PUTRAJAYA - Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan
terdapat laporan polis dibuat berhubung kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang
yang mendakwa polis terlibat mendedahkan maklumat mengenai ramalan kemenangan
pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Ketua Bahagian Pendakwaan jabatan itu, Abdul Wahab
Mohamed berkata, pihaknya percaya siasatan sedang dijalankan dan masih terlalu
awal untuk jabatan berkenaan mengeluarkan sebarang ulasan mengenainya.
''Memang satu laporan polis telah dibuat berhubung
kenyataan beliau dan kes itu masih dalam siasatan, jadi AGC tidak dapat memberi
sebarang ulasan buat masa ini,'' katanya pada sidang akhbar di jabatan itu hari
ini.
Abdul Wahab mengulas tindakan yang boleh diambil
terhadap pemimpin kanan DAP itu berhubung dakwaannya yang mengaitkan
penglibatan polis mendedahkan butir rahsia berhubung ramalan pilihan raya.
Minggu lalu, Kit Siang dalam blognya http:// blog.
limkitsiang.com mendakwa, Pakatan Rakyat (PR) dijangka menang sebanyak 145
kerusi mengalahkan Barisan Nasional (BN) sebanyak 77 kerusi berdasarkan ramalan
dari Bukit Aman.
Berikutan itu, polis mencabar Kit Siang
mengemukakan bukti jika benar dakwaannya terdapat anggota dan pegawai polis
yang bertindak mendedahkan maklumat sulit berhubung ramalan pilihan raya.
Abdul Wahab turut memaklumkan sebanyak 13 lagi
individu akan didakwa di beberapa Mahkamah Majistret di seluruh negara esok
atas pelbagai kesalahan yang melanggar keharmonian proses pilihan raya. -UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment