KUANTAN -
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keperluan mengubah kerajaan seperti
dicanang pembangkang tidak timbul sama sekali kerana Barisan Nasional (BN)
berjaya membawa banyak perubahan dalam tempoh empat tahun lalu untuk
kesejahteraan rakyat.
Menurut
Perdana Menteri, dengan kejayaan itu kepimpinan BN membuktikan perubahan besar
tidak semestinya berlaku dengan pertukaran kerajaan dan perkara tersebut
sepatutnya dinilai rakyat negara ini.
"Kalau
kita tak berjaya bawa perubahan, saya tak berani cakap seperti ini tetapi kita
ada bukti seperti Pusat Transformasi Bandar (UTC), Pusat Transformasi Luar
Bandar (RTC), pertumbuhan ekonomi kita juga lebih tinggi daripada unjuran Bank
Dunia selain Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)1, BR1M 2 telah diberi dan
insya-Allah akan menyusul seterusnya.
"Jadi,
sudah berlaku perubahan di Malaysia, oleh itu tidak timbul sama sekali
keperluan mengubah kerajaan kerana yang penting bukan mengubah kerajaan tetapi
perubahan untuk kesejahteraan rakyat," katanya ketika berucap merasmikan
UTC Pahang di sini hari ini.
Yang turut
hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahli
Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis dan Ketua Setiausaha Negara,
Datuk Seri Dr. Mohd. Ali Hamsa.
Kira-kira
30,000 orang hadir menyaksikan perasmian bangunan UTC Pahang itu yang
melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM37 juta.
Dalam masa
sama, Najib mengajak rakyat menilai bagaimana pembangkang mahu membawa
perubahan seperti dicanang sekiranya masih bercelaru dalam soal seperti calon
pilihan raya yang menyaksikan dua parti mengumumkan calon di kerusi sama.
Katanya,
perubahan itu juga tidak mampu dilakukan pembangkang kerana pakatan antara
mereka ibarat sebuah kapal tetapi mempunyai tiga nakhoda sehingga tidak wujud
kesepakatan dalam banyak perkara.
"Kita
kena tanya, macam mana nak bawa perubahan kalau dalam satu kumpulan itu ada
tiga nakhoda.
"Cuba
bayangkan sebuah kapal ada tiga nakhoda, apa nasib kapal itu? Karam. Inilah
peribahasa Melayu sebut, tidur sebantal mimpi lain-lain," katanya.
Selain itu,
Najib berkata, pemimpin yang hendak dipilih juga perlu dinilai berdasarkan pengalaman
dan rekod sebelum ini terutama jika pemimpin berkenaan pernah berada dalam
kerajaan.
"Lebih-lebih
lagi waktu dalam kerajaan, apa dia buat, apa hasilnya waktu dalam kerajaan dan
bagaimana bila dia berdepan dengan krisis, macam mana nilai kepimpinan dia.
Itulah yang patut kita tanya," ujarnya. –Utusan Online
No comments:
Post a Comment