ALOR SETAR - Selepas berkali-kali cuba melembutkan pergeseran dalam soal penentuan calon, DAP akhirnya memberi kata dua kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) sama ada mengalah atau berdepan pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya umum akan datang.
Timbalan
Pengerusi DAP, Tan Kok Wai berkata, walaupun pertembungan tiga penjuru itu
dianggap pengkhianatan yang tidak harus berlaku dalam pakatan pembangkang namun
beliau tidak menolak kemungkinan tersebut jika PKR enggan mengalah dengan
tuntutan DAP.
Katanya,
DAP mahu PKR menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Bata dalam
Parlimen Alor Setar dan DUN Bakar Arang (Sungai Petani).
Parti itu
juga mahu mengekalkan kerusi DUN Kota Darul Aman yang dimenangi dalam pilihan
raya umum lalu serta DUN Derga yang didakwa Kok Wai telah mendapat persetujuan
PKR.
"Kita
akan tengok macam mana PKR menerima cadangan ini dan kita berharap mereka
menerimanya dengan baik untuk memberi ruang kepada DAP demi semangat parti.
"DAP
sedia bertanding di semua kerusi ini dan jika PKR tidak setuju, kemungkinan
akan wujud pertandingan tiga penjuru," katanya dalam sidang akhbar di sini
hari ini yang turut dihadiri Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik.
Dalam
pilihan raya umum 2008, DAP hanya bertanding di kerusi DUN Kota Darulaman dan
DUN Derga yang menyaksikan persaingan tiga penjuru antara DAP, PKR dan Gerakan
setelah kedua-dua parti pakatan pembangkang itu enggan mengalah.
Sebelum
ini, Pengerusi PKR Kedah, Datuk Wan Salleh Wan Isa merayu Pas melepaskan kerusi
kepada DAP bagi membolehkan mereka turut menyerahkan satu kerusi kepada DAP
namun Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 6 April lepas menegaskan
tidak mahu berbuat demikian.
Penasihat
PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini juga mengumumkan Ketua Biro Perundangan
PKR Kedah, Gooi Hsio Leong sebagai calon Parlimen Alor Setar.
Sementara
itu, Kok Wai berkata, DAP akan meletakkan calon berwibawa dan disenangi
masyarakat setempat di Parlimen Alor Setar.
"Kita
merayu supaya PKR memikirkan semula calon mereka. Calon kami sangat dekat
dengan komuniti di sini," katanya.
Tambah Kok
Wai, DAP akan mengumumkan nama calon-calon di kesemua kerusi tersebut dalam
masa terdekat setelah pembahagian kerusi dimuktamadkan kedua-dua parti.
Sementara
itu, beliau turut mengumumkan Pengerusi DAP Perlis, Teh Seng Chuan sebagai
calon di DUN Titi Tinggi dan Setiausahanya, Ooi Boon Beng di kerusi DUN Indera
Kayangan dalam pilihan raya umum akan datang. –Utusan Online
No comments:
Post a Comment