KUALA
LUMPUR - Pertubuhan Jalur Tiga (Jati) membuat ketetapan bahawa semua pengundi
Melayu Islam di negara ini wajib mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan
Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kali ini.
Presidennya,
Datuk Dr. Hasan Ali berkata, ketetapan itu dibuat ekoran pakatan pembangkang
yang dianggotai oleh DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas ternyata gagal
mengagungkan Islam, memartabatkan Melayu dan mendaulatkan institusi raja.
Ujarnya,
perkara itu terbukti apabila kalimah Allah disyirikkan, fahaman pluralisme mahu
dijadikan sebagai asas beragama, berhasrat membentuk negara sekular,
menggugurkan pembentukan negara Islam dan hukum hudud serta mahu menghapuskan
hak istimewa orang Melayu.
"Jati
sememangnya tidak dapat menaruh walau sebutir keyakinan kepada pakatan pembangkang
untuk mengagungkan Islam, memartabatkan Melayu dan mendaulatkan institusi raja.
"Bukan
itu sahaja, malah ketetapan ini juga dibuat bersandarkan kepada hasil
perbincangan serta pandangan pakar-pakar agama di dalam Jati sendiri selain
dengan para mufti dan para ulama mengenai parti yang wajib dipilih oleh orang
Melayu Islam pada PRU-13 kali ini,'' katanya.
Beliau
berkata demikian pada sidang akhbar di kediamannya di Bandar Utama dekat sini,
hari ini.
Hasan
berkata, apa yang lebih penting, ketetapan yang dibuat oleh Jati itu
bersandarkan kepada empat kaedah fiqh iaitu;
"Sesuatu
matlamat tidak menghalalkan cara; menolak sesuatu keburukan lebih baik daripada
mengambil sesuatu kebaikan; memilih keburukan yang lebih kecil daripada dua
keburukan bagi menolak keburukan yang lebih besar; perkara yang tidak sempurna
wajib melainkan dengannya maka perkara tersebut menjadi wajib.''
Beliau
berkata, BN jelas tidak mempunyai agenda negatif terhadap Islam.
Dalam
sidang akhbar tersebut, Hasan turut melontarkan tiga persoalan yang perlu
diberi perhatian oleh pengundi:
*Adakah
tanggungjawab mengagungkan Islam kepada DAP yang dengan tegas ingin membentuk
negara sekular?
*Adakah
rakyat dapat mengharapkan perjuangan menegakkan negara Islam dan melaksanakan
hudud yang telah diperjuangkan sejak 60 tahun lalu akan terus disambung oleh
pimpinan sedia ada yang dilihat mabuk untuk ke Putrajaya?
*Adakah
masyarakat yakin akan terbentuknya negara bermoral dan rakyat bersahsiah dengan
negara ini dinakhoda oleh pemimpin parti pakatan pembangkang yang sedang
bergelut dengan pemasalahan moral yang berterusan dan serius?"
Hasan
berkata, itulah antara persoalan yang sentiasa bermain di benak
pemimpin-pemimpin Jati yang perlu dirungkaikan.
"Oleh
itu, amatlah diharapkan pada PRU-13 nanti, pengundi-pengundi Melayu Islam
khususnya dapat membantu menyelesaikan masalah kenegaraan ini dengan menolak
pakatan pembangkang,'' ujar beliau lagi.
Dalam pada
itu, Hasan mengakui ketetapan itu mungkin akan dicabar oleh pihak-pihak
tertentu namun atas nama prinsip, perjuangan dan jihad, Jati sedia berdepan
dengan sesiapa sahaja untuk berdialog atau berwacana dalam usaha menyatakan
kebenaran.
"Ketetapan
kita ini bersandarkan kepada peraturan kaedah fiqh, bersandarkan kepada ilmu,
bersandarkan pandangan para ulama dan juga bersandarkan integriti Jati itu
sendiri.
"Individu
seperti Datuk Aidit, seperti Profesor Sidek Baba, Dr. Yusri Mohamad (bekas
Presiden ABIM) dan ramai lagi dalam Jati tidak pernah dikaitkan bahawa mereka
ini pernah diperalatkan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN),'' katanya.
Menjawab
satu soalan, beliau berkata, Jati akan melancarkan siri jelajah ke seluruh
negara bagi menyuntik keyakinan dalam kalangan pengundi-pengundi Melayu Islam
iaitu ketetapan yang dibuat oleh Jati itu merupakan pilihan paling tepat untuk
Islam, Melayu dan institusi raja.
"Kawasan
yang akan kita beri tumpuan ialah kawasan-kawasan panas khususnya yang
ditandingi oleh kumpulan parasit dalam Pas dan tidak terkecuali kawasan-kawasan
yang ditandingi oleh pemimpin-pemimpin PKR,'' kata Hasan.-Utusan Online
No comments:
Post a Comment