LUMUT - Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan rakyat negara ini yang Perlembagaan Persekutuan mungkin diubah dan digantikan dengan dasar-dasar yang merugikan mereka jika pakatan pembangkang dibiarkan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Bekas Perdana Menteri berkata, dasar meritokrasi
yang sering dilaung-laungkan pembangkang juga mungkin dilaksanakan sehingga
menyebabkan segala peluang hanya diberikan kepada kumpulan terbaik manakala
kurang cemerlang akan terus ketinggalan.
Menurut beliau, berdasarkan dasar kongsi kuasa dan
kekayaan yang diamalkan Barisan Nasional (BN) selama ini, golongan kurang
cemerlang tetap diberikan peluang untuk berjaya termasuk memegang
jawatan-jawatan tinggi dalam pentadbiran kerajaan.
"Kalau parti lawan berkuasa dan laksanakan
meritokrasi, segala peluang diberikan kepada yang terbaik. Maka, kita kurang
baik dan ramai daripada kita bukanlah yang terbaik, mereka yang kurang
kebolehan tidak akan mendapat peluang.
"Mereka tidak akan dapat peluang pegang jawatan
ketua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)
dan naib canselor universiti kalau dasar meritokrasi dilaksanakan. Kita bukan
tidak mahu meritokrasi, tetapi kita juga beri pertimbangan kepada mereka yang
baik tetapi bukan yang terbaik," katanya.
Dr. Mahathir berkata, tiada sesiapa boleh memberikan
jaminan yang pakatan pembangkang tidak akan meminda Perlembagaan Persekutuan.
"Sama ada diubah atau tidak bergantung kepada
rakyat. Kalau rakyat memberikan majoriti dua pertiga kerusi Parlimen kepada
parti lawan, mereka berhak mengubah perlembagaan," katanya.
Dalam ucapannya, Dr. Mahathir turut mengingatkan
umat Islam di negara ini tentang bahaya yang bakal dihadapi mereka sekiranya
terus berpecah-belah kepada tiga parti seperti berlaku sekarang.
Menurut Dr. Mahathir, umat Islam di negara ini boleh
melihat sendiri nasib umat Islam di selatan Thailand dan Singapura yang tidak
mendapat layanan baik kerana menjadi golongan minoriti dan diperintah pihak
lain.
Beliau berkata, apabila parti umat Islam menjadi
parti minoriti, mereka terpaksa menagih sokongan daripada pihak lain untuk
mendapat kuasa dan sudah tentu pihak berkenaan mengharapkan balasan yang akan
mengenepikan kepentingan umat Islam.
"Kalau satu pihak mempunyai kekuatan menentukan
parti mana akan menang, maka mereka akan minta kepada parti yang memohon
bantuan dan parti itu berjanji akan memberi bermacam-macam kepada mereka.
Dengan itu, negara kita akan berat sebelah kerana puak majoriti sudah menjadi
minoriti kerana sudah tidak ada kekuatan," katanya.
Beliau berkata, bukan sesuatu yang mustahil untuk
umat Islam di negara ini bersatu di bawah satu parti seperti yang pernah
berlaku semasa menentang pelaksanaan Malayan Union oleh penjajah British
dahulu. –UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment