KUALA LUMPUR - Kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit
Siang yang menamakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Perdana
Menteri pilihan menunjukkan hubungan kepimpinan dalam pakatan pembangkang yang
semakin rapuh.
Ketua MCA Bahagian Gelang Patah, Jason Teoh Siew
Hock berkata, ura-ura Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar
Ibrahim akan dipilih menjadi Perdana Menteri hanya satu taktik DAP untuk
memancing dan memperdaya pengundi kaum Cina.
"Tindakan Kit Siang bertanyakan khalayak di
Johor sama ada mereka memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tun Dr. Mahathir
Mohamad atau Abdul Hadi sebagai Perdana Menteri telah menunjukkan wajah sebenar
DAP.
"Hakikatnya, Kit Siang langsung tidak menyebut
Anwar sebagai pilihan Perdana Menteri dan ini menunjukkan satu undi DAP
bermakna satu undi kepada Pas, mereka hanya mahu menguji reaksi dan penerimaan
komuniti Cina terhadap Pas," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Jason, niat DAP bertanding di Johor adalah
bagi memberi peluang kepada Pas berkuasa di negeri itu dan mengambil kedudukan
Menteri Besar.
"Sekiranya pakatan pembangkang mengambil alih
Kerajaan Pusat, Pas yang akan memperoleh kejayaan dengan mendapat jawatan
Perdana Menteri dan mereka akan memperkukuhkan lagi kedudukan di Johor,"
katanya.
Sementara itu, Setiausaha MCA Pulau Pinang, Lau
Chiek Tuan berkata, pertembungan akan berlaku dalam DAP antara keluarga Kit
Siang dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menyokong Anwar sebagai Perdana
Menteri.
"Begitu juga setiap kali isu hukum hudud Pas
timbul, Karpal berkeras menolak perkara itu, namun Kit Siang dan anaknya, Lim
Guan Eng yang merupakan Setiausaha Agung DAP akan cuba menyembunyikan niat
sebenar Pas," katanya.
Jelasnya, berbanding dengan Karpal, keluarga Lim
mempunyai pengaruh lebih besar dalam DAP sehingga kenyataan mereka menjadi
polisi parti sementara kata-kata Karpal hanya disifatkan sebagai pandangan
peribadi. -UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment