KUALA
LUMPUR 27 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak menjangkakan Pilihan Raya Umum
ke-13 (PRU-13) tidak lama lagi akan menjadi pilihan raya media sosial pertama
di negara ini apabila internet digunakan sebagai salah satu cara untuk
berkempen.
Perdana
Menteri berkata, walaupun media sosial bukan faktor terbesar bagi menentukan
keputusan pilihan raya, namun beliau percaya penggunaannya pada musim pilihan
raya itu akan meningkat secara mendadak terutama perdebatan mengenai isu
politik.
"Selama
ini pun kita telah melihat bagaimana media sosial menjadi pemangkin untuk
ahli-ahli politik berkomunikasi dengan masyarakat dan ini merupakan perkara
yang baik.
"Oleh
itu sudah pasti ketika musim pilihan raya akan berlaku perdebatan politik
sekali gus mengundang lebih ramai pengikut media sosial untuk
membincangkannya,'' katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Minggu Media
Sosial Malaysia 2013 di sini hari ini.
Turut
hadir, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim
dan Pengasas serta Presiden Dewan Media Sosial Malaysia, Shahul Hameed Shaik
Dawood.
Dalam
majlis tersebut, Perdana Menteri turut menerima Anugerah Kepimpinan Media Sosial
daripada Dewan Media Sosial Malaysia.
Perdana
Menteri merupakan pengguna media sosial yang amat aktif dan tujuan utamanya
adalah untuk mendekatkan dirinya dengan rakyat.
Untuk
rekod, sehingga kini jumlah pengikut Facebook Perdana Menteri adalah 1.4 juta
manakala pengikut akaun Twitter miliknya mencecah 1.2 juta.
Dalam
ucapannya itu, beliau mahu pengamal-pengamal media sosial di negara ini
sentiasa menjaga etika dan tanggungjawab kerana media tersebut juga mempunyai
kesannya kepada masyarakat.
"Kita
harus matang dan mempunyai sikap bertanggungjawab dalam kita menjadi
pengamal-pengamal media sosial,'' ujarnya.
Dalam pada
itu, beliau turut berkongsi bagaimana pengalamannya menggunakan media sosial
bagi mendapatkan cadangan serta idea daripada rakyat pelbagai lapisan untuk
dimasukkan ke dalam Bajet 2013.
"Hasilnya,
saya menerima beribu-ribu cadangan serta idea daripada mereka dan ada di
antaranya kita telah masukkan ke dalam draf Bajet terakhir.
"Selepas
pembentangan saya juga menggunakan media sosial untuk berinteraksi dengan
rakyat melalui talian video. Tujuannya untuk saya memberi penjelasan kepada
mereka mengenai bajet berkenaan,'' ujarnya.- Utusan Online
No comments:
Post a Comment