Wednesday, December 11, 2013

PUSAT PENEMPATAN MANGSA BANJIR PERLU DIKAJI SEMULA - JAILANI

HULU TERENGGANU: Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari meminta supaya pusat penempatan bagi mangsa banjir di pusat pemindahan di Hulu Terengganu dikaji semula demi keselesaan penghuninya.

Beliau berkata tempat penempatan seperti di surau dan masjid yang kecil agak tidak selesa untuk mangsa banjir, lebih-lebih lagi jika mereka ditempatkan dalam bilangan yang ramai.

"Sekarang juga terdapat penempatan yang bercampur antara wanita dan lelaki dan ini sangat kurang sesuai. "Insya-Allah perkara ini akan kita kaji supaya pada musim banjir akan datang tidak akan berlaku lagi masalah sebegini," katanya kepada pemberita ketika ditemui sempena lawatannya ke sekitar kampung yang terlibat dengan banjir di Hulu Terengganu.

Dalam lawatan itu, Jailani turut memberi bantuan berupa keperluan makanan serta pakaian untuk mangsa banjir.

Sumber: mStar Online
BANJIR: MANGSA DINASIHAT IKUT NASIHAT PEGAWAI KESIHATAN, ELAK PENYAKIT

SUBANG: Mangsa banjir diminta mengikut arahan dan nasihat pegawai kesihatan yang ditempatkan di pusat pemindahan bagi mengelak dijangkiti sebarang penyakit berbahaya.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramanian berkata berdasarkan Prosedur Standard Operasi (SOP) kementerian, semua pegawai kesihatan yang bertugas di pusat pemindahan akan memberi khidmat nasihat dari segi makanan, minuman serta memastikan persekitaran terjamin.

Katanya kementerian menugaskan seorang pegawai kesihatan di setiap pusat pemindahan yang menempatkan 1,000 mangsa.

"Pegawai kesihatan yang bertugas akan melawat pusat itu (pusat pemindahan)tiap-tiap hari. Dari segi kesihatan, kami sudah bersedia dengan SOP dan protokol bag memastikan kami mencegah penularan wabak ketika banjir," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penyampaian dana RM500,000 oleh Yayasan Sime Darby untuk program pembedahan epilepsi di Pusat Perubatan Ara Damansara (PPAD) di sini, Selasa.

Sumber: mStar Online

MALAYSIA DILANDASAN BETUL LAKUKAN TRANSFORMASI SISTEM PENDIDIKAN 

PUTRAJAYA: Malaysia berada di landasan betul untuk menjayakan inisiatifnya, terutama melalui Rangka Tindakan Pendidikan Malaysia, dalam melaksanakan transformasi terhadap sistem pendidikan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata rangka tindakan itu menangani sebahagian besar isu, termasuk kemerosotan kualiti pendidikan seperti yang terkandung di dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA).

"Kami mengambil bahagian dalam PISA sejak 2009 dan rangka tindakan ini meneliti hasilnya hingga 2011 dan kami juga nampak kemerosotan yang dialami (kualiti pendidikan)," katanya kepada media selepas pelancaran Pemantauan Ekonomi Malaysia Disember 2013: Pendidikan Berprestasi Tinggi di sini, Selasa.

"Sebab itulah rangka tindakan itu turut mengenal pasti sasaran Malaysia untuk melonjak ke peringkat satu pertiga teratas dalam kalangan negara yang menyertai penilaian itu, daripada kedudukannya sekarang," kata beliau.

Mengulas laporan itu, Wahid berkata: "Isu yang ditimbulkan laporan ini tentang sekolah autonomi dan peningkatan penyertaan pemegang kepentingan dalam sistem berkenaan, telah dikenal pasti dalam rangka tindakan itu, manakala langkah telah dan akan diambil untuk menangani syor yang dikemukakan".

Katanya menurut perspektif kerajaan, ia perlu terus memberi fokus terhadap pelaksanaan pelbagai inisiatif yang dikenal pasti dalam rangka tindakan itu.

Sumber: mStar Online

Tuesday, December 10, 2013

MAT SABU TAK GENTAR DILABEL ANUT SYIAH

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, beliau tidak gentar dengan pendedahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengaitkan dirinya dengan fahaman Syiah.

Malah kata Mohomad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu, beliau sudah biasa dengan tuduhan seumpama itu.

Ujarnya, sejak beliau menyertai parti Islam itu pada awal 1080-an, beliau sudah biasa dipenjarakan termasuk dua kali ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Umur saya sudah 59, kalau terpaksa habiskan sisa-sisa hidup saya naik turun mahkamah dan masuk penjara, saya akan hadapi,” katanya kepada sebuah portal.

Tambah Mat Sabu, peguam yang dilantiknya kini sedang menunggu tindakan lanjut Ahmad Zahid.

“Peguam masih lagi kaji tindakan susulan yang akan dilakukan. Kita tunggu dulu pendedahan dia,” katanya.

Ahmad Zahid semalam berkata akan mendedahkan bukti dalam waktu terdekat bagi mengesahkan dakwaannya bahawa "orang nombor dua" Pas terbabit dengan fahaman Syiah.

Bukti itu akan didedahkan pada sidang media khas yang akan diketuai oleh Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi serta pegawainya.

Sumber: Sinar Harian
PAS SUDAH PANTAU, TIADA AHLI TERLIBAT SYIAH

SHAH ALAM - Pas mencabar Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mendedahkan bukti keterlibatan pemimpin parti itu yang didakwa mengamalkan ajaran Syiah. 

Nik Abduh Nik Abdul AzizAhli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, tindakan menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan bakal mendedahkan bukti didakwa hanya sekadar mainan mahu mendapatkan sokongan politik.

“Berdasarkan pemantauan, tiada seorang pemimpin Pas terlibat dengan Syiah dan kami telah pun membuat penafian berhubung perkara ini."Ia hanya spekulasi pihak luar yang khabar angin untuk mereka dan juga Umno sahaja. Jika KDN ada bukti, sila buktikan, jangan hanya bermain politik sebegini” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang akan mendedahkan beberapa bukti pemimpin Pas terlibat dalam fahaman Syiah dalam satu sidang akhbar khas dalam masa terdekat.

"Jika beliau berjaya membuktikan ada pemimpin Pas yang mengikut fahaman Syiah, Pas tetap mempertikaikannya.

"Kami hanya akan mengambil tindakan apabila kami sendiri melihat serta mengkaji bukti tersebut," katanya.

Jelasnya, Pas tidak akan sewenang-wenangnya mempercayai bukti-bukti yang dibawa.

“Saya juga sudah sebut jika bukti itu datang daripada Umno maka kita tidak akan percaya,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai tindakan KDN yang memberi kuasa kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengambil tindakan terhadap pemimpin Pas yang terlibat dalam fahaman Syiah, Nik Abduh menegaskan, ia adalah tindakan kerajaan dan Pas tiada kuasa untuk menghalangnya.

“Pas ada keputusan sendiri dan kerajaan ada kuasa mereka dan boleh buat apa sahaja. Selagi mana pemimpin Pas bersih, kita akan cuba pertahankan pemimpin kita," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat berkata, kerajaan perlu menuruti prosedur dalam memberikan bukti berhubung keterlibatan pemimpin Pas dalam fahaman Syiah.

"Jika (ia) tidak benar, ini bermakna Umno perlu bersedia menghadapi saman daripada Pas.

"Isu syiah merupakan isu politik antarabangsa yang telah dimainkan Umno dan akhirnya Pas menjadi mangsa keadaan. Jika Umno ada bukti, sila tunjukkan, kami tidak gentar,” katanya.

Sumber: Sinar Harian