Thursday, May 16, 2013

PASCA PRU13: BN PERLU LAKSANA REFORMASI RADIKAL, ELAK ‘TRAGEDI’ PRU13

SHAH ALAM – Majlis Perundingan Melayu (MPM) berharap Barisan Nasional (BN) segera menggubal dan melaksana Dasar dan Pelan Reformasi Radikal BN supaya ‘tragedi’ PRU13 tidak akan berulang buat selama-lamanya.

Sehubungan itu, Setiausaha Agungnya, Dr Hasan Mad berkata, MPM akan mengemukakan syor berkaitan Lima Dasar Utama yang akan menjadi kerangka kepada Dasar Kemakmuran dan Kesejahteraan Negara dalam masa terdekat.

“Perkara wajar dilaksanakan segera demi kemakmuran dan kesejahteraan serta keharmonian semua rakyatnya dalam mengharungi kehidupan di bumi bertuah ini.

“Walaupun barisan kabinet untuk Penggal 2013-2018 telah diumumkan,  MPM tetap bimbang dan lebih cenderung untuk melihat bagaimana BN yang diterajui Umno mentadbir negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)  lalu, BN berjaya membentuk Kerajaan sekalipun hanya mampu menang mudah dan gagal perolehi majoriti dua per tiga sepertimana yang diidam-idamkan.

Mengulas lanjut mengenai keputusan PRU13, Hasan berkata, kerisauan MPM meningkat sebaik melihat keputusan itu dan mendakwa wujud beberapa petanda yang tercetus dari pilihan raya itu.

“Dengan begitu gigih usaha BN yang diterajui Umno, membuat persiapan menghadapi PRU13 itu, keputusan yang diperolehi bukanlah sesuatu yang melegakan dada kita semua.

“Lebih menggusarkan ialah wujudnya beberapa petanda buruk yang akan menjadikan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang jauh lebih mencabar dan boleh menjerumuskan negara ini kepada revolusi politik perkauman, kebencian, keganasan serta campurtangan pihak,” katanya lagi.

Ujar beliau, dalam kesibukan Kerajaan baru menjalankan tugas dan amanah sepertimana yang dimanifestasikan semasa PRU13, pucuk pimpinan BN yang diterajui Umno wajar menggubal segera Dasar dan Pelan Reformasi itu.

Langkah itu katanya, bukan sekadar menjadikan BN lebih diterima malah jauh lebih penting dari BN mendominasi senario politik negara terutamanya mampu memastikan amalan demokrasi dalam sistem politik terbaik di dunia.

Sehubungan itu, katanya lagi, MPM menawarkan diri untuk bekerjasama bagi melihat agenda ini dengan lebih mendalam.

Katanya, Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)  sudah tidak beberapa lama lagi dan BN sudah tiada masa. -Sinar Harian
DAP BUKAN PARTI CINA?

SHAH ALAM – Kejayaan DAP dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dikaitkan dengan pendekatan ‘centrist’ yang mula diamalkan parti itu sejak tahun 2006.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Zairil Khir Johari memberitahu hadirin pada wacana siri ke-20 anjuran Sinar Harian yang mengupas topik Pasca PRU13 : Ke Mana Haluan Politik Melayu, semalam.

Menurut Zairil, kira-kira lima dekad lalu, DAP hanyalah sebuah parti pinggiran yang turut tidak mendapat sokongan kaum Cina.

“Ya, memang kebanyakan ahli DAP dari masyarakat Cina. Itu memang tidak dinafikan. Cuma, kita kena faham. Dalam tahun 60-an, 70-an, 80-an, akses kepada media memang kosong. Melainkan apabila melaungkan atau mengambil isu-isu yang sangat 'sensational'.

“Kerana itu, ia menampakkan DAP hanya parti pinggiran. Sama juga seperti PAS yang terpaksa menjadi parti pinggiran kerana tidak mendapat ruang dalam media massa. Kami tak berpeluang akses kepada media. Kami hanya kendalikan isu pinggiran,” katanya.

Malah menurutnya, sebelum tahun 2008 sekalipun, DAP tidak menjadi pilihan kaum Cina sendiri.

“Sebelum 2008, untuk masyarakat Cina kelas pertengahan, bagimereka pun, DAP bukan pilihan. Tahun 2003, 2005... masuk DAP? Undi DAP pun tidak mungkin. Itu yang DAP tak pernah menang kerusi sebanyak yang ada sekarang,” katanya.

Zairil yang juga ahli Parlimen Bukit Bendera menjadi panelis pada wacana anjuran Sinar Harian bersama Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Program kali ini dikendalikan oleh pensyarah Fakulti Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara, Profesor Madya Dr Shaharuddin Badaruddin.

Beliau juga menyentuh soal perubahan yang dilakukan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada tahun 2006.

“Apa yang berlaku adalah pada tahun 2006, Lim Guan Eng ketika menjadi Setiausaha Agung, beliau telah menukar haluan DAP daripada sebuah parti pinggiran, kepada parti pertengahan, sederhana.

“Konsep middle Malaysia telah diperkenalkan pada tahun 2006. Sejak itu, DAP ambil pendekatan ‘centrist’. Dengan pendekatan inilah, baru kita dapat menarik orang India, orang Cina, orang Melayu daripada golongan menengah,” katanya.

Tambahnya, “jadi, saya rasa politik masa depan Malaysia adalah politik yang ‘centrist’, rasional dan berteraskan idea. Bukan politik perkauman.”

Sementara itu, beliau juga menekankan bahawa DAP bukan parti Cina ekoran memiliki ramai ahli parlimen dari kaum India.

“Saya juga nak menekankan selalu dikatakan DAP ini parti Cina. Tapi hakikatnya, DAP mempunyai wakil rakyat India yang paling ramai di Malaysia. Lebih daripada MIC sendiri selama dua penggal parlimen berturut-turut.

“Bagi penggal ini, kami mempunyai wakil dari kaum Kadazan, India, Cina, Melayu. Semua ada. Ini akan jadi masa depan dan hala tuju DAP dalam masa akan datang,” katanya. -Sinar Harian
KABINET MALAYSIA 2013

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan Kabinet yang baru di pejabatnya di Putrajaya. Barisan kabinet baru itu dijangka menyaksikan satu pasukan yang mampu menjana idea-idea baru untuk meneruskan agenda transformasi nasional yang dicetuskan Najib.

Menurut Perdana Menteri, barisan Kabinet yang baru dilantik itu merupakan kabinet yang seimbang, campuran antara muka lama dan muka baru.

Berikut ialah Senarai Rasmi Menteri Kabinet Baru 2013

Perdana Menteri: Datuk Seri Najib Tun Razak

Timbalan Perdana Menteri: Tan Sri Muhyiddin Yassin

Menteri di Jabatan Perdana Menteri:
Datuk Seri Jamil Khir Baharom
Datuk Seri Abdul Wahid Omar (akan dilantik sebagai senator)
Datuk Seri Idris Jala (Senator)
Tan Sri Joseph Kurup
Datuk Seri Shahidan Kassim
Nancy Shukry
Datuk Joseph Entulu Belaun
Datuk Paul Low Seng Kuan (Senator)

Timbalan Menteri: 
Datuk Razali Ibrahim
P.Waythamoorthy (akan dilantik sebagai senator)

Kementerian Kewangan
Menteri I : Datuk Seri Najib Tun Razak
Menteri II: Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah
Timbalan Menteri: Datuk Ahmad Maslan

Kementerian Pelajaran
Menteri I: Tan Sri Muhyiddin Yassin
Menteri II Datuk Seri Idris Jusoh
Timbalan Menteri I: Datuk Mary Yap
Timbalan Menteri II: P.Kamalanathan

Kementerian Dalam Negeri
Menteri: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
Timbalan Menteri: Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Kementerian Komunikasi dan Multimedia
Menteri: Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
Timbalan Menteri: Datuk Jailani Johari

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Menteri: Datuk Seri Mustapa Mohamed
Timbalan Menteri: Hamim Samuri

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar
Menteri: Datuk Seri G. Palanivel
Timbalan Menteri: Datuk James Dawos Mamit

Kementerian Pengangkutan
Menteri: Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (pangku)
Timbalan Menteri: Datuk Aziz Kaprawi

Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan
Menteri: Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Timbalan Menteri: Datuk Joseph Salang
        
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani
Menteri: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Timbalan Menteri: Datuk Tajuddin Abdul Rahman

Kementerian Pertahanan
Menteri: Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Timbalan Menteri: Datuk Abdul Rahim Bakri

Kementerian Kerja Raya
Menteri: Datuk Fadillah Yusof
Timbalan Menteri: Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin

Kementerian Kesihatan
Menteri: Datuk Seri Dr S.Subramaniam
Timbalan Menteri:Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya

Kementerian Belia dan Sukan
Menteri: Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Timbalan Menteri: Datuk M Saravanan
  
Kementerian Sumber Manusia
Menteri: Datuk Richard Riot
Timbalan Menteri: Datuk Ismail Abdul Muttalib

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
Menteri:  Datuk Hasan Malek
Timbalan Menteri: Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah (akan dilantik senator)

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Menteri: Datuk Rohani Abdul Karim
Timbalan Menteri: Datuk Azizah Mohd Dun

Kementerian Luar Negeri
Menteri: Datuk Seri Anifah Aman
Timbalan Menteri: Datuk Hamzah Zainuddin

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan
Menteri: Datuk Abdul Rahman Dahalan
Timbalan Menteri: Datuk Halimah Sadique

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Menteri: Datuk Seri Douglas Uggah Embas
Timbalan Menteri: Datuk Noriah Kasnon

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
Menteri: Datuk Seri Mohd Shafie Apdal
Timbalan Menteri: Datuk Alexander Nanta Linggi

Kementerian Wilayah Persekutuan
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
Timbalan Menteri: Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air
Menteri: Datuk Seri Maximus Ongkili
Timbalan Menteri: Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi
Menteri: Datuk Dr Ewon Ebin
Timbalan Menteri Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah

 - Bernama

GABUNG PAS-UMNO TIDAK SATUKAN MELAYU

SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah menegaskan penyatuan Pas dan Umno bukan cara untuk menyelesaikan masalah perpecahan kaum Melayu seperti yang didakwa segelintir pihak.

Menurutnya, perbezaan parti politik yang menjadi amalan rakyat tidak memberi impak kepada perpecahan kaum khususnya orang Melayu serta bangsa Malaysia.

Saifuddin AbdullahBeliau berkata, amalan demokrasi yang memberikan pilihan kepada rakyat memilih parti politik di negara ini bukan penyumbang kepada perpecahan kaum.

"Dalam soal penyatuan orang Melayu kenapa perlu bangkitkan isu penyatuan politik, dalam demokrasi berbeza parti bukan bermakna perpecahan.

"Cuma kita kena pandai kempenlah, yang ini pandai (dia) menang, yang seorang ini pula tak pandai, tak menang, terima sajalah, ini hakikat demokrasi," ujar beliau.

Namun katanya, jika perkara membabitkan soal perpaduan dan penyatuan orang Melayu ini diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak, maka pihak itu harus ditentang sekeras-kerasnya.

"Tetapi kalau ada tokoh politik yang hendak memecah-belahkan, itu bab lain, kita akan tentang habis-habisan," katanya pada Wacana Sinar Siri ke-20 yang berjudul Pasca PRU13: Ke Mana Haluan Politik Melayu di sini, semalam.

PASCA PRU13: SEBILANGAN BESAR CINA MASIH SOKONG BN - GERAKAN

KUALA LUMPUR - Masih ada sebilangan besar rakyat Malaysia keturunan Cina menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Ketua Pemuda Gerakan Kedah Tan Keng Liang.

Oleh itu, ia adalah terlalu mengelirukan untuk mewujudkan persepsi yang salah bahawa semua rakyat Malaysia keturunan Cina mengkhianati masyarakat Melayu memandangkan terdapat juga di kalangan orang Melayu yang menyokong pembangkang, katanya dalam satu kenyataan.

Tan berkata demikian bagi merujuk kenyataan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Noor Abdullah semalam yang memberi amaran kepada masyarakat Cina supaya bersedia menghadapi tindak balas daripada orang Melayu atas 'pengkhianatan' mereka pada Pilihan Raya Umum ke-13 baru-baru ini.

"Sebagai anggota jawatankuasa aduan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada masa ini, Mohd Noor perlu menahan diri daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan di kalangan rakyat Malaysia selepas pilihan raya," katanya.

Beliau berkata pilihan raya adalah satu proses demokrasi dengan mana-mana rakyat Malaysia boleh memilih mana-mana parti untuk diundi dan pilihan itu bukan satu tindakan khianat ke atas mana-nmana parti politik atau masyarakat.- Bernama/Sinar Harian