Tuesday, March 19, 2013

PENCEROBOHAN LAHAD DATU: SANDIWARA JAMALUL KIRAM SEKELUARGA

LABUAN — Insiden pencerobohan di Lahat Datu dilihat tidak lebih daripada sandiwara Jamalul Kiram III yang mendakwa dirinya sebagai pewaris takhta Kesultanan Sulu dan para penaja kempen beliau.

Tindakan Jamalul dan militan setianya tidak masuk akal sedangkan Istana Malacanang sendiri mengeluarkan kenyataan bahawa tidak ada penurunan pewaris selepas Sultan Jamalul Ikram II meninggal dunia (1884-1936).

Kumpulan militan bersenjata seramai 234 orang yang diketuai sendiri oleh adik Jamalul yang bergelar Raja Muda Agbimuddin Kiram mendarat di Kampung Tanduo pada 9 Februari untuk menuntut semula Sabah sebagai sebahagian daripada Kesultanan Sulu.

Selepas Kerajaan Malaysia bertindak untuk mengusir keluar kumpulan pengganas itu, dan selepas berpuluh-puluh anggotanya terbunuh Jamalul yang dalam mahu menjaga air mukanya berkeras bahawa pasukan militannya tidak akan berundur dari Lahad Datu dan mereka akan berjuang hingga ke orang terakhir.

Sandiwara “Istana Sulu” dipanjangkan lagi oleh polemik adiknya yang menggelarkan dirinya sebagai “Sultan Bantilan Esmail Kiram II” dan anak perempuannya “Jacel Kiram”.

Plot sandiwara itu bertambah rumit dengan tidak kurang enam pihak yang menuntut takhta Kesultanan Sulu yang tidak lagi diiktiraf.

Musuh dalam selimut

Pemimpin tempatan (pembangkang) serta pesimpati dengan ‘perjuangan Kesultanan Sulu’ juga dipercayai menyumbang kepada sandiwara ini.

Sebelum pencerobohan berlaku, ada pemimpin pembangkang Sabah yang mengakui pernah berjumpa dengan Sultan Sulu.

Bagaimanapun beliau (pemimpin pembangkang) tidak menjelaskan apakah isu dalam perbincangan dan turut mengakui yang beliau jumpai itu bukanlah Jamalul yang mendalangi pencerobohan itu.

Pembangkang ini selama ini cukup lantang seperti yang dilaporkan di dada akhbar memperjuangkan hak-hak Sabah dan memastikan kuasa autonomi ada pada Sabah.

Namun selepas insiden ini berlaku, suara beliau (pemimpin pembangkang) yang selama ini begitu sengit tidak lagi kedengaran.

Orang sabah sudah menentukan takdir sabah

Sikap degil Jamalul ini diperkuatkan lagi dengan kenyataan Presiden Filipina Benigno S. Aquino yang menyatakan bahawa “anda tidak akan berjaya” (dalam perjuangan mereka menuntut Sabah), yang dengan kedegilan beliau itu menyaksikan 10 anggota keselamatan Malaysia dan 62 militan terbunuh sehingga hari ini.

Kumpulan Jamalul juga tidak mengendahkan hakikat sejarah yang penduduk Sabah telah menentukan takdir Sabah (dahulunya North Borneo) sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia.

Pendirian Kerajaan Filipina semasa pembentukan Persekutuan Malaysia dapat dilihat pada akhbar ‘Philippine Daily Inquirer’ yang telah menerbitkan ucapan terdahulu pemimpin kerajaan itu berhubung pendiriannya terhadap Sabah.
 
Akhbar itu memetik laporan akhbar Manila Times pada 25 Mac, 1963, yang memetik ucapan Senator Lorenzo Sumulong dalam ucapan ‘privilege’ berhubung tuntutan terhadap Sabah, (difailkan oleh President Diosdado Macapagal pada 22 Jun, 1962), menyatakan adalah lebih baik menyerahkan kepada rakyat di Sabah sama ada mereka mahu menyertai pembentukan Malaysia atau sebaliknya.

“Apa gunanya melibatkan diri di Borneo Utara, jika selepas semua, walaupun jika kita berjaya memperolehnya, kita komited kepada idea membenarkan rakyat Borneo Utara menentukan apa nasib mereka akan datang?

“... tindakan yang lebih baik untuk diikuti adalah untuk kerajaan kita memaklumkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu apabila Rancangan Persekutuan Malaysia dikemukakan untuk pertimbangan PBB, bahawa kita secara sukarela melepaskan apa-apa tuntutan kedaulatan kita di mana-mana bahagian North Borneo dalam usaha mempercepatkan perubahan status wilayahnya daripada bukan pemerintahan sendiri kepada negeri pemerintahan sendiri atau bebas dan bahawa kita bersetuju dengan pungutan suara di bawah naungan PBB untukmemberi rakyat Borneo Utara peluang untuk menyatakan dengan bebas kehendak dan hasrat mereka ...”

Tidak arif dengan sejarah

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Sabah (UMS) ,Prof Dr Shariff AK Omang berkata pencerobohan itu tidak akan berlaku sekiranya klausa dalam pungutan suara Suruhanjaya Cobbold difahami oleh kumpulan militan Filipina ini.

Ketiadaan pengetahuan akan hasil pungutan suara Suruhanjaya Cobbold antara Filipina dan North Borneo berhubung pemilikan Sabah dalam kalangan kumpulan pengganas ini membolehkan mereka diperalatkan dan terkorban sia-sia.

Shariff berkata, rakyat dan kerajaan haruslah sentiasa bersedia dan selaras dengan kenyataan Perdana Menteri pencerobohan ini adalah satu panggilan “wake-up call”, untuk meningkatkan perancangan dan strategi masa depan bagi menangani sebarang ancaman khususnya yang melibatkan kedaulatan negara.

Berikutan pencerobohan ini, UMS mewujudkan Pusat Kajian Strategik Sabah sebagai platform untuk memberi pandangan, nasihat dan maklumat tentang isu dan perancangan masa depan yang melibatkan isu keselamatan, ekonomi, sosial, sejarah, pendidikan, politik dan yang berkaitan isu domestik negara.

“Kini kita berdepan dengan ancaman pencerobohan yang melibatkan keselamatan, kita tidak tahu masa depan mungkin kita akan menghadapi ancaman ekonomi dan sebagainya. Dan inilah UMS memainkan peranan dan wujudkan pusat ini,” katanya.

Tetapi semua ini dan hakikat sejarah tidak cukup untuk meyakinkan Jamalul dan penyokongnya yang tindakan mereka itu umpama mencari sungai yang tiada berhulu. — Bernama /The Malaysian Insider
PENCEROBOHAN LAHAD DATU: JAMALUL KIRAM LANCAR PERANG GERILA

MANILA - Pengikut kumpulan pengganas Jamalul Kiram III tidak akan berundur dan mereka diarah melancar perang gerila terhadap pasukan keselamatan Malaysia di Sabah.

Portal berita Filipina melaporkan Kiram berkata, pengunduran anggota kumpulan itu yang diketuai adiknya, Azzumudie dari Sabah bukan satu pilihan.

''Mereka sudah berada di tempat kelahiran mereka, kenapa nak pulang,'' katanya di rumahnya di Taguig City, semalam.

Sementara itu, jurucakap Kiram, Abraham Idjirani berkata, pencerobohan di Sabah akan diteruskan.

''Arahan gencatan senjata dikeluarkan sebelum ini telah ditarik balik dan pengikut Kiram diarah melancarkan operasi serang dan lari terhadap rakyat Malaysia,'' katanya.

Kiram berkata, pengikutnya berjaya melarikan diri daripada serbuan polis serta tentera Malaysia dan kini bersembunyi dalam kawasan hutan di Sabah.

''Saya yakin kami akan mencapai objektif kami,'' katanya. – AGENSI/Utusan Online

CAP DESAK KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG BATAL PROJEK TEROWONG DASAR LAUT

S.M Mohamed Idris
Presiden CAP menunjukkan gambar-gambar 
yang memaparkan kemalangan negeri 
dalam terowong yang berlaku di luar negara 
- Foto Bernama/SinarHarian
GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendesak kerajaan negeri Pulau Pinang membatalkan projek terowong dasar laut kerana ia dipercayai akan mendatangkan kerugian dalam waktu jangka panjang.

Presidennya S.M Mohamed Idris berkata, projek itu bukanlah penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas dan kerajaan negeri harus mengkaji pelbagai aspek terutama melibatkan keselamatan pengguna serta kesan terhadap alam sekitar.

"Projek itu sebenarnya mengembangkan lagi rangkaian jalan sedia ada menyebabkan jalan itu nanti akan bertambah sesak.

Di negeri ini, pertambahan kenderaan baharu mencecah 100,000 setiap tahun, masalah kesesakan lalu lintas akan berlaku lebih awal daripada yang dijangka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata projek terowong itu hanya memberi keutamaan kepada kenderaan bermotor dan hanyalah berupa penyelesaian jangka pendek.

"Kami melihat Ketua Menteri (Lim Guan Eng) bercadang meneruskan dasar yang akan mewujudkan keadaan yang lebih buruk dan ia tidak memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya," katanya.

Guan Eng baru-baru ini mengumumkan pembinaan terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion bagi menghubungkan Persiaran Gurney di pulau dengan Bagan Ajam di tanah besar.

Projek mega yang diumum kerajaan negeri pimpinan DAP itu melibatkan pembinaan empat lebuh raya utama termasuk terowong bawah dasar laut berkenaan.

Pembinaan projek itu diserah kepada Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd iaitu syarikat tujuan khas yang dibentuk daripada lima syarikat - Zenith Construction Sdn Bhd, China Railway Construction (dua syarikat ini memegang keseluruhan 70 peratus ekuiti), Beijing Urban Construction Group (BUCG), Sri Tinggi Sdn Bhd dan Juteras Sdn Bhd yang masing-masing memiliki 10 peratus.

Mohamed Idris berkata, Guan Eng dilihat seolah-olah begitu terdesak mengumumkan projek itu sedangkan Jambatan Kedua Pulau Pinang kedua masih belum beroperasi dan kesan lalu lintas belum dapat dinilai lagi.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Lim menyerahkan tanah tebus guna seluas 44.51 hektar di Tanjung Pinang sebagai bayaran kepada pemaju projek berkenaan kerana nilai tanah semakin meningkat dan mendakwa transaksi seumpama itu hanya memanfaatkan pemaju.

Beliau mendakwa projek itu juga akan merosakkan kawasan pantai di negeri ini. – Bernama/Sinar Harian
DAP DOMINASI CALON PEMBANGKANG DI JOHOR ?

MUAR - Hasrat DAP mahu bertanding 15 daripada 26 kerusi Parlimen di Johor pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) membuktikan sikap dominasi parti itu ke atas PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pakatan pembangkang.

Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim berkata, ia juga menyerlahkan lagi andaian bahawa tiada kesepakatan di kalangan pemimpin pakatan pembangkang dalam menentukan kerusi yang akan mereka tandingi.

“Setiap pemimpin parti dalam pakatan pembangkang membuat kenyataan sendiri, tidak seperti Barisan Nasional (BN) hanya seorang sahaja yang akan mengeluarkan kenyataan berhubung sesuatu keputusan yang dibuat,” katanya.

Mengenai hasrat tokoh veteran DAP Lim Kit Siang yang ingin bertanding di Johor, Razali berkata DAP memberi tumpuan di Johor, Sarawak dan Sabah kerana BN menguasai lebih banyak kerusi di ketiga-tiga negeri itu.

Beliau berkata, Lim tahu pakatan pembangkang perlu memenangi lebih kerusi Parlimen pada PRU-13 untuk memenuhi impiannya untuk menawan Putrajaya kerana itu memberi tumpuan pada negeri yang dikuasai BN.

Terdahulu dalam ucapannya, Razali berkata rakyat atau pengundi di negara ini adalah golongan yang bijaksana dan tahu menilai antara persepsi dengan prestasi.

Beliau yakin, mereka akan memberi penilaian lebih tinggi terhadap prestasi kerajaan BN sekarang berbanding persepsi tidak baik yang cuba dicanangkan oleh pembangkang.

Ini kerana katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri sentiasa memberi penekanan kepada kebajikan rakyat berbanding pemimpin pembangkang yang didakwanya mengutamakan kuasa dan kedudukan diri sendiri. – Bernama/KLExpress
KEMPEN MEDIA SOSIAL PRU13 KURANG IMPAK, WALAUPUN BERPENGARUH -ANALISIS
 
Walaupun hampir setengah rakyat Malaysia menggunakan Facebook, impak kempen politik menerusi media sosial dan Internet masih lagi terbelakang berbanding dengan kaedah tradisional lain dalam menarik sokongan pengundi, kata penganalisis dan pemerhati politik tempatan.

Namun, di kala Malaysia menuju pilihan raya yang dianggap paling sengit tidak lama lagi, kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) bersaing antara satu sama lain untuk menarik sokongan dengan menggunakan saluran atas talian media sosial dan laman-laman berita Internet.

Sumber dalam industri juga mendedahkan agensi kerajaan, jabatan-jabatan dan parti BN ketika ini membeli sejumlah besar ruang pengiklanan atas talian di kala klip video pro kerajaan dikeluarkan untuk menyaingi bahan-bahan dan iklan pro pembangkang menjelang pilihan raya bulan depan.

Walau bagaimanapun, penganalisis menekankan kempen politik melalui media sosial dan internet tidak akan mempengaruhi sokongan pengundi, khususnya masyarakat luar bandar yang lebih mengutamakan sentuhan peribadi.

Malahan, jumlah pengundi luar bandar antara yang penting dalam menentukan pemenang dalam pilihan raya meskipun pengundi bandar nampak lebih kearah pembangkang PR.

“Media sosial hanya mempunyai impak keatas masyarakat bandar tetapi tidak luar bandar. Pengundi lebih pentingkan isu yang dekat dengan mereka,” kata penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Mohd Baharudin Othman kepada The Malaysian Insider.

“Pendekatan ceramah masih yang terbaik, kerana orang ramai lihat pemimpin dekat dengan mereka,” tambah beliau.

Terdapat kira-kira 13 juta pengguna Facebook di Malaysia, dengan 64 peratus terdiri daripada mereka yang berusia antara 18 dan 34 tahun, menurut sumber Socialbakers yang merupakan sebuah syarikat pemantau media sosial.

PR jauh lebih aktif di atas talian dan dilihat telah menguasai ruang siber Malaysia dengan pelbagai laman sesawang dan produksi video termasuk beberapa yang mengetengahkan manifesto mereka yang dilancarkan beberapa minggu lepas.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff turut menegaskan perkara sama dimana media sosial memainkan peranan kecil  kerana pengundi mula meragui ketepatan maklumat dalam media sosial.

“Media sosial memutar belit banyak berita, sama seperti media arus perdana. Berita yang disampaikan tidak tepat dan kebenarannya diragui,” kata Agus.

“Ya, media sosial memang ada pengaruh, tapi ia tidak akan memberik kesan besar kepada Malaysia. Saya tidak rasa media sosial akan tumbangkan kerajaan, kerana jika ia mampu sudah lama kerajaan sekarang tumbang,” ujar beliau lagi.

Sumber dalam industri juga memberitahu, ruang iklan turut juga dibeli di Youtube Malaysia, salah satu laman paling ramai dilawati dengan dua juta pelawat unik sehari.

Laman perkongsian video dimiliki Google itu juga menyaksikan sejumlah klip video berkait parti politik Malaysia, dengan peningkatan angka produksi pro-BN masuk ke atas talian semenjak beberapa minggu lepas.

Di antaranya menunjukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim memeluk seorang lelaki di dalam bilik hotel. Ketua Umum PKR itu mengatakan klip video tersebut sebagai kempen jahat oleh musuh-musuh politiknya dan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap pejuang siber Umno yang beliau salahkan.

Terdapat beberapa lagi klip video Youtube dengan lagu parodi mengutuk DAP, PAS dan PKR daripada gabungan PR yang menafikan majoriti tradisi dua pertiga BN di parlimen dalam Pilihan Raya 2008.

“Di Amerika, mereka dapati ia sangat sukar. Oleh sebab itu mereka cipta yang dinamakan pop-up. Rata-rata kita yang menggunakan internet sudah dilatih mata untuk tidak melihat iklan,” kata penganalisis politik Universiti Monash James Chin kepada The Malaysian Insider.

Bagi Chin, parti politik beralih ke media sosial dalam mengiklankan kempen mereka tidak mengejutkan memandangkan peranannya untuk menarik golongan pengundi muda khususnya tetapi meragui medium tersebut mampu mempengaruhi prestasi mana-mana parti dalam pilihan raya nanti.

“Kita tahu pengundi terutamanya pengundi muda merupakan pengundi pembangkang.

“Mereka cuba meningkatkan kempen dilaman siber untuk menarik semula sokongan... sekarang ini saya mengesyaki orang ramai tidak mempercayainya lagi,” kata Chin.

“Salah satu sebab terdapat banyak trafik atas talian adalah kerana mereka berminat dengan gosip,” ujar beliau lagi.

Penganalisis telah menekankan pengundi muda sebagai kelompok pengundi utama yang boleh menentukan kemenangan kerajaan pusat dalam Pilihan Raya 2013.

Pengundi kali pertama membentuk jumlah yang signifikan iaitu sebanyak 30 peratus daripada 13.3 juta pengundi. – The Malaysian Insider