GURUN - Persidangan Ulama Pondok, Sekolah Agama
Rakyat dan Tahfiz membuat deklarasi bahawa haram bagi umat Islam di negara ini
mengundi pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 kerana mereka
menyokong pluralisme agama yang jelas menyekutukan Allah.
Pengerusi
persidangan, Harun Yahya berkata, deklarasi tersebut dibuat berdasarkan nas
daripada kitab-kitab Ulama Ahlusunnah Waljamaah yang muktabar setelah para
peserta mengadakan perbahasan selama tiga hari bermula Sabtu lalu.
Menurutnya,
para peserta persidangan itu mendapati perjuangan parti pembangkang iaitu Parti
Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP bukan sahaja menyalahi nas-nas tersebut
bahkan bertentangan sama sekali dengan Islam serta sesat lagi menyesatkan.
Katanya,
kenyataan bersama ketiga-tiga pimpinan tertinggi pakatan pembangkang bahawa
kalimah Allah boleh digunakan agama lain adalah perbuatan jenayah yang paling
besar ke atas agama Islam dan umatnya.
“Akibat
pluralisme, rukun Islam pertama iaitu mengucap dua kalimah syahadah lenyap yang
menyebabkan murtad kerana umat Islam tidak mengesakan Allah serta mengaku agama
lain adalah agama Allah dan Nabi Muhammad bukan lagi utusan yang membawa agama
Allah, yang bermakna Islam bahkan semua agama benar belaka bukan hanya Islam.”
“Oleh itu
adalah haram menyokong Pas, PKR dan DAP kerana mereka sepakat dalam
memperjuangkan bahawa nama Allah boleh digunakan oleh penganut agama lain yang
membawa maksud semua agama adalah agama Allah," katanya kepada pemberita
selepas Persidangan Ulama Pondok, Sekolah Agama Rakyat dan Tahfiz di Hotel
Harvard di sini hari ini.
Harun yang
juga Ketua Penerangan Minda Pondok berkata, kalimah Allah adalah nama zat Tuhan
yang telah menurunkan agamanya iaitu Islam, maka kalimah Allah hanya untuk umat
Islam yang mentauhidkan Allah dan tidak menyekutukannya dengan yang lain.
Jelasnya,
ini yang membezakan umat Islam dengan agama lain yang diperintah berdakwah dan
menyeru umat lain mengesakan Allah bukan membenarkan Allah untuk disekutukan
seperti yang dipersetujui Pas, PKR dan DAP.
“Pas
sepatutnya menyeru mereka masuk Islam dan menganut agama Islam bukan
membenarkan nama Allah untuk digunakan, sedangkan secara terangan
menyalahgunakan kerana mereka masih tidak meninggalkan kepercayaan mereka yang
asal.”
“Apabila dibenarkan
mereka menggunakan kalimah Allah dalam bible atau kitab-kitab agama mereka,
maka natijahnya semua agama adalah agama Allah dan bukan lagi Islam agama
Allah,” ujarnya.
Menurutnya,
itulah yang dipanggil pluralisme agama yang menjadi agenda jahat musuh-musuh
Islam untuk menghancurkan Islam.
Katanya,
rakyat negara ini usah termakan dengan dakyah pakatan pembangkang khususnya Pas
yang kononnya mahu melaksanakan Islam tetapi Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang menghalalkan Allah disekutukan dengan memberi nama Allah digunakan oleh
agama lain.
“Isu kalimah
Allah bukan isu politik semata-mata sebaliknya adalah usaha untuk merombak
perkara rukun yang utama dalam Islam," katanya.
Harun
berkata, pihaknya turut menyeru segenap lapisan masyarakat dan pemimpin di
seluruh negara melakukan solat hajat sehingga pilihan raya umum atau seterusnya
agar umat Islam di Malaysia dan dunia terpelihara daripada agenda memurtadkan
mereka. - Utusan Online
No comments:
Post a Comment