SHAH ALAM – Majlis Perundingan Melayu (MPM) berharap
Barisan Nasional (BN) segera menggubal dan melaksana Dasar dan Pelan Reformasi
Radikal BN supaya ‘tragedi’ PRU13 tidak akan berulang buat selama-lamanya.
Sehubungan itu, Setiausaha Agungnya, Dr Hasan Mad
berkata, MPM akan mengemukakan syor berkaitan Lima Dasar Utama yang akan
menjadi kerangka kepada Dasar Kemakmuran dan Kesejahteraan Negara dalam masa
terdekat.
“Perkara wajar dilaksanakan segera demi kemakmuran
dan kesejahteraan serta keharmonian semua rakyatnya dalam mengharungi kehidupan
di bumi bertuah ini.
“Walaupun barisan kabinet untuk Penggal 2013-2018
telah diumumkan, MPM tetap bimbang dan
lebih cenderung untuk melihat bagaimana BN yang diterajui Umno mentadbir
negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, BN berjaya membentuk Kerajaan sekalipun
hanya mampu menang mudah dan gagal perolehi majoriti dua per tiga sepertimana
yang diidam-idamkan.
Mengulas lanjut mengenai keputusan PRU13, Hasan
berkata, kerisauan MPM meningkat sebaik melihat keputusan itu dan mendakwa
wujud beberapa petanda yang tercetus dari pilihan raya itu.
“Dengan begitu gigih usaha BN yang diterajui Umno,
membuat persiapan menghadapi PRU13 itu, keputusan yang diperolehi bukanlah sesuatu
yang melegakan dada kita semua.
“Lebih menggusarkan ialah wujudnya beberapa petanda
buruk yang akan menjadikan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang jauh lebih
mencabar dan boleh menjerumuskan negara ini kepada revolusi politik perkauman,
kebencian, keganasan serta campurtangan pihak,” katanya lagi.
Ujar beliau, dalam kesibukan Kerajaan baru
menjalankan tugas dan amanah sepertimana yang dimanifestasikan semasa PRU13,
pucuk pimpinan BN yang diterajui Umno wajar menggubal segera Dasar dan Pelan
Reformasi itu.
Langkah itu katanya, bukan sekadar menjadikan BN
lebih diterima malah jauh lebih penting dari BN mendominasi senario politik
negara terutamanya mampu memastikan amalan demokrasi dalam sistem politik
terbaik di dunia.
Sehubungan itu, katanya lagi, MPM menawarkan diri
untuk bekerjasama bagi melihat agenda ini dengan lebih mendalam.
Katanya, Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sudah tidak beberapa lama lagi dan BN sudah
tiada masa. -Sinar Harian
No comments:
Post a Comment