Kesedaran anak muda
Kerancakan
perkembangan siasah tanah air lima tahun kebelakangan ini menyuntik kesedaran
tinggi dalam kalangan anak muda untuk memastikan suara mereka didengari secara
rasmi.
Gesaan
pemimpin dan petugas parti politik supaya rakyat menunaikan kewajipan di peti
undi tidak dipandang sepi dan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) bakal
menyaksikan 2.3 juta atau 21.69 peratus pengundi baru daripada keseluruhan
13,291,385 orang yang layak berbuat demikian.
Daftar
pemilih yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat suku keempat
2012 merekodkan 5,564,131 atau hampir 42 peratus adalah pengundi muda berusia
kurang 40 tahun, dengan pecahan 3,024,909 atau 22.76 peratus berusia antara 30
hingga 39 tahun dan baki 19.1 peratus atau 2,539,222 dalam lingkungan 21 hingga
29 tahun.
Kumpulan
umur seterusnya yang paling ramai mengundi ialah golongan lingkungan usia 40-an
iaitu 21.85 peratus, diikuti 50-an (18.39), 60-an (10.73), 70-an (5.24), 80-an
(1.58) dan 90-an yang mewakili 0.35 peratus.
Ke mana
haluan undi generasi muda? Apa pula kecenderungan pengundi baru?
Ahli Majlis
Profesor Negara (MPN), Prof Mohamad Abu Bakar, dalam Wacana Menjelang PRU-13
baru-baru ini, merumuskan sebahagian besar generasi muda memiliki aspirasi
berbeza kerana tidak bergerak di bawah naungan darurat dan perjuangan
kemerdekaan.
Tak menentang atau menyokong
Keadaan
itu, tegasnya, membuatkan mereka sukar disasar dengan peristiwa sejarah dan
perjuangan kebangsaan, malah invokasi berkaitan perlakuan yang melampaui norma
kemanusiaan juga dilihat kurang mempengaruhi aliran pilihan mereka.
Bagaimanapun,
generasi muda yang kerap dirujuk sebagai Gen Y mempunyai perkiraan tersendiri
dalam membuat pilihan. Bising atau diam mereka tidak boleh ditafsir sebagai
menentang atau menyokong secara total kerana ruang interaksi langsung dengan
pemimpin turut mempengaruhi pendirian.
Ringkasnya,
maklumat tanpa sempadan hasil ledakan gerbang maya membolehkan mereka membuat
penilaian dengan mengambil kira kesan langsung jika parti A atau B dijadikan
pilihan.
Keperluan
mereka berbeza mengikut lokasi - bandar, pinggir bandar, luar bandar atau
pedalaman - tetapi asasnya sama merangkumi pendidikan berkualiti, jaminan
pekerjaan bagi kelangsungan hidup, toleransi kaum dan keselamatan persekitaran.
Naluri ingin tahu
Perubahan
pola ini dengan sendirinya menuntut pendekatan berbeza dalam kempen parti
politik bagi meraih sokongan golongan yang mewakili 42 peratus jumlah pengundi
kali ini.
Naluri
ingin tahu Gen Y terutama yang pertama kali layak mengundi, tidak boleh dipandang
mudah kerana keterujaan itu antara yang bakal mencorakkan hala tuju PRU-13.
Mengambil
kira kelompok ini adalah golongan berpendidikan yang peka terhadap perkembangan
semasa, mereka boleh membezakan antara penerangan menyeluruh atau jawapan ala
kadar yang mencerminkan tahap keprihatinan pihak perayu sokongan.
Gembar-gembur
PRU-13 sejak kira-kira dua tahun lalu diikut penuh minat oleh kalangan Gen Y
dan kecairan tahap pemikiran mereka perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Barisan
Nasional (BN), seiring pendekatan inklusif dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak, selama ini.
Sebahagian
besarnya mungkin masih berada dalam kategori `atas pagar’ kerana mahu melihat
calon bertanding dan isu dibangkitkan, namun aspirasi mereka untuk terus
bernaung di bawah payung kesejahteraan seperti sejak hari dilahirkan tidak
harus dinafikan.
Gen Y perlu
terus diyakinkan bahawa pilihan mereka hari ini adalah gambaran masa depan dan
masa depan tidak boleh sebarangan dipertaruhkan.
n Oleh: Veena
Rusli, Berita Harian
No comments:
Post a Comment