Thursday, September 6, 2012

TIMBALAN MENTERI PERTAHAN PENDIRIAN BERHUBUNG SEKSYEN 114A 

PETALING JAYA: Dua Timbalan Menteri mempertahankan pendirian masing-masing agar Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 harus dipinda walaupun mereka dipanggil oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas memberikan kenyataan berbeza dengna pemimpin lain dalam isu tersebut.

Datuk Saifuddin Abdullah dan Gan Ping Sieu telah bertemu dengan Muhyiddin pada Isnin yang turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Ketika mengesahkan mengenai pertemuaan tersebut, Nazri berkata ia diadakan bagi menangani kebimbangan kedua pemimpin berkenaan.

"Ia bukan satu teguran. Kami tidak seperti pembangkang, dalam Barisan Nasional kami mengamalkan kebebasan bersuara," katanya pada Selasa.

Nazri berkata kerajaan telah memutuskan untuk bekerjasama dengan pihak-pihak yang berkaitan seperti penulis blog dan Centre for Independent Journalism (CIJ) dalam usaha menjelaskan rasional kerajaan tidak melakukan sebarang perubahan terhadap Seksyen 114A.

"Saya akan cuba untuk bertemu dengan mereka secepat mungkin," katanya.

Pindaan, pewartaan yang berkuat kuasa Julai lalu, membolehkan penerbitan dan pemiliknya menyiarkan artikel yang menyinggung perasaan di Internet kecuali jika pemiliknya terbukti melakukan perbuataan tersebut atau sebaliknya.

Menafikan bahawa mereka dimarahi, kedua-dua timbalan menteri itu menegaskan bahawa apa jua pendirian mereka keputusan Kabinet akan tetap dipatuhi.

Saifuddin yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, semasa perbincangan itu, beliau telah menyuarakan kebimbangannya ke atas teks sekyen, kerana beliau menganggap ia memberi maksud ‘terlalu luas’ terutamanya istilah ‘memudahkan’

"Pendirian saya dan Nazri dalam isu ini adalah adalah dari dua pandangan yang berbeza. Saya pula melihat kesannya terhadap transformasi politik ke arah demokrasi progresif yang matang.

"Di akhir pertemuaan tersebut, saya menegaskan bahawa kita perlu memindanya. Bagaimanapun, apabila Kabinet telah memutuskan status quo dan Nazri akan melihat kepada pendirian pihak yang berkenaan kami akan meninggalkan isu ini buat sementara waktu," katanya kepada The Star dalam satu pesanan ringkas yang dikirimkan.

Beliau turut berkata adalah satu keperluan untuk belajar daripada mereka yang telah melaksanakannya, sebagai contoh Akta Kebebasan Internet Brazil yang menjamin tiada penapisan Internet.

Gan yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata beliau dan partinya (MCA) bimbang mengenai akta tersebut terutamanya mengenai garis panduan nyata tentang bagaimana kerajaan merancang untuk menguatkuasakan Seksyen 114A serta apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.

"Terma dan syarat yang digunapakai adalah terlalu luas dan umum. Adalah lebih baik sekiranya garis panduan yang ditetapkan dapat mengurangkan ketakutan orang ramai bahawa mereka yang tidak bersalah tidak akan didakwa," katanya.

Menurut beliau, Muhyiddin menerima pendapat mereka dengan baik dan mencadangkan agar tidak perlu ada pertemuaan seterusnya, sementara Nazri memberi jaminan kepada mereka bahawa Seksyen 114A dikhaskan untuk menangkap penjenayah siber.
HINA GAMBAR PM: KERAJAAN PERLU NILAI KENAPA BERLAKU - SUARAM

KUALA LUMPUR: Insiden mempermainkan gambar pemimpin negara pada malam ambang Merdeka tempoh hari perlu dinilai oleh kerajaan mengapa ianya berlaku.

Penyelaras Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Ahmad Syukri Abd Razab berkata, apa yang dilakukan oleh anak muda pada malam itu ada signifikannya yang perlu difikirkan.

"Kerajaan perlu fikirkan mengapa mereka bertindak diluar batas seperti itu. Apakah tidak cukup dengan sekadar laungan dan protes sehingga mereka memijak gambar pimpinan. Ini yang perlu dinilai oleh kerajaan," katanya.

Katanya, tindakan memijak gambar itu menggambarkan ekspresi kemarahan anak muda yang merasakan tuntutan mereka yang tidak dipenuhi oleh kerajaan.

Namun beliau menegaskan perbuatan tersebut adalah diluar batasan dan ia tidak sepatutnya berlaku.

"Kita tidak perlu tunjuk perbuatan seperti itu untuk menyatakan protes kita terhadap mana-mana pihak. Kita tidak boleh menerima budaya ini sebagai demokrasi tulen," katanya.

Bagaimanapun tegasnya, pihak kerajaan perlu bersikap adil dan mengenakan tindakan undang-undang kepada sesiapa sahaja yang melakukannya.

"Maknanya sesiapa yang melakukan perbuatan seperti itu harus dikenakan tindakan tidak kira individu yang menghina pimpinan kerajaan ataupun pimpinan pembangkang. Kerajaan perlu adil," katanya.

Tambahnya, jika dibiarkan perbuatan seperti itu terus berleluasa seolah-olah kerajaan membiarkan demokrasi ini diamalkan secara liar. -Harakahdaily

Wednesday, September 5, 2012

ISU TUKAR BENDERA: KDN MAHU INSIDEN MALAM AMBANG MERDEKA DIBENDUNG

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyifatkan kejadian mengibar bendera baharu sebagai ganti Jalur Gemilang pada Khamis lepas sebagai perbuatan yang mencabar kedaulatan negara.

Ketua Setiausaha kementerian Datuk Abdul Rahim Mohamad Radzi berkata jika tidak dibendung, perbuatan sedemikian boleh menyemai rasa benci dalam kalangan masyarakat sekali gus menjejaskan kepentingan awam.

"Masyarakat perlu faham apa yang berlaku adalah bertentangan dengan norma masyarakat Malaysia," katanya dalam kenyataan, di sini, Selasa.

Beliau berkata KDN komited untuk memastikan tindakan tegas dikenakan ke atas mereka yang terlibat dalam perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

Perbuatan mengibar bendera baharu yang dikatakan 'pengganti' Jalur Gemilang itu dilakukan segelintir peserta Himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka ketika malam ambang Hari Kemerdekaan ke-55 negara.

Sementara itu, di KUANTAN, beberapa badan bukan kerajaan mengutuk perbuatan tersebut dan membuat laporan polis meminta siasatan dilakukan segera bagi mengesan pihak yang bertanggungjawab.

Mereka terdiri daripada Wira Perkasa Pahang, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Kelab Belia 4B, Majlis Belia Daerah Kuantan dan Kelab Bell Belia Tamil Kuantan (KBBT).

Ketua Wira Perkasa Pahang Ezad Zainal berkata tindakan mengibar bendera baharu itu seolah cubaan menghidupkan kembali puak berhaluan kiri yang mahu menukar negara ini kepada kerajaan republik pada 1947.

"Ini bukan soal politik tetapi soal cintakan negara. Bendera yang mereka pamerkan itu seakan sama dengan bendera yang dikibarkan oleh puak berhaluan kiri dahulu antaranya MPAJA yang sinonim dengan komunisme," katanya kepada pemberita, di sini.

Pengerusi KBBT M. Thiagaselan pula berkata mereka yang terlibat mungkin dijadikan boneka oleh sesetengah pihak.

"Polis perlu menjalankan penyiasatan yang menyeluruh dan mengenal pasti siapa dalang sebenar di sebalik kejadian berkenaan dan mereka inilah yang sewajarnya dikenakan tindakan seperti dilucutkan kerakyatan," katanya. –BERNAMA/MStar
TITIK PANAS MENINGKAT, KUALITI UDARA PANTAI BARAT MEROSOT – JAS

KUALA LUMPUR: Peningkatan titik panas di Sumatera, Indonesia menyebabkan kemerosotan kualiti udara di beberapa kawasan di pantai barat Semenanjung Malaysia.

Dalam kenyataan pada Selasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkata pertambahan titik panas itu dikesan sejak tiga hari lepas.

Menurut kenyataan itu, Asean Specialised Meterological Centre (ASMC) semalam melaporkan bilangan titik panas di Sumatera masih tinggi iaitu 231 manakala Kalimantan 561.

Menurut JAS, angin monsun barat daya yang masih bertiup dari kawasan titik panas di Sumatera Tengah ke Pantai Barat Semenanjung, turut menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan keadaan panas dan kering di rantau ini akan berpanjangan sehingga Oktober.

Pada Selasa keadaan jerebu di negara ini masih di tahap sederhana dengan Nilai, Negeri Sembilan mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi iaitu 93.

Selain itu, bacaan di 40 lokasi lain termasuk Perlis, Kedah dan Pulau Pinang berada pada tahap sederhana iaitu di bawah 80 setakat 11 pagi ini, dengan Kuala Lumpur mencatat bacaan 76 dan tiada stesen mengalami tahap tidak sihat.

JAS juga masih menguatkuasakan perintah larangan pembakaran terbuka di seluruh negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai 16 Jun lepas.

Selain itu perintah sama masih berkuatkuasa di kawasan Tudan, Permai Jaya dan Kuala Baram, Miri, Sarawak sejak 22 Jun.-BERNAMA/MStar

Tuesday, September 4, 2012

KERAJAAN MALAYSIA TIDAK TERLIBAT PENGIBARAN JALUR GEMILANG PEMBERONTAK DI THAILAND

BANGKOK: Kerajaan Malaysia tidak terlibat apabila pemberontak mengibarkan Jalur Gemilang di selatan Thailand pada Jumaat lepas.

Ketua Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Jen Pol Wichien Potposri hari ini berkata kerajaan Malaysia bukanlah pihak bertanggungjawab di sebalik aktiviti mengibarkan bendera negara berkenaan.

"Thailand dan Malaysia mempunyai hubungan yang sangat baik dan kerjasama yang sangat akrab dalam menyelesaikan konflik di selatan Thailand," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Negara di sini.

Jalur Gemilang dikibar dengan banyak di Pattani, Yala dan Narathiwat pada Jumaat lepas, serentak dengan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia.

Bendera itu turut kelihatan dipasang di pokok dan tiang lampu selain dibawa oleh beberapa lelaki.

THAILAND-MALAYSIA 2 (AKHIR) BANGKOKSebab pemberontak mengibarkan bendera Malaysia di ketiga-tiga wilayah di selatan itu masih samar.

Jen Pol Wichien berkata tidak menjadi kesalahan untuk orang ramai membawa masuk bendera Malaysia melalui sempadan Malaysia-Thailand.

Komander 4th Army Mej Jen Udomchai Thammasaorath percaya motif pemberontak adalah untuk mewujudkan perselisihan faham antara Thailand dan Malaysia.

"Kami mempunyai hubungan yang sangat mesra. Apa jua yang berlaku tidak akan mewujudkan perselisihan faham antara kedua-dua negara," katanya.

Terdapat lebih 100 serangan dilancarkan di ketiga-tiga wilayah itu Jumaat lepas dengan kes terburuk membabitkan sebuah gedung perniagaan di Narathiwat yang dibom dengan kerugian dianggar berjumlah 60 juta Baht (kira-kira RM6 juta).

Ini kali ke-17 gedung perniagaan itu dibom dalam tempoh tujuh tahun dan serangan terbaru ini adalah yang terburuk.

Serangan bersepadu itu yang dijalankan di tiga wilayah itu dipercayai sempena sambutan ulang tahun Barisan Bersatu bagi Kemerdekaan Pattani (Bersatu).

Bersatu ditubuhkan pada 31 Ogos, 1989 oleh kumpulan pemberontak serpihan Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (Pulo), Barisan Revolusi National Melayu Pattani (BRN), Barisan National Pember-Basan Pattani (BNPP) dan Mujahadeen Pattani. -BERNAMA/MStar