ARAU - Pas tetap akan melaksanakan hukum hudud
sekiranya pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 walaupun
mendapat tentangan daripada DAP.
Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din
berkata, Pas berpendirian bahawa apabila DAP tampil memohon menggunakan logo
Pas, bermakna DAP secara tidak langsung bersetuju dengan dasar yang bakal
dilaksanakan parti itu.
Jelasnya, dalam mesyuarat yang diadakan, Pas sedia
membenarkan penggunaan lambang parti mereka sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) menolak DAP untuk bertanding menggunakan logo sendiri.
"Kalaulah betul SPR tak terima logo mereka
(DAP), mereka guna logo Pas.
"Jadi penerimaan mereka pada logo Pas itu
maknanya mereka setuju dengan dasar Pas. 'that's the answer'," katanya
ketika menyampaikan ceramah Ibu Tunggal di Kampung Belukar, Guar Sanji di sini
hari ini.
Menurut Haron, hukum hudud adalah asas perjuangan
Pas dan dasar itu tidak boleh diubah.
Tegasnya, apabila tiba masanya, PKR atau DAP harus
bertolak ansur dengan kehendak Pas untuk terus melaksanakan hukum hudud.
"Bila, di mana, apa dia terpulang kepada cara
pelaksanaan, kita lihat dulu. Bila sampai masa kita pegang kuasa, mesti ada
yang pegang kuasa ini tiga pihak iaitu Pas, DAP dan PKR.
"Mesti ada polisi beri dan terima. Ada masa Pas
kena beralah, ada masa kita menerima, ada masa kita memberi," katanya.
No comments:
Post a Comment