KUBANG PASU -
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi mengingatkan
pemimpin dan ahli Barisan Nasional (BN) supaya menjauhi perbuatan cantas
mencantas demi kemenangan parti dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.
Katanya, semua
pihak harus mengambil pengajaran berharga daripada kekalahan banyak calon BN
dalam pilihan raya umum lalu termasuk di Kedah yang berpunca daripada sikap
sedemikian dalam kalangan pemimpin dan ahli parti setelah gagal menjadi calon.
"Jika
kita suka dia kita bagi undi, kalau tidak suka dengan calon itu bukan sahaja
tidak bagi undi tetapi berusaha cantas supaya calon itu tidak menang, jadi
puaslah hati.
"Tetapi
sebenarnya mereka sendiri yang menerima balasan akibat daripada sikap cantas
mencantas itu apabila BN kalah di Kedah dan tidak dapat bentuk kerajaan,"
katanya dalam majlis Bicara Bersama Pemimpin di Bilik Gerakan BN Cawangan Lubuk
Kawah di sini hari ini.
Dr. Mahathir
menambah, sokongan terhadap parti harus diutamakan bukan bergantung pada siapa
yang menjadi calon dalam pilihan raya umum itu demi kelangsungan BN.
"Kita
harus utamakan kemenangan BN, bukan siapa yang jadi calon. Tidak penting siapa
jadi calon kerana kalau dia menang seorang pun tetap tidak boleh bentuk
kerajaan kalau parti kalah," katanya.
Ketika
bercakap kepada pemberita, beliau turut mengingatkan rakyat supaya tidak
terpedaya dengan strategi Pas yang meletakkan calon bukan Islam di kerusi yang
bakal ditandingi mereka.
"Dahulu
menuduh BN berkawan dengan orang kafir, kita juga kafir. Sekarang mereka ambil
orang bukan Islam jadi calon, ini menunjukkan iman mereka tidak kuat,"
katanya.
Menyentuh
permohonan maaf seorang ahli PKR Parlimen Lembah Pantai yang pernah
menggelarnya sebagai Firaun, kata Dr. Mahathir, beliau tidak pernah ambil
peduli pelbagai panggilan yang pernah diberikan kepadanya ketika memimpin
kerajaan selama 22 tahun dahulu.
"Terima
kasih kerana minta maaf daripada saya.”
''Saya
sebenarnya tidak pernah rasa marah apabila orang panggil saya Firaun tetapi
apabila dia minta maaf, maknanya dia sudah insaf tentang tindak tanduk parti
pembangkang, itu lebih penting daripada saya maaf atau tidak," katanya. - Utusan
Online
No comments:
Post a Comment