PETALING
JAYA: Pakatan pembangkang merangkumi PKR, DAP dan PAS masih gagal mencapai kata
sepakat mengenai pengagihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk
ditandingi pada pilihan raya umum kali ini.
Malah,
sebilangan besar pemimpin kanan pembangkang yang menghadiri mesyuarat Majlis
Pimpinan Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PKR di sini semalam turut mengakui
hakikat itu.
Misalnya,
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditanya mengenai pengagihan
kerusi dalam sidang media semalam, berkata sebahagian sudah diputuskan dan
diumumkan dari semasa ke semasa, manakala bakinya akan dibincangkan dalam
mesyuarat berkenaan.
Kenyataan bercanggah
Kenyataannya
itu bercanggah dengan kenyataan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali kelmarin,
bahawa mesyuarat kepemimpinan tertinggi pakatan pembangkang semalam akan
mengumumkan senarai penuh calon.
Sebaliknya,
mesyuarat tiga jam itu yang berakhir pada kira-kira jam 5 petang tidak mencapai
sebarang keputusan, tetapi menurut Anwar, perbincangan mengenai agihan kerusi
itu akan bersambung hari ini.
Sebaik
sidang akhbar itu berakhir, wakil media menunggu untuk mendapatkan reaksi
beberapa pemimpin pembangkang lain bagi mendapat kepastian.
Seperti
juga Anwar, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, tiada sebarang
keputusan dicapai pada mesyuarat berkenaan dan perbincangan mengenai kerusi
akan diteruskan hari ini.
Isu pengagihan kerusi perlu selesai
Ketua
Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, pula berkata kepemimpinan
tertinggi pembangkang perlu memuktamadkan soal pengagihan kerusi hari ini
kerana ia agenda terpenting menjelang PRU-13.
“Isu
(pengagihan kerusi) perlu diselesaikan esok (hari ini)... kalau tidak selesai
kena selesaikan juga sebelum hari penamaan calon,” katanya.
Setiausaha
Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, berkata tiada keputusan muktamad mengenai calon
diputuskan dalam mesyuarat semalam.
“Belum
selesai, ada sedikit lagi.., petang esok (hari ini) kami ada lagi mesyuarat di sini,”
katanya. -BHarian
No comments:
Post a Comment