Tuesday, December 18, 2012

PEKERJA MALAYSIA NAIK GAJI 2013 - KAJIAN

SINGAPURA 17 Dis. - Hampir setiap pekerja di Malaysia dijangka mendapat kenaikan gaji pada tahun depan, demikian menurut Laporan Workmonitor Randstad terbaharu bagi suku keempat yang diumumkan hari ini.

Perangkaan itu adalah yang tertinggi dari kajian yang dilakukan di seluruh dunia dalam kalangan 14,780 pekerja daripada 32 negara.

Kajian itu mendapati, responden di rantau ini kurang keyakinan mengenai prospek kenaikan gaji di China (82 peratus), Singapura (76 peratus), Australia (75 peratus), New Zealand (69 peratus) dan Jepun (42 peratus).

Pengarah Randstad Malaysia, Jasmin Kaur berkata, sentimen itu adalah sejajar dengan prestasi kewangan perniagaan yang jitu di seluruh Malaysia.

Katanya, empat daripada lima (82 peratus) pekerja yang dikaji selidik membayangkan syarikat mereka mencatatkan prestasi yang baik tahun ini walaupun ekonomi berhadapan cabaran.

"Para pekerja memikul beban kerja yang lebih berat dan menjangka diberi ganjaran sebagai mengiktiraf usaha masing-masing pada tahun ini," katanya.

Kaji selidik di kalangan 405 pekerja Malaysia juga menonjolkan bahawa tujuh daripada 10 (71 peratus) pekerja menjangka menerima hadiah tahun ini seperti pakej Krismas atau baucar hadiah dan 94 peratus menjangka menerima satu ganjaran kewangan sekali sahaja.

Jasmin Kaur berkata, adalah penting bagi para majikan mengiktiraf kerja keras yang dilaksanakan para pekerja masing-masing pada tahun ini, terutama sekali berikutan kekurangan pekerja dan keperluan mendapatkan pekerja mahir.

Menurut laporan itu, dengan menawarkan ganjaran dan insentif, para pemimpin perniagaan akan dapat memotivasikan dan mengekalkan petugas yang menunjukkan prestasi yang baik.

"Bagaimanapun, adalah penting bagi para majikan menyeimbangkan perbezaan motivasi pekerja masing-masing," katanya.

Workmonitor Randstad dilancarkan di Belanda pada 2003 dan meliputi 32 negara di seluruh dunia, yang meliputi Asia Pasifik, Eropah dan Amerika dan diterbitkan empat kali setahun.

Randstad adalah salah satu penyedia perkhidmatan pengambilan pekerja dan sumber manusia terbesar di dunia dan dengan operasi di Asia Pasifik di Malaysia, Singapura, Hong Kong, China, Australia dan New Zealand. – BERNAMA/ UtusanOnline
CEC: PENYOKONG DAP KECEWA MELAYU TAK TERPILIH

GEORGETOWN: Orang Melayu yang menyokong DAP kecewa dengan keputusan perwakilan parti itu kerana tidak memilih calon Melayu untuk menganggotai Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Mereka berpendapat, ahli DAP yang kebanyakannya terdiri daripada kaum Cina masih terikat dengan fahaman condong kepada cauvinis dan juga perjuangan untuk kepentingan satu kaum saja.

Selain itu, keputusan perwakilan turut menampakkan imej DAP bukan parti berbilang kaum dan mewujudkan kemungkinan besar ia akan ditolak pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP), Rahmad Isahak, berkata pihaknya yang selama ini rapat dengan kepemimpinan DAP kecewa penolakan perwakilan parti terhadap calon Melayu DAP.

Mahu calon Melayu bertanding

“Kegagalan calon Melayu diundi ke dalam CEC mengecewakan dan apa yang kita harapkan sekarang ini biarlah ada calon Melayu DAP dipilih untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum.

“Jika itu pun mereka tidak buat, maka DAP memang tidak ikhlas untuk memperjuangkan orang Melayu dan parti itu bukanlah parti yang berbilang bangsa seperti sering diuar-uarkan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Pada pemilihan Kongres Kebangsaan DAP ke-16 yang diadakan Sabtu lalu, semua lapan calon Melayu yang bertanding tewas tetapi dua daripadanya iaitu Senator Dr Ariffin SM Omar dan Zairil Khir Johari dilantik menganggotai CEC.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menafikan ketiadaan calon Melayu yang diundi untuk CEC parti itu sebagai tanda ia bersifat anti-Melayu dan anti-Islam.

Katanya, walaupun CEC dibarisi kebanyakan ahli bukan Melayu tetapi masih memperjuangkan kepentingan semua kaum di negara ini.

“DAP adalah parti berbilang bangsa. Kami membuka keahlian kepada Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan. Kini kita juga ada Kadazan dan Iban dalam CEC.

“Ketiadaan calon Melayu diundi dalam CEC tidak bermakna parti ini adalah anti-Melayu seperti yang didakwa sesetengah pihak,” katanya.

Percaya perjuangan DAP

Sementara itu, ahli DAP, Mohamed Hata Wahari, berkata orang Melayu yang menyertai DAP masih lagi percaya dengan perjuangan parti itu dan tidak perlu untuk keluar dari parti hanya kerana tiada Melayu diundi ke CEC.

Katanya, penolakan perwakilan terhadap calon Melayu disebabkan calon yang bertanding itu dirasakan tidak berupaya menyumbang kepada kekuatan parti mengharungi pilihan raya.

“Dakwaan ahli DAP tidak percayakan Melayu tidak benar. Contohnya, dulu Allahyarham Ahmad Nor mendapat undi perwakilan tertinggi dan dilantik sehingga menjadi timbalan pengerusi parti.

“Ahmad dilantik sebab beliau buat kerja dan dikenali ramai dan atas sebab itu berjaya mendapat kedudukan tinggi dalam CEC selain memenangi kerusi Parlimen yang ditandinginya pada 1990,” katanya. -BHarian

Monday, December 17, 2012

KEPUTUSAN CEC BUKTI DAP PARTI PERKAUMAN - PUAD ZARKASHI

JOHOR BAHARU: Keputusan pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP semalam jelas membuktikan kenyataan bekas Naib Pengerusinya, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim bahawa Melayu tidak mempunyai tempat dalam parti itu adalah benar.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi berkata walaupun calon Melayu yang bertanding dalam pemilihan itu bukan calang-calang orang, namun mereka tetap tewas kerana parti tersebut mengamalkan perkauman.

"Mereka yang bertanding bukan calang-calang orang seperti Senator Ariffin SM Omar, yang merupakan seorang tokoh akademik dan merupakan seorang profesor. 

"Saya tahu beliau tidak terpilih kerana beliau bangsa Melayu, dan orang DAP tidak pandang pun kelulusan dia. Kalau sekiranya ahli biasa DAP yang mengundi, saya tidak risau, tetapi yang mengundi ini ialah perwakilan yang merupakan pemimpin akar umbi," katanya kepada Bernama pada Ahad.

Beliau berkata mereka bukan sahaja tidak menang malah semua lapan calon Melayu juga mendapat undi yang amat sedikit, membuktikan dengan jelas Melayu memang tidak mempunyai tempat dalam parti cauvinisme itu.

Sehubungan itu, Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, meminta orang Melayu termasuk PAS membuka mata melihat perkara ini, dan tidak hanya bersikap tidak endah dengan apa yang berlaku.

"DAP memang tidak boleh dipercayai, bagaimana nak bekerjasama kalau seorang pemimpin Melayu pun tidak diberikan tempat di dalam parti itu, apatah lagi nanti jika mereka berjaya memegang tampuk pemerintahan negara," katanya.

Beliau berkata tindakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggunakan platform kongres itu bagi meminta secara terbuka tambahan 13 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-13 juga jelas menunjukkan tiada kesepakatan dalam pakatan pembangkang berhubung soal pembahagian kerusi.

"Masalah itu tidak selesai (pembahagian kerusi)... sebab itu, Guang Eng terpaksa bawa hal itu dalam ucapan perasmiannya, yang saya sifatkan sebagai satu ugutan. "Saya beranggapan tindakan itu membuktikan DAP tamak, tidak percaya kepada rakan kongsinya yang lain, dan sebab itu, dia (Guan Eng) guna platform ucapan dasar mengkritik PAS termasuk isu gender dalam pentadbiran PAS di Kelantan," katanya.

Puad berkata DAP juga seolah-olah memperlekeh PKR dan PAS serta memberi isyarat bahawa dua parti itu tidak mampu memenangi banyak kerusi pada pilihan raya umum nanti, kerana itu, ia wajar diberi kepada DAP. -BERNAMA/mStar
TUNTUTAN DAP BAKAL JADI PUNCA SENGKETA PAKATAN PEMBANGKANG

PASIR GUDANG: Kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang secara terbuka mahukan dua sekutunya, PAS dan PKR, memberi parti itu 13 kerusi tambahan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13, bakal menjadi punca pergolakan pakatan pembangkang.

Ketua Umno Bahagian Pasir Gudang Datuk Seri Khaled Nordin berkata keadaan itu menggambarkan DAP ingin mendominasi pakatan pembangkang.

"Saya percaya DAP beranggapan di kalangan parti pembangkang lain mereka merupakan parti yang terkuat, sebab itu mereka berani membuat tuntutan tersebut.

"Ini akan menjadi asas kepada perbalahan mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian hadiah sempena Program Gerak Mesra Perdana Majlis Perbandaran Pasir Gudang di sini, Ahad.

Menteri Pengajian Tinggi itu mengulas kenyataan Lim yang mahukan tambahan 13 kerusi - tiga Parlimen dan 10 Dewan Undangan Negeri (DUN) - pada Pilihan Raya Umum berkenaan.

Lim membuat permintaan itu ketika berucap di Kongres Kebangsaan ke-16 DAP di Pulau Pinang semalam atas alasan semangat setiakawan.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, DAP bertanding bagi 47 kerusi Parlimen dan 102 kerusi DUN. -BERNAMA/mStar

Sunday, December 16, 2012

CEC DAP KE-16:- TIADA TEMPAT UNTUK KAUM MELAYU

GEORGE TOWN - Kesemua lapan pemimpin DAP Melayu yang bertanding bagi merebut jawatan Anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) disingkir apabila kalah dengan keputusan teruk pada Kongres Kebangsaan ke-16 DAP Sabtu.

Keputusan tersebut sekaligus membuktikan parti dominasi kaum Cina itu tidak memberi laluan kepada mana-mana calon Melayu termasuklah Zairil Khir Johari, yang berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Zairil cuma memperoleh 305 undi manakala Lim meraih 1,576 undi. Sejumlah 1,823 perwakilan mengundi bagi memilih 20 orang barisan kepimpinan DAP bagi tempoh 2012-2015.

Calon lain yang disingkir ialah Anggota Jawatankuasa DAP Pulau Pinang Zulkifli Mohd Noor (216 undi), Senator Ariffin S.M Omar (748), Naib Pengerusi DAP Johor Ahmad Ton (347 undi), Timbalan Pengerusi DAP Pahang Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (121), Pengerusi DAP cawangan Desa Manjung Solaiman Op Syed Ibrahim (98), Roseli Abdul Ghani (39) dan Harun Ahmad (28).
Zulkifli ketika ditemui berkata mesej yang diperjuangkannya selama 25 tahun untuk menempatkan kaum Melayu dalam CEC parti itu tidak sampai ke peringkat akar umbi.

"Apabila kita katakan Malaysian Malaysia itu, maknanya kita mesti mewakili semua agama, semua bangsa, semua kaum... seimbang. Mesej yang saya sampaikan selama ini belum sampai ke akar umbi.

Mereka masih lagi mengundi, memilih pemimpin berpandu kepada bangsa," katanya. Beliau berkata pemilihan itu juga tidak berlandas kepada kebolehan dan pengalaman calon dalam memperjuangkan parti.

"Belum ada perubahan di situ. Keputusan hari ini (Sabtu) tak de seorang pun calon Melayu... Mungkin pemimpin atasan yang bertanding mesti nak jaga kepentingan masing-masing, bukan kepentingan parti," katanya. - BERNAMA
DAP MAHU TAMBAHAN 13 KERUSI PADA PRU-13

GEORGETOWN - DAP mahu tambahan 13 kerusi iaitu tiga bagi kawasan Parlimen dan 10 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pertambahan 13 kerusi adalah atas dasar semangat setiakawan dan tulus kepada Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Kita (DAP) telah terbukti menjadi rakan yang setia dan tulus kepada Pas dan PKR. DAP berharap bahawa kesetiaan kita ini diiktiraf dengan membenarkan DAP bertanding lebih banyak kerusi pada PRU nanti.

"Kita menyasarkan tiga tambahan kerusi untuk Parlimen dan 10 kerusi untuk DUN di Semenanjung Malaysia manakala Sabah dan Sarawak sedang mengendalikan rundingan kerusi mereka sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar bertajuk "Perubahan Di tanganmu" pada kongres ke-16 DAP di Pusat Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA) di sini hari ini.

Pada pilihan raya umum 2008, DAP bertanding bagi 47 kerusi Parlimen dan 102 kerusi DUN. – BERNAMA/UtusanOnline

Friday, December 14, 2012

PERATURAN BERKAITAN PENYIARAN IKLAN TV AKAN DIMANTAPKAN

KUALA LUMPUR: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan sedang dalam proses memantapkan peraturan sedia ada untuk memantau penyiaran iklan di televisyen dengan lebih berkesan.

Timbalan Menterinya, Datuk Joseph Salang berkata pada masa ini peraturan supaya semua iklan yang ingin disiarkan di televisyen tempatan perlu mempunyaisijil perakuan, masih diguna pakai.

"Garis panduan perakuan filem iklan buatan Malaysia masih menetapkan bahawa setiap iklan perlu ada Sijil Akuan Iklan Buatan Malaysia (Sijil MIM).

"Sijil ini hanya dikeluarkan untuk iklan yang diterbitkan oleh penerbit iklan tempatan sahaja. Iklan buatan luar pula boleh digunakan sebagai foreign footage (kakian asing) dengan tidak lebih 30 peratus (dalam iklan yang ingin disiarkan)," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan2013 di Dewan Negara, Khamis.

Dalam pada itu, Salang menegaskan tidak timbul isu berat sebelah dalam pembahagian slot persembahan di Istana Budaya kerana ia telah ditetapkan pada kadar 70 peratus bagi artis tempatan dan bakinya untuk artis antarabangsa setiap tahun.

Salang berkata persembahan yang hendak diadakan di Istana Budaya harus mengikut garis panduan yang ditetapkan seperti berkualiti tinggi, skrip bermutu,penerbit berkemampuan, mempunyai tarikan khalayak dan sesuai dengan skalapentas.

"Istana Budaya juga berkecuali dalam isu bayaran artis dan tiket. Bayaran artis merupakan hasil perbincangan terus dengan penerbit, manakala harga tiketyang tinggi melibatkan artis antarabangsa adalah disebabkan kos produksi yangtinggi dan kurang mendapat tajaan," jelasnya.

Salang turut memaklumkan Dewan Negara sejumlah RM20.3 juta telah diluluskan melalui tiga dana perfileman di bawah Perbadanan Kemajuan Filem NasionalMalaysia (Finas) sejak 2006 hingga 30 Nov lepas.

Tiga dana itu ialah Dana Filem Kenegaraan, Dana Filem Animasi dan Dana FilemKesan Khas Komputer (CGI). –BERNAMA/mStar