Monday, January 7, 2013

AMANAT HADI: MUFTI SYOR MAJLIS FATWA JEMPUT HADI

SHAH ALAM – Majlis Fatwa Kebangsaan mesti menjemput Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mendapatkan penjelasan bagi menyelesaikan kemelut berkaitan dengan apa yang dipanggil Amanat Haji Hadi.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad menegaskan, isu yang menjadi kontroversi itu tidak boleh diselesaikan hanya dengan berdasarkan laporan akhbar.

"Ia mesti mengikut prosedur. Datuk Seri Abdul Hadi perlu dijemput untuk berbincang dan bagi mendapatkan penjelasan. Ia tidak boleh diselesaikan mengikut andaian," katanya.

Mengenai fatwa yang dikeluarkan mengenai amanat itu, Hassan berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan tidak boleh bergantung kepada fatwa yang dikeluarkan oleh majlis fatwa di peringkat negeri.

Kuasa mengeluarkan fatwa, katanya, adalah kuasa negeri dan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan tidak semestinya satu keputusan mutlak kerana kuasa agama kekal di bawah kuasa negeri.

Beliau menjelaskan, fatwa sesebuah negeri boleh diguna pakai oleh negeri yang menggazetnya.

“Jika fatwa yang dikeluarkan di peringkat Majlis Fatwa Kebangsaan hanya di peringkat kebangsaan, dan ia tidak akan dibawa ke negeri, ia tidak menjadi undang-undang keseluruhan kerana ia berperanan menyelaras sahaja,” katanya.

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya pula menegaskan tiada fatwa dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan secara khusus mengenai Amanat Haji Hadi yang menjadi isu kontroversi itu.

Katanya, beberapa fatwa yang dikeluarkan mengenai isu seumpama itu adalah dibuat oleh majlis fatwa peringkat negeri.

Sebuah daripadanya adalah Majlis Fatwa Negeri Melaka, yang dikeluarkan pada 2002.

Fatwa yang diputuskan di peringkat negeri, katanya, tidak semestinya boleh diguna pakai oleh negeri lain.

“Fatwa yang ada itu ialah mengenai isu kafir-mengkafir, sama seperti fatwa (yang dibuat) oleh Kelantan. Fatwa yang ada dalam laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hanya fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Negeri Melaka,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, fatwa yang dikeluarkan oleh negeri tertentu terhad kepada negeri berkenaan sahaja, sementara negeri yang mempunyai raja atau sultan perlu mendapat perkenan raja atau sultan masing-masing.

"(Untuk) isu yang berlaku di negeri tertentu, hanya negeri (yang terlibat) itu patut mengeluarkan fatwa mengenainya,” katanya. – Sinar Harian

KD: Kebanyakan para mufti telah pun mengeluarkan pandangan masing-masing. Sewajarnya, kerajaan bertindak proaktif dan mempertimbangkan pandangan-pandangan ini demi memastikan isu ini dapat diperjelaskan sekali gus diselesaikan dengan bijaksana.

ISU TANAH PAJAKAN: KERAJAAN KELANTAN SEDIA DISIASAT - NIK AZIZ
 
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menerima dengan terbuka syor diadakan sebuah suruhanjaya bagi menyiasat secara terus berhubung isu pajakan tanah seluas 4,000 hektar kepada syarikat yang kini dimiliki dua pemimpin DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pihaknya terbuka kepada apa jua bentuk siasatan kerana kerajaan negeri sentiasa mengamalkan dasar telus dalam pentadbirannya.

Menurutnya, pegawainya telah pun menyerahkan fail-fail berkaitan urusan pajakan tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disiasat.

“Saya beri peluang kepada orang buat apa sahaja termasuklah suruhanjaya diraja atau apa sekalipun. Saya selalu sebut, pejabat saya dibuka 25 jam sehari dan bukannya 24 jam.

“Dengan cara itu saya sendiri selalu beringat, pegawai sendiri selalu beringat, kerana apa? Kerana Menteri Besar sebut 25 jam buka pejabat untuk disiasat,” kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan amanat tahun baru sempena Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengulas desakan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mahu suruhanjaya ditubuhkan bagi merungkai rasa tidak puas hati rakyat negeri ini berhubung penjelasan yang dibuat kerajaan negeri berhubung pajakan tanah tersebut. – Sinar Harian

KD: Sangat suka dengan kenyataan ‘pejabat MB dibuka 25 jam sehari’ itu…
BR1M MUNGKIN NAIK RM1,000

SLIM RIVER - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan bercadang menaikkan jumlah RM500 kepada RM1,000 di bawah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada setiap rakyat yang berkelayakan.

Menurutnya, pemberian tersebut adalah untuk menjamin supaya golongan berpendapatan rendah tidak rasa tertekan akibat kenaikan harga barang.

"Sekiranya Barisan Nasional (BN) menang dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang dan kutipan hasil cukai negara memberangsangkan, kerajaan akan memberi bantuan melalui BRIM2.0, BRIM3.0, BRIM4.0, BRIM5.0 dan seterusnya," katanya.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan barisan kepimpinan parti BN negeri.

Selain menaikkan jumlah pemberian, katanya, kerajaan juga akan mempertimbangkan pemberian BR1M ini diteruskan untuk jangka panjang mengikut kemampuan pendapatan negara. – Sinar Harian

KD: Sewajarnya had pendapatan penerima BR1M dinaikkan berdasarkan tempat tinggal, terutamanya di bandar besar serta di pedalaman Sabah & Sarawak. Ini kerana ada juga tinggal di bandar tetapi miskin.. miskin bandar.. maklumlah, kos hidup di bandar agak tinggi berbanding tempat lain..

Sunday, January 6, 2013

FENOMENA AIR MERAH: ELAK MAKAN KERANG PERAIRAN PANTAI BARAT SABAH


PAPAR - Jabatan Kesihatan Sabah dan Jabatan Perikanan menasihati orang awam supaya tidak memakan kerang di perairan pantai barat Sabah disebabkan fenomena air laut merah masih dikesan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, sekiranya ingin memakan kerang, pastikan ia tidak diperoleh dari pantai barat Sabah.

"Orang ramai diminta untuk tidak memakan makanan seperti kerang, siput dan ikan-ikan pesisir pantai terutama yang diperoleh dari pantai barat Sabah.

"Jika termakan dan mengalami tanda-tanda seperti kebas, pening, muntah dan sesak nafas, sila dapatkan rawatan segera di hospital atau klinik kesihatan berdekatan," katanya dalam kenyataan kepada di sini, hari ini.

Rabu lepas, dua kematian dilapor di Sepanggar, dipercayai akibat keracunan selepas memakan kerang yang dicemari toksik berpunca daripada fenomena air merah di perairan pantai barat Sabah.

Rosnah berkata, daerah yang dikesan berlaku pencemaran air laut merah ialah Tasik Sitompok di Kuala Penyu, Kota Kinabalu, Pulau Gaya, Sepanggar Bay, (termasuk Kuala Menggatal), Likas Bay, Papar, dan Tuaran.

Mengulas mengenai dua kematian yang dilaporkan itu, Rosnah berkata, Jabatan Kesihatan negeri menerima satu notifikasi mengenai keracunan makanan akibat memakan kerang laut yang tercemar melibatkan enam orang.

Beliau berkata hasil siasatan yang dilaksanakan pada hari sama mendapati kesemua pesakit memakan kerang yang diambil di sekitar kawasan perairan Sepanggar pada pukul 12 tengah hari pada 1 Januari.

"Antara pukul 3 hingga 6 petang 1 Januari, mereka mengalami tanda-tanda keracunan seperti kebas di leher, muntah, pening dan sesak nafas. Kesemuanya mendapat rawatan di hospital dan kenam-enam pesakit telah dimasukkan ke dalam wad," katanya.

Beliau berkata dua dari enam pesakit yang dimasukkan ke wad mengalami gejala yang teruk iaitu dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mengalami kejutan anafilaktik.

"Pesakit pertama, seorang budak lelaki berumur 14 tahun dibawa keluar dari Unit Rawatan Rapi atas permintaan keluarga pesakit dan meninggal dunia di rumah pada 2 Januari manakala pesakit kedua, seorang budak lelaki berumur 9 tahun, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi pada 4 Jan manakala empat pesakit lain dibawa keluar," katanya.
Terdahulu, Rosnah yang juga Ahli Parlimen Papar menghadiri program sumbangan peralatan sukan kepada persatuan belia sempena program Fiesta Astro Belia 1Malaysia, berkata empat pesakit berkenaan masih berada dalam pemerhatian kesihatan dan pemantauan pihak hospital.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan negeri juga telah menghantar sampel kerang dan air laut di kawasan Sepanggar ke Jabatan Perikanan Sabah untuk dianalisa pada 4 Jan dan mendapati terdapat kehadiran toksin PSP yang sangat tinggi di dalam sampel kerang.

"Kawalan dan komunikasi risiko berkaitan bahaya kejadian air laut merah telah dilakukan kepada mereka yang terlibat dan pemimpin tempatan taman perumahan yang berkaitan. Di samping itu, sebanyak 30 poster mengenai bahaya kejadian air laut merah juga telah ditampal di kawasan tumpuan ramai di taman berkenaan," katanya.

Beliau berkata Jabatan Kesihatan negeri dan Jabatan Perikanan Sabah akan memaklumkan kepada orang awam mengenai perkembangan kejadian air laut merah dari masa ke semasa. - Bernama

KD: Amaran dan peringatan ini perlu diwar-warkan secara lebih hebat lagi kerana kebanyakan orang (terutamanya yang ‘suka makan’) ada kalanya terlepas pandang apa yang boleh dan tidak boleh dimakan.

Friday, January 4, 2013

TARIKH PILIHAN RAYA DI MALAYSIA ISTIMEWA
                                 
KUALA TERENGGANU – Tarikh pilihan raya umum di negara ini disifatkan ‘istimewa’ kepada pucuk pimpinan kerajaan berbeza dengan negara-negara lain di dunia yang turut mengamalkan sistem demokrasi.

Penolong Setiausaha Agung Pas, Zakaria Dagang dalam nada penuh sindiran turut menjelaskan tarikh pilihan raya yang masih dirahsiakan itulah menunjukkan keistimewaan demokrasi di Malaysia.

Beliau berkata, perkara itu tidak berlaku di negara-negara maju atau negara ketiga yang mengamalkan sistem sama kerana masing-masing berani membuat pengumuman lebih awal sehingga ada yang mengambil tempoh setahun sebelum tarikh pilihan raya umum sebenar.

Pembangkang tidak bebas bersuara“Demokrasi ini kita tiru model Britain dan sepatutnya kita ikut, bukan untungkan diri sendiri saja,” katanya.

Beliau berkata sebagai mengulas mengenai penganalisis politik yang berpendapat keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang masih berteka-teki mengenai tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) adalah keputusan tepat.

Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Prof Dr Jayum Jawan berkata, tarikh PRU13 menjadi teka-teki kerana Najib menunggu sehingga tempoh lima tahun tamat.  

Zakaria bagaimana pun mempertikaikan agenda transformasi yang dilaungkan Perdana Menteri yang menurut beliau, tidak dilakukan secara menyeluruh.

“Di negara demokrasi lain, mereka umum lebih awal setahun dan paling kurang enam bulan sebelum pilihan raya supaya rakyat boleh bersedia,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Pas Kawasan Kuala Nerus berkata, sepatutnya pembaharuan dari sudut pengumuman tarikh pilihan raya perlu diawalkan supaya wujud perlawanan lebih sihat antara parti politik.

Menurutnya, keadaan itu secara tidak langsung menggalakkan parti-parti politik bertanding bersedia lebih awal berhadapan pihak lawan dan bekerja memastikan kemenangan parti masing-masing.

“Ini tidak, dia akan umum apabila dia sudah rasa selesa dan jika rasa tidak selesa, tidak akan umum. ‘Wisel’ ada pada dia, jika dia rasa ok, dia akan tiuplah wisel tersebut. Ini hanya menguntungkan satu pihak sahaja,” katanya.

PAKATAN BINCANG ISU KALIMAH ALLAH

PETALING JAYA - Perbincangan mengenai isu kalimah ALLAH yang dibangkitkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang mengundang kontroversi baru-baru ini, akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat, Selasa ini.

Namun menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, setakat ini, ketetapan yang diambil adalah sama seperti sebelum ini yang mana, kalimah ALLAH adalah hak mutlak untuk penganut Islam di negara ini.

"Kita sudah tetapkan mesyuarat Pakatan pada 8 Januari dan saya percaya isu ini boleh dibangkitkan walaupun Pakatan Rakyat telah pun putuskan belum ada usul baru untuk meminda keputusan yang lama.

"Iaitu pada 2010 kita sudah putuskan. Tetapi sekiranya ada pihak yang membangkitkan dan ada pandangan baru, kita tentu boleh bincangkan. Perbincangan itu akan diadakan pada 8 Januari pada majlis mesyuarat Pakatan.

"Sekiranya ada pandangan baru, kita akan bincangkan," kata beliau yang juga Ketua Umum PR pada sidang mingguan PKR di sini, hari ini.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP sebelum ini meminta kerajaan membenarkan Kristian di Semenanjung menggunakan kalimah ALLAH dalam Bible versi Bahasa Melayu.

Permintaan itu yang disifatkan penganut agama Islam di negara ini sebagai suatu penghinaan hakikatnya telah pun diwartakan di Pulau Pinang sebagai antara 40 perkataan yang tidak boleh digunakan bukan Islam.

Ia merupakan suatu ketetapan rasmi yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan.


KD: Islam agama yang indah, syumul lagi mudah...
GM13 KERAH 10,000 PELAJAR SERTAI HIMPUNAN KEBANGKITAN RAKYAT

SHAH ALAM - Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13) yang ditubuhkan atas dasar meraikan demokrasi di negara ini menyatakan kesediaan untuk turun beramai-ramai pada 12 Januari ini bagi menyertai Himpunan Kebangkitan Rakyat yang dijadual diadakan di Stadium Merdeka.

Menerusi satu kenyataan media yang menggabungkan 13 NGO mahasiswa di bawah nama GM13, Pengerusinya, Syis Abdul Kadir berkata, Himpunan Kebangkitan Rakyat #KL112 akan menjadi medan mahasiswa menyatakan pendirian mereka yang disifatkan terkongkong selama ini.

"GM13 bersedia dengan mobilisasi mahasiswa seluruh Malaysia tahap maksimum. Menurut pengetahuan kami, jumlah mahasiswa yang bakal turun KL112 adalah hampir mencecah 10,000 orang.

"Mahasiswa akan berpatisipasi dalam himpunan raksaksa tersebut dengan agenda dan identiti sendiri (warna putih)," ujar beliau.

Menurut beliau lagi, mahasiswa juga telah bersedia untuk menggerakkan 'lori mahasiswa' untuk menjelajah ke kampus-kampus utama di sekitar Lembah Klang.

"GM13 juga akan memulakan Jelajah Mahasiswa Untuk Malaysia sekitar tarikh 20 hingga 30 Januari. Jelajah ini merangkumi 13 negeri termasuk Wilayah Persekutuan KL dan Putrajaya.

"Ini bertujuan untuk memasarkan agenda mahasiswa kepada kampus-kampus seluruh Malaysia secara menyeluruh," katanya.

GM13 membawa agenda menentang sepenuhnya undang-undang rimba di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti yang dikatakan membelenggu idealisme dan aktivisme mahasiswa selama 40 tahun.

"Begitu juga, gerakan mahasiswa cakna dan prihatin terhadap nasib mahasiswa yang diikat dengan hutang pengajian Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga gerakan mahasiswa menuntut pendidikan percuma buat penuntut institusi pengajian tinggi.

"Mahasiswa serius dan konsisten dengan isu universiti dan kemahasiswaan," jelasnya lagi.

GM13 terdiri daripada Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM),  Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi), Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), ) Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM), Demi Mahasiswa KUIS (DMK), Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM), Watch 13, Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Pro-Mahasiswa Nasional (Pro-MN), Sinergi Gerakan Mahasiswi (SIGMA) dan Sisters In Movement (SIM).

KD: Inilah pro dan kontranya apabila mahasiswa dibenarkan terlibat dalam politik.