnya,
walaupun sistem demokrasi 'menawarkan' hak untuk memilih, mereka sewajarnya
mampu membuat perbandingan khususnya parti atau organisasi mana yang
benar-benar bertanggungjawab serta mempertahankan Islam.
"Apakah
orang yang sewenang-wenangnya mengkafirkan orang Melayu patut memerintah
negara? Dahulunya, pihak ini yang berkata bahawa bekerjasama dengan orang kafir
akan menjadikan kita kafir, tetapi kini mereka bukan sahaja bekerjasama, hari
jadi pun sambut di rumah orang bukan Islam.
"Akan
datang, kalau kita silap, kita akan dapat kerajaan yang merosakkan negara dan
agama. Kalimah Allah pun boleh diguna oleh apa jua agama. Apakah kita boleh
terima itu? Kerana kepentingan politik, ketepikan negara Islam dan diganti
dengan negara berkebajikan. Hudud pula ditangguhkan. Ini kerana apa? Ini hanya
undi dan bukannya kerana Islam," katanya.
Beliau
berkata demikian ketika menjadi panel sempena Forum Negara: Membina Peradaban
Bangsa Melayu Berteraskan Tamadun Islam di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen di
sini hari ini.
Forum
anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) itu turut menampilkan dua lagi panel
iaitu bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan pakar wakaf
korporat, Tan Sri Muhammad Ali Hashim.
Dr.
Mahathir berkata, sebagai keutamaan, orang Melayu perlu menaruh harapan kepada
pihak yang telah lama berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
Menurut
beliau, ini berbanding pihak tertentu yang sekadar mahu merebut Putrajaya dan
mendirikan kerajaan semata-mata atau pihak yang hendak menjadi Perdana Menteri.
"Sebab
itu kita tidak boleh mengharapkan mereka untuk kembali kepada perjuangan asal
iaitu demi agama, bangsa dan negara. Kita tak nampak apa mereka boleh buat
untuk kita.
"Namun,
terpulanglah kepada kita. Cuma, kalau kita salah mengundi, kita tidak boleh
salahkan sesiapa," tegasnya.
Dalam
perkembangan lain, beliau ketika bercakap mengenai perpecahan umat Melayu Islam
berkata, perkara itu berpunca daripada sikap tamak selain perbezaan pendapat
dalam hal-hal berkaitan tafsiran agama.
"Waktu
kita miskin, biasanya kita akan rapat sesama kita. Sebab itu, masa British
mencadangkan Malayan Union, kita rasa ini seperti mahu merampas negeri-negeri
Melayu.
"Kita
lupakan perbezaan antara kita dan bersatu sehingga British tunduk. Tetapi
selepas berjaya, terhidang 'peninggalan perang' dan sesama kita mula memikirkan
soal pangkat, nak jadi perdana menteri.
"Semua
nak berebut. Inilah yang membuatkan kita lupa kepada perjuangan asal kita. Kita
pentingkan diri sendiri. Di sini, kita menerima Islam dan fahaman Sunnah Wal
Jamaah. Sepatutnya tidak ada perpecahan kerana fahaman yang sama, tetapi dengan
politik, ada yang mula saling kafir-mengkafir. Kita sengaja melemahkan diri
kita sendiri sehingga tidak lagi majoriti," katanya.
Sementara
itu dalam sesi soal jawab, beliau menafikan dakwaan yang mengaitkannya sebagai
seorang antihadis.
"Itu
tak benar. Saya kata, kita perlu berpegang kepada al-Quran dan hadis-hadis yang
sahih. Saya tekankan kalau hadis itu bertentangan dengan al-Quran, kita perlu
berpandu kepada al-Quran. Sunah kalau kita turut, dapat pahala, kalau tak
turut, tak mengapa. Itu cuma sunat kepada kita sebaliknya yang wajib kita ikut
datangnya daripada al-Quran.
"Ramai
yang mudah terima hadis tetapi menolak al-Quran. Itu sebab ramai yang keliru
dan berpecah," tambahnya. – Utusan Online
No comments:
Post a Comment